Mana yang betul - Institut pengajian tinggi (IPT) atau institusi pengajian tinggi (IPT). | Frasa yang betul ialah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) | Ejaan | 22.10.2024 |
1. peraturan berkaitan kemudahan cuti tanpa rekod bagi pegawai Perkhidmatan Awam yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara. 2. Kemudahan cuti tanpa rekod untuk pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Adakah perkataan ini merupakan perkataan aktif bahawa pegawai berkaitan mengikut kursus secara sambilan atau IPT hendak mengesahkan kursus sambilan. Pemahaman saya adalah perkataan aktif bahawa pegawai berkaitan mengikuti kursus secara sambilan. Mohon nasihatkan saya. | Kami berpandangan, kedua-dua ayat tersebut memberitahu akan kewujudan peraturan yang berkaitan, yang boleh dirujuk oleh pembaca atau pihak-pihak yang berkeperluan. Walau bagaimanapun, dalam hal yang berkaitan dengan pekeliling, sila rujuk Jabatan Perkhidmatan Awam. Dewan Bahasa dan Pustaka membantu dari aspek teknikal ayat, manakala tafsiran yang persis dapatkan daripada pihak yang berwenang. | Lain-lain | 23.05.2023 |
Apakah perbezaan pemelajaran dengan pembelajaran? Proses penagajaran dan pemelajaran di IPT amat membosankan? Betulkah ayat tersebut? Salam, Imandaniel | Pemelajaran ialah proses belajar untuk mengetahui sesuatu dengan mendalam, pembelajaran ialah proses untuk mengetahui ilmu pengetahuan. Ayat 'Proses pengajaran dan pemelajaran di IPT amat membosankan' adalah betul. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
SAYA BEKERJA DI SEBUAH IPT DAN MENGURUSKAN MAJLIS KONVOKESYEN PELAJAR DIPLOMA. SAYA MOHON PENCERAHAN PERKATAAN YANG SESUAI DIGUNAKAN SAMA ADA GRADUASI@GRADUAT@ PERKATAAN LAIN YANG LEBIH SESUAI. CON: 1. PENGESAHAN SENARAI LAYAK/ TIDAK LAYAK BERGRADUAT BERDASARKAN KEPUTUSAN.... 2. bersetuju seramai 78 orang pelajar semester enam (6) layak untuk bergraduat pada Majlis.. TERIMA KASIH | Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan kata graduan ialah mahasiswa yang akan menerima ijazah pada hari penyampaian ijazah. Untuk makluman tuan, kata graduat dan graduasi tidak ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. | Ejaan | 04.03.2015 |
Apakah tepat penggunaan ayat berikut; Konvensyen kebangsaan sukarelawan IPT | Menurut data kami, ayat tersebut betul. | Lain-lain | 10.10.2016 |
Apa itu debat perdana?Apakah pertandingan-pertandingan debat antara IPT yang dikategorikan sebagai Debat Perdana? | Perdana ialah sesuatu yang utama. Debat Perdana boleh dianggap sebagai debat yang utama. Tidak ada kriteria khusus untuk menamakan sesuatu itu sebagai perdana atau sebaliknya. Namun bersesuaian dengan maksud perdana, debat yang dipertandingkan itu hendaklah memiliki ciri-ciri keutamaannya seperti pertandingan debat paling besar yang dianjurkan oleh penganjur dan melibatkan peserta yang berketerampilan. | Tatabahasa | 17.12.2014 |
Assalamualaikum. Tuan, agensi kami iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dipertanggungjawabkan menyediakan standard (panduan) untuk kursus pengajian yang dikendalikan di IPT. Dalam penulisan standard ini, terdapat perkataan daripada bahasa Inggeris yang biasa digunakan dalam bidang pendidikan iaitu formal, informal dan nonformal. Bagi tujuan terjemahan kepada bahasa Malaysia, adakah boleh pihak MQA menggunakan terus perkataan tersebut atau perlu juga diterjemahkan dengan sempurna kepada bahasa Malaysia? Pihak kami mohon pandangan pihak DBP dalam perkara ini. Terima kasih. | Saudara Norafizah, Untuk makluman saudara adalah lebih baik perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu memandangkan bahawa perkataan tersebut boleh diterjemahkan dan terdapat padanannya dalam bahasa Melayu, iaitu rasmi, tidak rasmi dan bukan rasmi. | Lain-lain | 11.08.2009 |
Boleh saya terjemahkan 'backlash' kepada 'backlash' dalam Bahasa Melayu? Saya telah mendapat khidmat nasihat seorang jurutera yang juga seorang pensyarah di IPT kerana ini adalah satu istilah bidang kejuruteraan. Beberapa terjemahan lain telah diberi oleh pihak lain iaitu 'sebat balik', 'enjatan tak menentu' dan 'bidas ke belakang'. Ini adalah selain terjemahan DBP 'reaksi atau tindak balas yang hebat. Sila nasihatkan saya sama ada terjemahan lain selain dari yang diberi oleh DBP boleh digunakan? Tk. | Padanan bahasa Melayu bagi perkataan tersebut ialah tindak balas atau libas balik mengikut penggunaan dalam konteks masing-masing. Istilah atau padanan bahasa Melayu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan istilah atau padanan yang baku. | Istilah | 06.03.2009 |
Assalamualaikum. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah sebuah badan jaminan kualiti pendidikan tinggi tunggal di Malaysia. Terdapat nama-nama kursus pengajian yang dikemukakan IPT, agak unik dan belum digunakan dalam sektor pendidikan. Bagi memastikan penentuan nama kursus pengajian tepat, kami ingin mendapatkan pandangan pihak tuan tentang penggunaan perkataan 'opticianary'. Benarkah terjemahan perkataan ini dalam Bahasa Malaysia 'keoptikan'? Bolehkah perkataan tersebut dieja 'opticianari' jika diterjemah secara terus kepada Bahasa Malaysia? Pihak MQA berharap mendapat nasihat dan pandangan pihak DBP terhadap perkara ini. Terima kasih. | Istilah bahasa Melayu bagi "opticianry" ialah optisianri (bidang perubatan) | Istilah | 14.07.2009 |
Salam....saya ingin mencadangkan agar DBP lebih aktif dalam menganjurkan lebih banyak pertandingan menulis esei terutamanya yang bersifat akademik yang mampu mencabar keupayaan daya fikir pelajar IPT di Malaysia.Saya dapati pertandingan seperti ini amat kurang di anjurkan dan juga kurang publisiti.Mohon kerjasama agar hal ini dapat diberi perhatian agar langkah yang sewajarnya diambil bagi memperkasakan daya intelektual mahasiswa tempatan.sekian | Waalaikumusalam wbk. Ribuan terima kasih atas cadangan menarik daripada sdr itu. Pihak kami akan mengetengahkan cadangan sdr itu untuk perhatian dan tindakan Jabatan/Bahagian yang berkaitan dalam DBP. Bagi mengetahui dan mengikuti aktiviti semasa DBP, pihak kami juga mengalu-ngalukan agar dari semasa ke semasa pihak sdr dapat melayari laman web DBP iaitu http://www.dbp.gov.my. Berhubungan dengan program pertandingan, buat kali ketiga pada tahun ini, Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera DBP dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi sedang menganjurkan program Akademi Sastera 2010 pada 28 Oktober 2010 (Khamis), pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Program ini melibatkan penyertaan sembilan (9) buah universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan kumpulan penyelidik sastera dan memupuk kemahiran berkomuniksi serta penggunaan kaedah penyampaian ilmu kritikan sastera di kalangan pelajar IPTA. Dalam hal ini, pihak kami mengalu-ngalukan kehadiran sdr dan pelajar-pelajar IPTA yang lain untuk turut serta ke dalam program Akademi Sastera ini. Sekian dimaklumkan, terima kasih. Wassalam. | Lain-lain | 19.10.2010 |