| salam sejahtera. saya ahmad adam,pelajar dari uniten kampus putrajaya. saya dan ahli kumpulan saya terpilih utk menjalankan satu perbincangan tentang DBP. sy berharap agar pihak DBP blh memberi sy n juga ahli kumpulan saya maklumat2 yg dirasakan sangat berguna utk kami gunakan sebagai isi. mungkin dari segi asal usul,pengenalan yang sesuai n juga lain2 yang pihak DBP rasakan sesuai. kami dengan berbesar hati utk mengumpulkan maklumat serta mengenal dengan lebih mendalam mengenai DBP.sekian terima kasih | Sila kunjngi Pusat Dokumentasi Melayu DBP atau hubungi pegawai yang berkenaan. | Lain-lain | 14.07.2010 |
| salam sejahtera: untuk pengetahuan tuan,pasukan forum kami berjaya ke peringkat kebangsaan mewakili n.sarawak ke perak.. terima kasih atas nasihat yang diberikan!... soalan seterusnya:adakah pertandingan di peringkat kebangsaan menggunakan tajuk yang sama? sekiranya ada saringan,adakah kami tetap menggunakan tajuk yang sama?? saya berharap kami dapat membawa sesuatu dari sana lebih-lebih lagi ini kali pertama kami masuk ke peringkat kebangsaan..dan pengetua serta seluruh warga sekolah mengharap sesuatu daripada kami.. :0 | Tahniah kerana pasukan sekolah saudara telah berjaya ke Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2009 mewakili negeri Sarawak. Untuk makluman saudara, tajuk untuk pertandingan peringkat kebangsaan akan menggunakan tajuk yang berlainan, tidak sama dengan tajuk pada peringkat negeri. Tajuk untuk peringkat kebangsaan akan tentukan oleh pihak urus setia melalui undian. | Lain-lain | 14.05.2009 |
| saya nak tanya pasal penggunaan simpulan bahasa 'menjolok mata' adakah ada pertukaran perkataan 'menjolok' kepada perkataan 'mencolok'...n..sekarang perkataan yang mana kt gunakan untuk ayat dimana keadaan yang menyakitkan mata -pakaian | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, menjolok mata bermaksud (i)sangat jelas kelihatan, sangat nyata (ii)memberi malu, menyakitkan hati. Maksud mencolok mata pula ialah (i) mencucuk mata (ii) (kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar (iii) membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberi malu. Berdasarkan maksud yang diberikan, kedua-dua menjolok mata dan mencolok mata boleh digunakan dalam konteks yang dikemukakan. | Makna | 14.01.2011 |
| Standard, stor, kompleks, konkrit berasal dari bahasa inggeris, phonic inggeris kr, st.... ialah consonant blends. Kenapa konkrit dalam jelasan DBP ialah dipisahkan oleh n,k , kalau ikut bahasa inggeris sepatutnya ialah kr. adakah konsonan bergabung sama dengan bahasa inggeris consonant blends saya amat keliru. http://blog.maketaketeach.com/teaching-blends-and-digraphs/#_ | Pihak kami telah merujuk Munsyi Dewan berkenaan permasalahan bahasa ini. Sebarang perkembangan terkini mengenai digraf dan konsonan bergabung akan kami maklumkan kepada pihak puan. Sehingga kini, dalam data kami, konsonan bergabung atau konsosnan rangkap pula ialah huruf konsonan yang hadir secara berurutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh konsonan bergabung ialah kompleks, terminal dan konkrit.
| Tatabahasa | 14.05.2014 |
| Gaya Dewan (1995: 70) menyatakan bahawa tanda pisah ialah tanda baca yang panjangnya satu en. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan en (én) sebagai ukuran yang sama dengan setengah saiz poin taip yang digunakan ataupun setengah em. Soalan: (1) Adakah en itu sama lebarnya dengan huruf n? (2) Jikalau tanda pisah satu en, adakah tanda sempang hanya setengah en? | - Dalam penerbitan, en merupakan unit ukuran yang lebarnya setengah huruf em, tetapi tidak semestinya sama lebar dengan huruf "n".
- Jika tanda pisah satu en, tanda sempang tidak semestinya hanya setengah en.
Dalam penerbitan, en, em dan tanda sempang mempunyai fungsi yang berbeza. Sdr boleh merujuk buku yang berkaitan, seperti Copy Editing oleh Judith Butcher (Cambridge University Press) atau melayari Internet untuk mendapatkan maklumat mengenainya. | Lain-lain | 14.01.2013 |
| Salam sejahtera, Saya ada terbaca satu soalan di laman http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=akan+kan&d=10 dan saya kurang memahami jawapan yang diberikan oleh pihak DBP . Soalanya berbunyi : " Encik, Saya amat keliru dengan penggunaan perkataan 'memalukan'. Adakah munasabah perkataan 'malu', iaitu kata adjektif, tetap menjadi kata adjektif jika dibubuh imbuhan me-N...kan? Bukankah setiap perkataan apabila dibubuh imbuhan me-N...kan akan menjadi kata kerja transitif, iaitu perlu diikuti oleh objek. Justeru, manakah antara ayat-ayat berikut yang betul dan tepat dari segi tatabahasa? 1. Perbuatan Ali memalukan. 2. Perbuatan Ali amat memalukan. 3. Perbuatan Ali memalukan kami. 4. Perbuatan Ali amat memalukan kami. Sila berikan penjelasan. " Adakah KESEMUA ayat yang diberikan oleh individu itu betul dan sekiranya betul , adakah hukum " men ... an " , disusuli dengan + objek tidak hidup , itu tidak dipatuhi ? Contoh : Perbuatan Ali amat memalukan kami. (KAMI ialah objek hidup dan seharusnya ' me ... an ' perlu diikuti dengan objek tidak bernyawa , Contohnya ... Dia menghadiahkan hadiah itu kepada kami. BUKANNYA ... Dia menghadiahkan kami hadiah itu . (sepatutnya menghadiahi kami). Terima kasih & maaf kerana mengganggu. ChoyHH ( choy862003@yahoo.com) | Malu ialah kata adjektif dan apabila menerima apitan meN-...-kan (memalukan) menjadi kata kerja transitif. Walau bagaimanapun kata memalukan juga boleh berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului oleh kata penguat. Oleh itu, ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Perbuatan Ali amat memalukan - memalukan berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului oleh kata penguat; dan objek dalam ayat ini digugurkan. 2. Perbuatan Ali memalukan kami - memalukan sebagai kata kerja transitif dan diikuti dengan objek (bernyawa). 3. Perbuatan Ali amat memalukan kami - memalukan berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului dengan kata penguat. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
| Adakah perkataan "kart beli-belah" boleh digunakan bagi terjemahan perkataan bahasa Inggeris "shopping cart"? Ini kerana istilah sasar untuk perkataan "cart" ialah "kart". Terima kasih. | Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, istilah cart ditakrifkan seperti yang berikut selain kart (dalam bidang umum). - n 1. vehicle pulled by a horse, cattle, etc, pedati; 2. small usu wooden vehicle pushed or pulled along by hand, kereta sorong;
vt 1. convey in a cart, /membawa, mengangkut/ [sst] dgn pedati: to ~ the firewood home, membawa pulang kayu api ke rumah dgn pedati; 2. convey laboriously from place to place, mengangkut: I m tired of ~ing these books, saya bosan mengangkut buku-buku ini; ~ /so., st/ offmengangkut: to ~ off the rubbish, mengangkut sampah-sarap; to ~ off the prisoners to jail, mengangkut orang-orang tahanan ke penjara. Sila nyatakan dalam konteks/bidang apakah istilah ini digunakan bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam perkara ini. | Istilah | 14.12.2010 |
| Kabul ialah kata pinjaman. Mengapa bila diberi imbuhan peN penjadi pengabul? Bukankah sepatutnya yang betul pengkabul? | Untuk makluman, peN- menjadi pe- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan beberapa huruf dan sebahagian daripadanya ialah huruf p, t, k dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, iaitu m bagi p; n bagi t; ng bagi k; dan ny bg s. Untuk makluman lanjut, mohon rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 108-109. | Tatabahasa | 14.01.2017 |
| Salam sejahtera. Penerangan tentang diftong dan vokal berganding senang difahami. Sebaliknya, Penerangan tentang digraf dan terutamanya konsonan bergabung amat mengelirukan. Digraf diterangkan sebagai konsonan bergabung iaitu dua huruf konsonan berturutan yang mewakili satu bunyi. Ada kali konsonan bergabung diterangkan sebagai dua huruf konsonan yang berturutan tetapi dipisahkan dalam suku kata. Soalan 1. Kalau tidak silap, konsonan berganding ialah konsonan berturutan yang terpisah dalam suku kata. Kini, masih wujudkah konsonan berganding? Adakah konsonan bergabung ialah konsonan berganding? 2. Perkataan "Klinik" tergolong sebagai digraf atau konsonan bergabung ataupun kedua-dua? 3. Adakah kemungkinan wujud kesalahan dalam definisi terkini bagi konsonan bergabung dalam buku teks? Ini adalah kerana krayon diberikan sebagai contoh bagi konsonan bergabung. Padahal contoh seperti konkrit (n k) , terminal (r m) , kompleks (mp) diberikan oleh dbp. Sungguh mengelirukan, manakah yang tepat sekali? Yang dahulu, tidak wujud kekeliruan , mudah difahami kerana definisi bagi konsonan bergabung hanyalah satu dan tepat. 4. (Yang terkini) Adakah hanya perkataan daripada b.Inggeris ( seperti trak, promosi, hibrid, program dan lain- lain ) diterima sebagai k. bergabung (contoh buku teks dan buku aktiviti) ? Harap tuan dapat menguraikan kekeliruan saya. Sekian, terima kasih. | Kamus Dewan memberikan takrifan digraf, iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy; atau disebut juga dwihuruf, dwilambang, huruf rangkap. Tidak ada maklumat yang jelas tentang konsonan berganding, konsonan bergabung dan konsonan yang berturutan dalam pangkalan data kami. Adapun perkataan lain yang mempunyai urutan huruf konsonan itulah yang disebut konsonan berganding atau konsonan bergabung, dan berkemungkinan dua huruf atau tiga huruf seperti dalam perkataan klinik dan bankrap. Tidak dinyatakan turutan huruf konsonan ini dalam satu suku kata atau sebaliknya. | Tatabahasa | 14.12.2015 |
| Apakah terjemahan bagi "rasul" dan "nabi"? Adakah nabi dan rasul ini kata nama khas? | RASUL Utusan atau pesuruh Allah yang telah menerima syariat untuk disampaikan kepada umatnya. Rasul juga merupakan utusan atau pesuruh Allah yang dipilih-Nya untuk menerima wahyu daripada-Nya untuk dirinya sendiri dan diwajibkan menyampaikan wahyu itu kepada orang lain NABI Orang yang dipilih Allah untuk menerima wahyu daripada-Nya untuk dirinya sendiri dan tidak diwajibkan menyampaikan wahyu itu kepada orang lain. Perkataan "rasul" dieja dengan huruf kecil (Kamus Dewan Edisi Keempat), kecuali "Rasulullah" yang dieja menggunakan huruf besar bagi "R". Perkataan “nabi” dieja dengan huruf kecil kecuali jika ia diikuti dengan nama-nama nabi tersebut, perlu dieja dengan huruf besar bagi "N". Contoh: Nabi Yaakub, Nabi Syu'ib, Nabi Sulaiman, Nabi Saleh, Nabi Ayub (sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dari muka surat 1878 dan 1879 untuk ejaan yang betul bagi 25 nama nabi) | Lain-lain | 14.10.2021 |