Salam, Semalam emak saya ada mengunakan satu ayat iaitu "Dia telah di cabok" dan saya kurang pasti apa itu cabok. Apa yang emak saya bilang pada zaman dulu ayat cabok selalu digunakan. Apa yang diberitahu oleh emak saya, cabok ada tali ikan ekor pari yang digunakan dipenjara?. Saya kurang pasti, saya minta pihak tuan/puan boleh menjelaskan apakah ayat cabok ini seakan sebatan ? Fain | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah cabok tidak ditermui, yang ada ialah cabuk yang bermaksud 1. buruk dan tidak berguna lagi: kasut yg sudah ~ dibuangnya; 2. bp rendah kedudukannya atau kurang dikenali (dihormati, disegani dsb): aku hanyalah seorang pegawai ~; 3. rendah nilainya atau kurang bermutu (bkn sesuatu benda): aku naik kereta ~ saja, lainlah engkau. | Istilah | 26.10.2010 |
Salam, Mohon pencerahan versi sebenar lagu kanak2 berikut Air pasang malam atau air pasang pagi atau air pasang dalam? Pokok bunga melur tanam tepi kolam atau tepi batas? Itik bertelur ayam menetas atau mengeram? Terima kasih | Untuk makluman tuan, lirik lagu kanak-kanak ini bukanlah di bawah bidang kuasa dan hak cipta DBP. Oleh itu, DBP tidak mempunyai maklumat tepat tentang lirik lagu yang betul. Walau bagaimanapun, kebiasaannya lirik lagu yang biasa dijumpai ialah seperti yang berikut: Air pasang dalam Surut pukul lima Nyonya bangun pagi Siram pokok bunga Pokok bunga Melur Tanam tepi batas Itik bertelur ayam menetas Cik Baba jatuh dalam parit Cik Aminah ketawa jerit-jerit Naik kereta api sampai Kuala Lumpur Jumpa isteri comel terselit bawah dapur. | Lain-lain | 15.11.2021 |
menunggang atau membonceng dan menumpang motosikal? | Menunggang bermaksud menaiki dan duduk mengangkang di atas sesuatu (basikal, kuda, dll.). Membonceng pula ialah menumpang naik motosikal (basikal dan sebagainya) sementara menumpang membawa maksud naik dan berpergian (dengan kereta, kapal, dll.) dan juga membawa maksud membonceng. Oleh yang demikian, menunggang, membonceng dan menumpang motosikal boleh digunakan. | Lain-lain | 21.08.2021 |
Tukar lirik lagu dialek kedah kepada Bahasa Melayu standard Mai Chek Mai Kita Kedah Mai Chek Ooii Mai Chek Mai Kita Ke Negeri Kedah Mai Ooii Bagi Ramai Jamu Nasi Kawah… Naik Kapai Terbang Turun Kepala Batas Makan Tok Sah Bimbang Kami Banyak Beras Ikut Lebuhraya Teruih ke Kayu Hitam Jaga Chek Ooii JAga Kereta Meneru Neran Kreta Meneru Nerannn … Uuummmmmm Lekasla Mai Kedah Singgahlah Ke Pekan Rabu Minum Nira Nipah, Makan Emping Kerabu Kot Lah Rasanya Penat Jom Pi Ke Langkawi Langgah Ayaq Gamat, Minumlah Ayaq Tongkat Ali Langgah Ayaq Gamat, Muka Naik Seriii Kedah Sudah La Maju Tak Lagi Macam Lah Dulu Rumah Serba Baru, Kenduri Ada Selalu Tengok Sana Sini Pembagunan Serata Negeri Ada Mesin Padi Ada Kilang Besi Melawak Orang Kedah Jangan Cepat Terasa Tok Sah Dok Kesah Bekawan Cepat Mesegha Bekawan Cepat Meseghaaa Mai Chek Ooii Mai Chek Mai Kita Ke Negeri Kedah Mai Ooii Bagi Ramai Jamu Nasi Kawah… Kot Lah Rasanya Penat Jom Pi Ke Langkawi Langgah Ayaq Gamat, Minumlah Ayaq Tongkat Ali Langgah Ayaq Gamat, Muka Naik Seriii Kedah Sudah La Muju Dak Lagi Macam Lah Dulu Rumah Serba Baru, Kenduri Ada Selalu Mai Chek Ooii Mai Chek Mai Kita Ke Negeri Kedah Mai Ooii Bagi Ramai Jamu Nasi Kawah… | Untuk makluman, soalan saudara adalah di luar skop Khidmat Nasihat Bahasa. Khidmat Nasihat Bahasa membantu pelanggan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan ejaan Rumi dan Jawi, semakan penggunaan perkataan dan istilah, semakan bahasa/tatabahasa dan sebagainya. Harap maklum. Saudara bole merujuk buku untuk rujukan yang telah diterbitkan, iaitu Glosari Dialek Terengganu dan juga Glosari Dialek Kedah. Selain itu, buku-buku yang ditulis oleh sarjana tempatan seperti Asmah Hj Omar, Zaharani, dan Norhashimah, juga boleh dijadikan rujukan untuk alih bahasa tersebut serta menggunakan prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 20.07.2013 |
1.menaikkan bendera atau menaiki bendera ? manakah yang betul 2. adakah perkataan huruf terakhir adalah k, hanya boleh mengguna men..i contoh duduk - menduduki, naik-menaiki | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud perkataan "menaiki" ialah memanjat, mendaki; pergi dengan kenderaan, mengenderai, menunggang; memasuki rumah (dengan menggunakan tangga). Manakala maksud perkataan "menaikkan" pula ialah menjadikan naik; meletakkan barang ke atas kereta, kapal dan lain-lain; menjadikan lebih tinggi (pangkat, taraf hidup dan sebagainya); menjadikan bertambah kuat (berkenaan semangat, kemarahan dan sebagainya); menjadikan naik (berkenaan adunan kuih); mengembangkan. Oleh itu berdasarkan keterangan tersebut, jawapan yang sesuai ialah "menaikkan bendera" Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP, halaman 207 yang menerangkan perbezaan apitan meN-...-i dan meN-...-kan. | Tatabahasa | 30.09.2020 |
menaikkan bendera atau menaiki bendera ? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud perkataan "menaiki" ialah memanjat, mendaki; pergi dengan kenderaan, mengenderai, menunggang; memasuki rumah (dengan menggunakan tangga). Manakala maksud perkataan "menaikkan" pula ialah menjadikan naik; meletakkan barang ke atas kereta, kapal dan lain-lain; menjadikan lebih tinggi (pangkat, taraf hidup dan sebagainya); menjadikan bertambah kuat (berkenaan semangat, kemarahan dan sebagainya); menjadikan naik (berkenaan adunan kuih); mengembangkan. Oleh itu berdasarkan keterangan tersebut, jawapan yang sesuai ialah "menaikkan bendera" Sekiranya tuan/puan ada persoalan bahasa yang lain, puan boleh menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan salah satu cara untuk membuat rujukan, mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari /http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari”. | Tatabahasa | 02.10.2020 |
1. Adakah kata 'buruk' digunakan untuk menggambarkan buah-buahan? 2. Adakah 'meningkatkan harga' digunakan untuk menunjukkan kenaikan harga? | 1. Antara frasa adjektif yang boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan buah-buahan ialah busuk dan rosak. Kata adjektif buruk tidak sesuai untuk menggambarkan sifat/keadaan buah-buahan. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, meningkatkan bermaksud meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat: daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi; kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi. Manakala menaikkan pula bermaksud menjadikan naik; meletakkan di tempat yang tinggi; meninggikan: ~ bendera. 2 meletakkan barang ke atas kereta, kapal dll: Kuli sedang sibuk ~ barang-barang ke kapal. 3 menjadikan lebih tinggi (pangkat, taraf hidup dsb). 4 menjadikan bertambah kuat (bkn semangat, kemarahan dan sebagainya): Kejayaan abangnya telah ~ semangat Amin untuk belajar bersungguh-sungguh. 5 menjadikan naik (berkenaan adunan kuih); mengembangkan: Serbuk penaik dicampurkan sedikit untuk ~ adunan itu. ~ gaji meninggikan gaji. ~ harga meninggikan harga. Frasa yang lebih sesuai ialah menaikkan harga yang menunjukkan kenaikan harga barg/meninggikan harga. | Tatabahasa | 13.02.2015 |
Boleh tanya...apakah perbezaan 'baru' dengan 'baharu'? | Menurut Kamus Dewan, 'baharu' mempunyai makna sama dengan 'baru'. Baharu adalah sama dalam konteks 'new' dalam bahasa Inggeris, misalnya 1. Kami mengucapkan selamat tahun baharu kepada keluarga Ah Chew. 2. Ali kelihatan bergaya apabila memandu kereta baharu yang dibelinya semalam. Manakala baru dalam bahasa Inggeris bermaksud 'just'. Contoh ayat, 1. Surat itu baru sahaja diterima oleh emak pagi tadi. 2. Baru-baru ini harga petrol telah naik secara mendadak. | Lain-lain | 24.02.2010 |
Apakah ejaan 'baru' telah ditukar kepada 'baharu'? Perkataan ini sering dilihat pada iklan di televisyen mahu pun iklan cetak. Adakah ianya ejaan yang betul? | Merujuk Kamus Dewan, 'baharu' mempunyai makna sama dengan 'baru'. Kata ini boleh digunakan, namun penggunaannya mengikut konteks ayat. Baru dalam bahasa Melayu dapat disamakan dengan kata just dalam bahasa Ingeris. Manakala kata baharu dapat disamakan dengan kata new dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh perbandingan penggunaan kedua-dua kata ini seperti yang berikut: 1. Surat itu baru sahaja diterima oleh emak pagi tadi. 2. Baru-baru ini harga petrol telah naik secara mendadak. 3. Kami mengucapkan selamat tahun baharu kepada keluarga Ah Chew. 4. Ali kelihatan bergaya apabila memandu kereta baharu yang dibelinya semalam. | Lain-lain | 25.02.2010 |
1. Apakah perbezaan antara baru dan baharu? 2. Yang manakah ejaan yang betul, samada sedasawarsa atau sedasawasa yang bermaksud dewasa ini? Terima kasih. | Untuk makluman, baharu ialah kata adjektif manakala baru merujuk kepada kata bantu untuk masa. Sebagai perbandingan, kata baru dalam bahasa Melayu dapat disamakan dengan kata just dalam bahasa Ingeris. Manakala kata baharu dapat disamakan dengan kata new dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh perbandingan penggunaan kedua-dua kata ini seperti yang berikut: 1. Surat itu baru sahaja diterima oleh emak pagi tadi. 2. Baru-baru ini harga petrol telah naik secara mendadak. 3. Baru sahaja Amin membuka pintu, kedengaran seseorang memanggilnya dari luar pagar rumahnya. 4. Kami mengucapkan selamat tahun baharu kepada keluarga Ah Chew. 5. Ali kelihatan bergaya apabila memandu kereta baharu yang dibelinya semalam. Ejaan yang betul ialah sedasawarsa yang bermaksud dekad. | Tatabahasa | 14.06.2009 |