Salam sejahtera. Kata kerja aktif transitif “memperbaiki” dan kata kerja pasif transitif “diperbaiki” sering kita temukan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antaranya, “tempat memperbaiki kapal” (Kamus Dewan), “memperbaiki baju” (Kamus Dewan), dan “akan diperbaiki dalam terbitan yang akan datang” (Khidmat Nasihat Bahasa). Sepanjang pengetahuan dan pengamatan saya, kata kerja tersebut tidak boleh diguna pakai kerana merupakan bentuk terbitan yang lewah, apatah lagi tidak gramatis, yakni menyalahi sistem bahasa dari aspek morfologi. Penjelasan pihak tuan amat dialu-alukan dan dihargai. Sekian, terima kasih. | Pihak kami bersetuju dengan pendapat pihak tuan yang menyatakan penggunaan perkataan memperbaiki dan diperbaiki adalah bentuk terbitan yang lewah dan perkara ini juga dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga. Walau bagaimanapun, perkataan memperbaiki dan diperbaiki ini lazim digunakan oleh masyarakat dan terakam dalam Kamus Dewan. Untuk makluman, salah satu fungsi utama kamus ialah untuk merakam penggunaan perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. Namun begitu, untuk memastikan penggunaan yang betul dan gramatis perlulah dirujuk Tatabahasa Dewan. Pihak kami mengambil maklum tentang penggunaan perkataan diperbaiki dalam ( (Khidmat Nasihat Bahasa) dan perkara ini dibetulkan oleh pihak kami. Terima kasih. | Tatabahasa | 04.12.2018 |
Memperbaiki atau memperbaik? | Ejaan yang tepat ialah memperbaik. | Ejaan | 09.08.2006 |
Kerajaan telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk memperbaiki sistem jalan raya di negara kita. Adakah penggunaan kata kerja transitif memperbaiki dalam ayat di atas betul? Kalau tidak, tolong berikan jawapan yang betul dan jelaskan sebabnya. Adakah imbuhan memper....i tidak boleh dibubuhkan pada kata adjektif lagi? Terima kasih. | Bagi kata memperbaiki adalah lewah kerana perkataan tersebut seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-i atau apitan memper-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 211 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 12.08.2010 |
Bolehkah saya memperbaiki sesetengah perkataan (entri, ejaan, pilihan perkataan, maksud) dan huraiannya (penggunaan, penerangan makna, maksud ayat, ) di website prpm.dbp.gov.my ? | Tuan tidak boleh memperbaiki sesetengah perkataan (entri, ejaan, pilihan perkataan, maksud) dan huraiannya (penggunaan, penerangan makna, maksud ayat, ) di website prpm.dbp.gov.my tetapi tuan boleh memberikan sumbangan maklumat dan pendapat melalui laman web Gerbang Kata yang dapat dicapai melalui http://ekamus.dbp.gov.my/ Tuan perlu mendaftar akaun terlebih dahulu kemudian boleh log masuk untuk tindakan yang seterusnya. Sumbangan idea, pendapat dan ilmu daripada pihak tuan amat dialu-alukan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 31.10.2017 |
As salam tuan di talian, Betulkan penggunaan perkataan memperbaiki atau perbaiki dalam ayat di bawah. 1. Cikgu Salina meminta Salman agar memperbaiki karangannya yang lemah itu. atau 2. Saya akan perbaiki karangan saya yang lemah ini. Sekian terima kasih dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. | 1. Cikgu Salina meminta Salman agar memperbaik karangannya yang lemah itu. 2. Saya akan baiki karangan saya yang lemah ini. | Tatabahasa | 01.10.2014 |
salam, adakah perkataan "memperbaiki" boleh digunakan? adakah menjadi kesalahn jika menggunak perkataan tersebut dari sudut tatabahasa? | Perkataan yang betul ialah memperbaik, iaitu menjadikan bertambah baik. Perkataan memperbaiki digunakan dalam teks sastera lama yang bermaksud berbuat baik kepada. Oleh itu, penggunaan yang gramatis ialah memperbaik. | Tatabahasa | 26.03.2012 |
assalamualaikum... saya nak tanya ayat untuk membaik atau memperbaiki.tapi tak dapat maklumbalas dari pihak PRPM..web PRPM pula bermasalah.harap maklum | Membaik lazimnya digunakan sebagai membaik pulih. Memperbaiki bermaksud berbuat baik kepada dan banyak digunakan dalam sastera klasik seperti "Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah Kebawah Duli Yang Dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba". | Makna | 07.08.2012 |
Dalam Kamus Dewan edisi keempat masih mempunyai entri 'memperbaiki' pada hal perkataan yang betul ialah 'membaiki'. Kesalahan ini telah dibetulkan dalam Tatabahasa Dewan. Saya ingin tahu buku yang manakah patut dijadikan jawapan muktamad sekiranya pelajar berkeras 'memperbaiki' masih ada dalam kamus... | Jika terdapat percanggahan aspek tatabahasa antara buku Tatabahasa Dewan dengan Kamus Dewan atau buku-buku lain, maka rumus dalam Tatabahasa Dewan yang kita jadikan pegagangan. Kamus Dewan penting untuk kita mengetahui makna sesuatu perkataan, manakala untuk merujuk aspek ketatabahasaan buku Tatabahasa Dewanlah yang kita jadikan panduan. | Tatabahasa | 05.04.2012 |
apakah perbezaan menyalahkan dan mempersalahkan, membaiki dan memperbaiki? | menyalahkan 1. menganggap salah ,menangkis 2. mempersalahkan menimpakan kesalahan kpd, menyatakan (seseorang dsb) bersalah. 1.membaiki membetulkan 2. memperbaiki menjadikan bertambah baik
Untuk keterangan lanjut boleh rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4
| Tatabahasa | 21.04.2008 |
Saya pelajar Universiti Utara Malaysia. Saya telah mengikuti VIVA untuk Ph.D, tetapi harus memperbaiki desertasi/thesis saya karena buruknya penguasaan Bahasa Malaysia. Saya mohon informasi bagaimana mendapatkan software untuk translate (?) dan kamus Bahasa Malaysia-Indonesia atau Malaysia-Inggris untuk memperbaiki desertasi/thesis saya. Atas perhatian dan bantuan Bapak, saya haturkan banyak terima kasih. | Untuk makluman saudara, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menggunakan sebarang perisian untuk terjemahan. Saudara digalakkan merujuk Kamus Inggeris-Melayu Dewan untuk tujuan tersebut. Saudara juga boleh berhubung dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia untuk mendapatkan bantuan. | Lain-lain | 26.12.2009 |