Antara fungsi tanda koma sebagai: 1. Memisahkan unsur kata dan frasa yang berurutan. Contoh: Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. 2. Memisahkan beberapa ayat setara. Contoh: Pelita itu dinyalakan, dibawa masuk ke bilik tidur, diletakkan di hujung katil. 3. Memisahkan klausa utama daripada keterangan tambahan yang bermula dengan “iaitu”, “yakni” dan “misalnya”. Contoh: Ada dua warna yang selalu menjadi pilihannya, iaitu merah jambu dan kuning langsat. 4. Memisahkan klausa komplemen, atau frasa klausa dan keterangan daripada ayat induk (dalam ayat songsang). Contoh: Jika hujan lebat, pertunjukan itu terpaksa dibatalkan. 5. Memisahkan kata atau ungkapan yang diulang. Contoh: Tiada lain yang dibuatnya, melainkan menangis, menangis, menangis! 6. Memisahkan ayat petikan langsung. Contoh: Katanya, “Esok kita pulang.” 7. Memisahkan kata nama atau frasa nama daripada frasa penjelasan yang mengikutinya. Contoh: Dia ke kota dengan kereta abangnya, Proton Perdana hitam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023) halaman 109 – 113. |