Kini banyak sekolah yang membina bumbung bagi dataran perhimpunan. Setahu saya dataran adalah kawasan lapang yang tidak memiliki binaan bumbung. Apabila bumbung dibina, adakah ia masih boleh dipanggil dataran? Jika tidak, apakah panggilan yang sesuai dan elok, sedap didengar untuk kawsan seperti itu? Terima kasih didahulukan. | Dataran bermaksud kawasan lapang, tidak diperincikan mempunyai bumbung atau sebaliknya. Kami mencadangkan bagi kawasan mempunyai bumbung digelar dataran berbumbung. | Makna | 09.05.2019 |
Kini banyak sekolah yang membina bumbung bagi dataran perhimpunan. Setahu saya dataran dalah kawasan lapang yang tidak memiliki binaan bumbung. Apabila bumbung dibina, adakah ia masih boleh dipanggil dataran? Jika tidak, apakah panggilan yang sesuai dan elok, sedap didengar untuk kawsan seperti itu? Terima kasih didahulukan. | Dataran bermaksud kawasan lapang, tidak diperincikan sama ada mempunyai bumbung ataupun tidak. Kami mencadangkan bagi kawasan yang mempunyai bumbung digelar dataran berbumbung untuk mengelakkan kekeliruan kepada pengguna. | Makna | 09.05.2019 |
Sy ingin bertanya tentang cadangan perkataan bagi ayat2 ini, sama ada perlu meggunakan perkataan "PERIMETER" @ "PARAMETER" : 1. Pihak Jabatan Landskap telah menggariskan keperluan asas bagi penyediaan kawasan lapang dengan pendekatan sebagai penanaman perimeter bagi setiap cadangan pembangunan. 2. Ini bermakna ruang 2 meter penanaman perimeter ini hanya disediakan untuk keperluan penanaman pokok dan keperluan aktiviti rekreasi sahaja. Sy juga ingin bertanya tentang kewujudan perkataan "KEMUDAHSAMPAIAN" (accessibility) dalam istilah b.melayu atau dalam kamus dewan terbaru. Terima kasih. | 1. Dalam Kamus Dewan Edisi keempat, perimeter bermaksud ukuran panjang keliling sesuatu objek, rajah satah atau kawasan. Manakala parameter bermaksud garis-garis yang menentukan atau menandakan keluasan atau batasan sesuatu, keluasan yang ada batasan-batasannya. Berdasarkan takrifan tersebut, perkataan yang sesuai ialah perimeter. Pihak Jabatan Landskap telah menggariskan keperluan asas bagi penyediaan kawasan lapang dengan pendekatan perimeter bagi setiap cadangan pembangunan. Hal ini bermakna 2 meter perimeter ini hanya disediakan untuk keperluan penanaman pokok dan keperluan aktiviti rekreasi sahaja. 2. Dalam data kami, padanan bahasa Melayu bagi perkataan Accessibility ialah kebolehcapaian, ketercapaian mengikut konteks ayat. | Tatabahasa | 08.09.2017 |
Soalan saya, bolehkah penjodoh bilangan digunakan untuk kuantiti yang banyak? Contoh: 1. Kami berjaya menjual 200 helai baju semasa karnival itu. 2. Terdapat 500 buah rumah baharu akan dibina di kawasan lapang itu. Terima kasih | Penjodoh bilangan boleh digunakan walaupun untuk kuantiti yang banyak seperti 200 helai baju atau 500 buah rumah. | Tatabahasa | 18.07.2024 |
Assalamualaikum, perkataan "Laman" masih boleh digunakan sebagai nama sebuah bidang tanah, atau pada masa ini perkataan tersebut hanya relevan untuk konteks "sesawang web elektronik" sahaja? | Perkataan "laman" masih boleh digunakan untuk merujuk “kawasan lapang di hadapan rumah, sekolah, masjid dan sebagainya. (Kamus Dewan Perdana) | Lain-lain | 07.09.2022 |
Aslm tuan, saya ada soalan berkaitan etimologi bagi "rusiga". Adakah rusiga ini sebenarnya kependekan bagi "rumput segi tiga"? Selain itu, saya ingin bertanya tentang padanan rasmi bagi "rush", iaitu sejenis tumbuhan bak rumput dalam keluarga Juncaceae. Adakah purun boleh dipakai? | 1. Menurut Kamus Dewan Perdana (KDP) (DBP, 2020) rusiga ialah tumbuhan jenis herba daripada famili Cyperaceae yang batangnya bersegi, bulat atau leper serta kasar, akarnya menjalar, daunnya runcing, bunganya halus berjambak dan berbeza-beza mengikut jenis, biasanya tumbuh di kawasan lapang dan kering, mis rumput sendayan. Tidak terakam asal usul kata rusiga ini daripada kependekan rumput segi tiga. Frasa rumput segi tiga juga tidak dijadikan entri/frasa dalam KDP. 2. purun 1; purun danau ialah rumput sendayan yang hidup di dalam paya atau air yang cetek, dan ditanam di beberapa bahagian di Borneo untuk dijadikan tikar dan bungkusan barang; Lepironia articulata; purun tikus ialah rumput sandang; Fimbristylis globulosa. rumput sandang ialah rumput yg berbatang leper, agak tinggi, banyak terdapat di kawasan tanah rendah dan lembap, dan batangnya yang dikeringkan boleh dijadikan bahan anyaman; purun tikus; Fimbristylis globulosa. purun 2 ► rumput purun batu rumput puruh batu atau rumput purun batu ialah rumput kepala lalat (tumbuhan); Fimbristylis dichotoma. rumput kepala lalat ialah rumput sederhana tinggi yang tumbuh berumpun, bunganya berjambak di tengah rumpun, berdaun tirus dan biasanya berbulu, hidup liar di kawasan lapang, boleh dijadikan baja hijau, dan tumbuhan ini boleh dijadikan makanan binatang ternakan; rumput para-para; rumput purun batu; Fimbristylis dichotoma. Berdasarkan senarai kata dalam PRPM dan KDP, tiada padanan tepat bagi rush yang berkaitan dengan sejenis rumput. Kata purun atau frasanya hanya boleh digunakan jika nama saintifik tumbuhan/rumput tersebut sama seperti yang tersebut di atas. | Makna | 04.09.2023 |
1. Adakah setiap ayat yang mengandungi perkataan 'yang' merupakan ayat majmuk ? 2. Adakah ayat ini ayat majmuk : Permainan baling tin dimainkan di kawasan yang lapang. | Perkataan "yang" dalam konteks ayat tersebut berfungsi sebagai kata hubung pancangan relatif yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil. | Tatabahasa | 21.08.2015 |
maksud sempit | Maksud sempit ialah tidak lapang; tidak luas (bkn sesuatu kawasan). | Makna | 03.08.2010 |
1. Ibu dan ayah (besar hati / lapang dada) apabila mendapat tahu bahawa anak bongsunya telah menjuarai kejohanan catur terbuka peringkat negeri baru-baru ini. 2. Mak Limah sedang (memercikkan) air mawar (pada) pasangan raja sehari itu sebaik-baik mereka bersanding di atas pelamin. 3. Pelajar-pelajar sekolah itu tercegat (oleh) kepetahan salah seorang peserta Program Pertukaran Pelajar berbangsa Jepun itu berbahasa Melayu. 4. Pegawai kesihatan itu menerangkan dengan terperinci (punca) merebaknya wabak denggi kepada penduduk Taman Bukit Serdang. 5. Setiap kali memikirkan masalah kewangan yang dihadapi, fikirannya menjadi (kental). 6. A Pak Mat memagarkan di sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. B Pak Mat memagari sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. (Salah) C Pak Mat memagarkan kawat berduri di sekeliling dusunnya. Adakah A dan C juga betul? Bagaimanakah pula bentuk ayat jika kata memagari digunakan? 7. Polis itu berjaya (memerangkap) penyeluk saku yang sedang (berkeliaran) di kawasan perhentian bas itu. 8. Raju (masih sedang) membaiki basikalnya yang (rosak) itu (sehingga) (terlupa untuk) makan tengah hari. 9. Syarikat itu tidak (memperakukan) laporan akhbar yang melemparkan tuduhan bahawa mereka memperoleh kontrak jual beli melalui saluran yang tidak sah. 10. Arif didenda oleh Cikgu Hoh kerana tidak (sarat) menjalankan tugas. | 1. Ibu dan ayah besar hati apabila mendapat tahu bahawa anak bongsunya telah menjuarai kejohanan catur terbuka peringkat negeri baru-baru ini. 2. Mak Limah sedang memercikkan air mawar kepada pasangan raja sehari itu sebaik-baik mereka bersanding di atas pelamin. 3. Pelajar-pelajar sekolah itu tercegat oleh kepetahan salah seorang peserta Program Pertukaran Pelajar berbangsa Jepun itu berbahasa Melayu. 4. Pegawai kesihatan itu menerangkan dengan terperinci punca merebaknya wabak denggi kepada penduduk Taman Bukit Serdang. 5. Setiap kali memikirkan masalah kewangan yang dihadapi, fikirannya menjadi (kental). - Penggunaan kata kental tidak sesuai dalam ayat ini. 6. (B) Pak Mat memagari sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. (C) Pak Mat memagarkan kawat berduri di sekeliling dusunnya. Memagari bermaksud membuat atau mendirikan pagar pd (di sekeliling) dan meagarkan bermaksud menjadikan sesuatu sebagai pagar. 7. Polis itu berjaya menangkap penyeluk saku yang sedang berkeliaran di kawasan perhentian bas itu. 8. Raju sedang membaiki basikalnya yang rosak itu sehingga terlupa makan tengah hari. 9. Syarikat itu tidak (memperakukan) laporan akhbar yang melemparkan tuduhan bahawa mereka memperoleh kontrak jual beli melalui saluran yang tidak sah. - Memperakukan tidak sesuai dari aspek semantik dalam ayat ini. 10. Arif didenda oleh Cikgu Hoh kerana tidak (sarat) menjalankan tugas. - Perkataan sarat tidak sesuai dalam ayat ini. Untuk melihat adakah perkataan itu sesuai atau tidak dalam ayat, sila rujuk kamus atau layari www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 14.05.2012 |
Kami berhasrat mendapatkan makna, maksud, definasi "Ruang" dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, secara rasmi dan bertulis. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), kata ruang mempunyai 16 pecahan makna dengan dua kata berhomonim. Salah satu daripada makna tersebut ialah bahagian lapang atau terbuka yang terdapat di dalam bilik, rumah, bangunan dan sebagainya atau di kawasan tertentu. Untuk memperoleh maklumat yang lebih terperinci, sila semak halaman 1901-1902 dalam kamus tersebut. | Makna | 22.01.2024 |