Apakah terjemahan atau cadangan terjemahan bagi perkataan 'infeed'? Menurut Oxford Dictionaries, infeed (NOUN) mass noun 1 The action or process of supplying material to a machine. 1.1 count noun A mechanism which supplies material to a machine. Contoh ayat daripada Merriam-Webster: bottles go into the infeed of washing machine Terima kasih. | Tiada istilah yang khusus untuk perkataan 'infeed' dalam bahasa Melayu. Namun dicadangkan perkataan 'suapan' yang bermaksud tindakan membekalkan mesin dengan bahan yang akan dikerjakan. Terima kasih. | Istilah | 11.07.2017 |
Bagaimana hendak membezakan kata nama berbilang dan tidak berbilang? Adakah kata nama berbilang "countable noun" dalam bahasa Inggeris? Terjemahan bagi itu kata nama berbilang atau hitung? | Kata nama berbilang ialah kata nama yang sifatnya boleh dibilang. Contohnya satu atau tiap-tiap senyuman, hembusan, bayangan, pendapat, rancangan dan gangguan. Semua kategori kata nama berbilang ini termasuk dalam golongan "Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak berbilang ". Manakala kata nama tak berbilang ialah kata nama yang tidak dapat dibilang, contohnya angin, hawa, iklim, kecantikan, keadilan, kesungguhan, keseronokan, keriangan, angkasa dan semangat. Semua kategori kata nama tak berbilang ini termasuk dalam golongan "Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak tak berbilang ". Countable noun ialah kata nama hitung /berbilang. | Tatabahasa | 02.11.2014 |
Salam sejahtera, Kamus Inggeris-Melayu Dewan (KIMD) mendefinisikan 'black sheep' hanya sebagai noun, figurative, 'kambing hitam'. Istilah 'black sheep' dalam Kamus Istilah Malaysia mempunyai istilah sasar sebagai 'kambing hitam' dan huraian 'Seseorang yang tidak disenangi dan sering disalahkan apabila berlaku sesuatu perkara, di dalam satu kumpulan.'. Kamus Istilah Malaysia memberikan istilah sasar 'mangsa lempar salah'/'mangsa lempar-tuduh'/'kambing hitam'. Adakah ini bermaksud KIMD dan Kamus Istilah menganggap istilah BI 'black sheep' dan 'scapegoat' mempunyai maksud yang sama? Ini kerana kedua-dua istilah ini (yang mempunyai definisi berbeza dalam BI) diberikan erti 'kambing hitam' dalam KIMD dan Kamus Istilah. Mohon penjelasan dari pihak DBP. Terima kasih. | Terima kasih atas maklumat yang diberikan berkenaan padanan dan huraian istilah 'Black sheep' dan 'Scape goat'. Pihak kami akan menyemak semula perkara ini untuk dibetulkan. | Makna | 09.03.2010 |
Adakah ayat ini betul? Ibu sedang memasak makan malam di dapur. Adakah 'makan malam' digunakan sebagai noun spt dinner. Mother is cooking dinner. Adakah boleh menggunakan istilah 'makan malam' sebagai objek bagi 'memasak'? | Ayat yang betul ialah ibu sedang menyediakan makan malam di dapur. Dalam konteks ini, frasa 'makan malam' ialah bahasa kiasan yang berfungsi sebagai frasa nama. | Tatabahasa | 22.05.2018 |
Wujudkah perkataan "kenyarisan" dalam bahasa Melayu? Sy lihat ia diguna di Bahasa Indonesia. Pada hemat saya ia melebarkan maksud "nyaris" sebagai "noun". | Encik Zulhaidi, Perkataan kenyarisan tidak ada dalam istilah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks bahasa Melayu, kata nyaris membawa maksud hampir (berlakunya sesuatu), cemas-cemas: Contoh ayat; Barisan pertahanan mereka menjadi huru-hara sehingga nyaris-nyaris keselamatan panglima mereka terancam. | Makna | 07.04.2009 |
Tuan/Puan, Dalam Bahasa Inggeris, "a portfolio of asets", dalam Bahasa Melayu, terjemahannya ialah "sebuah portfolio aset-aset" atau ""sebuah portfolio aset". Secara amnya, bilakah kita guna kata nama bilang (plural noun) seperti pokok-pokok, anak-anak, harta-harta dan bilakah kata nama itu tidak boleh diulang meskipun ia adalah dalam "plural form". Terima kasih. | Dalam terjemahan bahasa Melayu tidak perlu dijamakkan, memadai dengan 'Portfolio aset' atau gunakan kata 'semua', 'Portfolio semua aset'. Saudara boleh juga menggunakan kata 'semua', 'segala' dsb. untuk menunjukkan bilangan yang banyak. Contoh: Semua pokok, segala harta dll. | Lain-lain | 13.08.2009 |
Salam, saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan inggeris 'exercise'; di dalam carian kata, perkataan 'eksesais' tidak wujud. Tetapi bagaimana untuk situasi dimana 'exercise' digunakan sebagai satu bidang/sains/'field'/'area' dan bukan sebagai noun/verb sahaja? Seperti 'exercise science' .Perkataan 'senaman' atau 'latihan' tidak melambangkan maksud yang sebenar. Bagaimana caranya untuk sesorang mencadangkan pendaftaran perkataan baru? terima kasih | Sila kemukakan cadangan istilah baharu tersebut kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. Tuan juga boleh menghubungi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi melalui talian 03-21479158/21479155 untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Istilah | 17.10.2016 |
perkataan seperti "tahun" yang membawa maksud jangka waktu dikategorikan di bawah golongan kata yang mana? Jika dibandingkan dengan perkataan "year" dalam kamus bahasa Inggeris, walaupun membawa maksud yang sama namun perkataan tersebut dikategorikan sebagai noun iaitu kata nama. | Kata nama, kata kerja,dan kata adjektif bolehlah disebut sebagai golongan kata utama kerana menjadi inti bagi frasa utama ayat, iaitu frasa nama, frasa kerja, dan frasa adjektif. Golongan kata nama, merangkumi sejumlah kata perkataan yang boleh menjadi unsur inti dalam binaan frasa nama dan lazimnya kata ini menamakan orang, haiwan, tempat, benda atau konsep. Kata nama terbahagi kepada tiga, iaitu kata nama khas, kata nama am dan kata ganti nama. Kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaan berpangkalkan huruf besar. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda atau perkara yang umum sifatnya dan ditulis dengan huruf kecil. Perkataan tahun tergolong dalam kata nama am, kerana bersifat umum.
| Tatabahasa | 09.03.2015 |