| Salam sejahtera! Saya dapati bahawa perkataan yang berasal dari Arab diklasikikasikan dengan kependekan Ar., seperti "bismillah" dan "insya-Allah". Pada masa yang sama, kedua perkataan ini tidak mempunyai sebarang kependekan jika merujuk melalui tab kamus pelajar edisi kedua. Bagi perkataan "assalamualaikum" pula, terdapat tab pertama di mana ianya diberikan kependekan Ar, dan tab kedua yang tidak mengandungi apa-apa kependekan. Soalan saya: mengapakah terdapat perbezaan di dalam klasifikasi Ar pada sesetengah perkataan Arab? Saya ada sertakan lampiran sebagai panduan. | Kamus Pelajar tidak meletakkan asal kata pada setiap entrinya. Kamus Pelajar memfokuskan penggunaan kata yang persis untuk rujukan pelajar. Untuk maklumat yang lebih lagi seperti asal kata dan peluasan makna perlulah merujuk Kamus Dewan atau yang terkini Kamus Dewan Perdana (hanya salinan keras disediakan buat masa ini). | Lain-lain | 01.01.2021 |
| APAKAH PERKEMBANGAN PUISI PADA MASA KINI? | Perkembangan puisi masa kini boleh dirujuk kepada buku terbitan DBP iaitu Buku Sejarah Puisi Sehingga 1990. Buku boleh didapati di Pusat Dolumentasi Melayu DBP atau di mana-mana perpustakaan negeri. Perkembangan puisi sehingga tahun 2000 masih dalam kajian oleh pihak DBP dan insya'-Allah akan diterbitkan sebelum tahun 2010. Dalam hal ini, sejarah perkembangan puisi bukan suatu kerja yang mudah dan memerlukan kajian yang teliti. | Lain-lain | 05.08.2007 |
| (1) Adakah makna perkataan 'baharu' dan 'baru' berbeza? (2) Bagaimana cara penggunaan perkataan 'baharu' dan 'baru'? (3) Bagaimana cara mengeja perkataan 'insya-Allah' yang betul? | Baru dan baharu mempunyai makna yang sama. Perbezaannya ialah "baru" digunakan untuk masa dan lain-lain, sementara "baharu" tidak boleh digunakan untuk masa.(3) mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ejaan yang betul ialah " insya-Allah". | Tatabahasa | 28.06.2014 |
| Assalamualaikum.. Saya ada satu pertanyaan : 1) Sekiranya manuskrip berada pada status JKP, berapa lamakah masa yang diambil untuk ke proses seterusnya? Tarikh daftar manuskrip saya ialah 23/2/2010. Manakala tarikh status ialah 24/2/2012. Terima kasih. | Waalaikummussalam sdr. Setelah disemak, manuskrip sdr. berjudul Aku Ingin Cemerlang, telah lulus JKP pada 24/2/2012. Jika diteliti, agak lama tempoh perjalanan manuskrip ini dari tarikh daftarnya. Insya-Allah saya akan memantau akan perkara ini. Sebaik lulus JKP, manuskrip akan disunting oleh editor. Proses penyuntingan bergantung kepada ketebalan manuskrip. Untuk makluman sdr., semua manuskrip yang lulus JKP pada tarikh tersebut akan diserahkan ke Bahagian Penyelarasan Penerbitan untuk proses pracetak dan cetak pada akhir Jun 2012. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi editor: Puan Khatijah melalui e-mel khatijah@dbp.gov.my | Lain-lain | 07.06.2012 |
| Assalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh dan selamat sejahtera kepada pihak PRPM yang dikasihi Allah. Saya ada sedikit kerisauan yang saya ingin utarakan mengenai ejaan satu perkataan yang saya jumpai baru-baru ini di sebuah page facebook yang bernama SAYS SEISMIK yang menyatakan mengenai perkataan harian yang sering kita gunakan dengan ejaan yang salah. Page tersebut mengatakan ianya adalah bersumberkan dari pihak DBP. Perkataan yang merisaukan saya ialah perkataan 'sunah". Menurut kefahaman saya ianya adalah perkataan yang dipinjam dari bahasa arab. Kita akan menjumpai kesemua terjemahan kitab-kitab muktabar akan menggunakan ejaan 'sunnah' dengan dua huruf 'n'. Ini adalah kerana didalam bahasa arab ada syaddah pada huruf nun ن menjadikan transliterasinya menjadi 'sunnah' dan bukannya 'sunah' sebagaimana yang disarankan oleh pihak PRPM. Saya berharap agar pihak DBP dapat memberi penjelasan dan penyelesaian dalam permasalahan ejaan ini agar sama-sama dapat kita mengambil manfaat dari perbincangan ini. Terima kasih atas masa pihak tuan/puan. | Peminjaman kata daripada bahasa Arab disesuaikan ejaannya dalam bahasa Melayu. Penggunaan tasydid dalam bahasa Arab tidak dilambangkan hurufnya dalam bahasa Melayu, seperti ejaan sunah. Penggunaan ejaan ini boleh disemak melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. Pelbagai bentuk ejaan yang ditemukan dalam media sosial, namun sebagai pengguna yang bertanggungjawab kita boleh memainkan peranan dengan menggunakan dan meuar-uarkan ejaan yang betul. Walaupun media sosal atas nama peribadi bukanlah wadah rasmi yang perlu kita berbahasa dengan baik dan betul, sekurang-kurangnya kita dapat memainkan peranan kecil untuk kesan yang lebih besar kepada usaha mempromosikan penggunaan bahasa yang baik dan betul. | Ejaan | 09.10.2017 |
| Soalan saya yang bertarikh pada bulan 9 masih belum terjawab, izinkan saya bertanyakan soalan tersebut semula. Selamat pagi, Adakah perkatan "maka" boleh dijadikan sebagai penanda wacana? Jika ya, adakah ia disertai tanda koma selepasnya? Cth: Maka perempuan-perempuan yang solehah itu adalah yang taat (kepada Allah dan suaminya) ... Terima kasih. | "Maka" merupakan penanda wacana bagi penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Ia tidak perlu disertakan tanda koma. | Tatabahasa | 02.10.2020 |
| Terdapat anggapan bahawa satu-satu emosi adalah berasingan daripada satu-satu emosi yang lain. Walhal, emosi tidak harus wujud secara bersendirian. Satu-satu emosi tidak semestinya berdiri sendiri. Malahan, ia harus atau boleh wujud bersama (_co-exist_). Emosi sedih boleh wujud bersama emosi gembira pada satu-satu masa. Walaupun, jika dilihat pada permukaannya, kedua-dua emosi tersebut adalah bertentangan, hal ini adalah harus kerana emosi ialah makhluk atau ciptaan Allah S.W.T. Perumpamaan yang sesuai bagi perkara berkenaan dan situasi tersebut ialah lautan air tawar dan lautan air masin yang wujud bersama (al-Furqan: 53). | Padanan bagi istilah co-exist dalam bahasa Melayu ialah wujud bersama. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 25.01.2025 |
| Assalamualaikum, Saya ingin bertanyakan kerasionalan penggunaan huruf besar/kecil bagi perkataan "iblis". Dalam DBP memang dinyatakan penggunaan huruf kecil. Namun, jika dilihat pada ayat al-Quran dan ahli syariah, secara peribadinya saya merasakan PENGGUNAAN HURUF BESAR LEBIH TEPAT. Contoh 1: Ertinya: “Iblis berkata, ‘Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).’ (14) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, engkau daripada golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).’ (15) Kemudian, iblis berkata, ‘Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) telah menyebabkan aku tersesat, (maka) sesungguhnya aku akan berusaha menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. (16) Kemudian, aku benar-benar akan mendatangi mereka dari arah hadapan atau belakang mahupun dari arah kanan atau kiri mereka. Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. (17)’” (Surah al-A‘raf 7: 14-17) Contoh 2: Menurut Ibn ‘Abbas, iblis dinamakan ‘Azazil dalam kalangan malaikat. Dia ialah malaikat yang tinggi darjatnya, paling kuat beribadat dan memiliki empat sayap. Namun setelah dilaknat, dia dikenali sebagai iblis. Ayat-ayat tersebut menunjukkan iblis sebagai individu jin bukannya sekumpulan jin/syaitan jahat. Jadi, mungkinkah sewajarnya ejaan iblis itu dieja dengan huruf besar (Iblis)? Sekian, terima kasih. | Iblis dikategorikan sebagai kata umum sama seperti malaikat. Iblis dieja dengan huruf besar sekiranya disandarkan dengan jenis iblis seperti Iblis Zalanbur, begitupun lazimnya disebut Zalanbur sahaja. Malaikat juga dieja dengan huruf kecil, namun nama malaikat ditulis dengan huruf besar seperti Izrail. | Tatabahasa | 08.08.2020 |
| Apakah yang dimaksudkan 'ereksi persona' ? | Ereksi: keadaan zakar yg membesar, mengeras dan menegak apabila bangkitnya nafsu syahwat. Pesona: 1. guna-guna, mantera, sihir: ~, serapah dan pantun hukum diajarkan oleh pawang itu; ilmu ~ ilmu sihir, ilmu guna-guna; kena ~ kena guna-guna (sihir); membuat (mengenakan) ~ kpd mengenakan guna-guna (sihir) kpd; tukang ~ a) tukang (ahli) sihir; b) ark bp pemimpin rakyat (yg kurang jujur); 2. = pesonaan kata-kata jahat utk menyusahkan (mencelakakan) orang, fitnah: orang yg berhati hasad, dengki serta suka berbuat ~ terhadap orang lain akan menerima balasan Tuhan; fitnah dan ~ sangat menjadi-jadi pd masa itu di kalangan masyarakat kita; segala godaan dan ~ syaitan utk menyesatkan manusia drpd jalan Allah; mempesona memikat (menarik) hati, sangat menarik perhatian: kejelitaannya ~ setiap lelaki yg melihatnya; ia mempunyai suara merdu yg ~; mempesonakan 1. mengenakan pesona (sihir); 2. mempesona, memikat, menggoda, mengagumkan: lukisan asli alam Pulau Mutiara ~ dia; terpesona 1. kena pesona (jampi), terpukau (oleh jampi-jampi): aku seolah-olah ~ dgn segala ucapannya itu sehingga tidak sepatah pun yg dapat kulahirkan; 2. sangat tergoda (oleh kecantikan gadis dll), sangat terpikat (tertarik) hati: penonton-penonton ~ oleh lagu sayu yg sedang mengalun itu; | Makna | 11.08.2009 |
| Assalamualaikum, saya nak tanya pasal istilah ''hello'' iaitu istilah yang digunakan untuk menyapa, menegur atau menarik perhatian seseorang. Saya penat mencari istilah ''helo'' yang sesuai untuk bahasa Melayu dalam kamus-kamus, buku-buku dan sebagainya. Tapi hasilnya menghampakan dan mengecewakan. Saya tak jumpa istilah ''helo'' untuk bahasa Melayu. Tapi dalam kamus Melayu lama ada iaitu ''Amboi!'' tapi istilah itu jarang dipakai untuk menegur sebaliknya digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kasihan, kagum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya rasa malu dengan bahasa Melayu kerana istilah ''helo'' juga dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu ''hello''. Padahal. boleh saja jikalau diperkayakan, diciptakan dan disesuai dengan istilah tempatan. Oleh kerana ucapan ''salam'' atau ''assalamualaikum'' sering digunakan. Jadi, apa salahkan digunakan ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dalam bahasa Inggeris sebab ''salam'' bermaksud ''sejahtera''. Jikalau para pakar DBP dan pakar bahasa Melayu menyesuaikan dan menggunakan istilah ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dan ''Hi!'' dalam bahasa Inggeris. Saya berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan segala cadangan saya untuk kemajuan, perkembangan dan keaslian bahasa Ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Semoga bahasa Melayu terus dimartabatkan dan dikekalkan keasliannya seperti apa yang diimpikan oleh pendeta Za'ba dan kita semua sebagai bangsa Melayu. Insya Allah, amin. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan mengucapkan syabas atas keprihatinan tuan dalam hal ini. Satu lagi yang perlu kita fahami ialah praktikal penyusunan kamus. Kamus umum merakamkan penggunaan kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata "helo" apabila memulakan perbualan dalam telefon amat banyak digunakan, bukti yang jelas dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "helo" dalam filem-filem lama era Tan Sri P. Ramlee. Berkemungkinan jika pada suatu masa dahulu, masyarakat penutur jati menggunakan perkataan "sejahtera" atau "salam", maka perkataan itulah yang akan diambil dalam penyususnan kamus. Walau bagaimanapun cadangan tuan ini akan kami panjangkan kepada Bahagian Perkamusan dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP untuk perhatian pihak mereka. | Istilah | 06.11.2015 |