| Assalamualaikum . 1-Saya ingin bertanya tentang pihak manakah yang ada kuasa untuk memastikan bahasa kebangsaan betul- betul tertegak secara yang boleh dibanggakan dalam negara ini. 2-sekiranya rakyat ingin membuat cadangan agar bahasa kebangsaan ini kembali berada pada tempatnya yg wajar, kepada pihak manakah rakyat harus memberi cadangan. sekian dahulu terima kasih. | 1. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan; membakukan ejaan dan sebutan; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas. Namun DBP belum diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Untuk itu, DBP menggunakan kuasa yang sedia ada pada pihak berkuasa tempatan melalui undang-undang kecil iklan, peraturan dan garis panduan yang disediakan. DBP mengadakan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL bagi memastikan paparan di tempat awam menggunakan bahasa yang baik dan betul. DBP sentiasa berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bergerak dalam ruang lingkup kuasa yang ada. DBP menyediakan Sistem Khidmat Nasihat DBP dan Pantau Tegur Bahasa sebagai saluran untuk pengguna bahasa menanyakan hal-hal berkaitan bahasa, sastera, penerbitan dan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang perkembangan dan kesalahan penggunaan bahasa Melayu kepada DBP secara dalam talian. 2. Untuk sebarang aduan/cadangan berkaitan bahasa kebangsaan, bolehlah dikemukakan kepada Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tingkat 19, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 31.01.2021 |
| Saya ingin menanyakan beberapa soalan berkenaan dengan peranan sebenar DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Apakah DBP betul-betul memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia? Perlukah seorang wakil senator dilantik dalam parlimen bagi memperjuangkan Bahasa Melayu? Mengapa tidak dianjurkan satu perayaan atau hari Bahasa Melayu seluruh Malaysia? Sejauhmanakah Bahasa Melayu membantu dalam perkembangan teknologi masa kini? Sejauhmanakah DBP mempertahankan Bahasa Melayu dalam masyarakat Malaysia umumnya dan orang Melayu khususnya? | Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan pembina dan perancang bahasa, sastera dan penerbitan mempunyai peranan sebagai penggerak aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan. Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan,pemupukan, penataran, pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia. Berbekalkan Ordinan DBP 1959, DBP diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan di Malaysia. Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka seperti yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) ialah untuk a) membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; b) untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan; c) untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain; d) untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan e) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan membina dan mangembangkan bahasa kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk bahan-bahan berikut : : 1. Peranan DBP lebih tegas dan jelas oleh Awang Sariyan [diwawancara oleh Adnan Abd. Majid] Dewan Masyarakat 01/07/2004 . 2. Permasalahan dalam pembangunan bahasa Melayu sebagai asas pembangunan negara bangsa Malaysia oleh Ismail Dahaman Dewan Bahasa 01/07/2001 . 3. DBP akan terus mainkan peranan Utusan Malaysia 06/01/1988 4. DBP kembangkan peranannya oleh Nor Sedek Ismail Utusan Malaysia 11/11/1994 . 5. Peranan DBP sebagai penasihat bahasa AGHA Utusan Malaysia 01/03/1996 6. Citra : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia = Citra : Institute of Language and Literature Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2003 . 7. CITRA : Dewan Bahasa dan Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2002 . 8. Citra DBP 40 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 1996. Memang banyak peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini diterjemah dan dimanifestasikan dalam hala tuju DBP sendiri seperti yang dinyatakan dalam fungsi dan dasarnya. Antaranya menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Masalah dan kekangan yg timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama, golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dsb. T.kasih. | Lain-lain | 25.07.2008 |
| Cadangan: Di negara-negara Asia timur seperti Jepun,Korea,malahan di rantau Asia seperti China,Thailand,Loas,Vietnam,Filipina dsbnya meletakkan bahasa kebangsaan masing-masing di atas bahasa Inggeris,.Hal ini dapat dilihat pada singboard2 sama ada merujuk lokasi-lokasi mahupun iklan-iklan.Saya sebagai pencinta bahasa Melayu menyimpan hasrat dan cita-cita agar Malaysia mengorak langkah yang sama.hasrat kerajaaan memartabatkan bahasa Melayu boleh diambil melalui langkah tersebut.Oleh hal yang demikian, DBP diharap dapat memainkan peranan agar menjadi institusi yang lebih dinamik untuk merealisasikan cita-cita tersebut,sekian-matpapaya n geng | Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan; membakukan ejaan dan sebutan; menggalakkkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas. Namun DBP belum diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Untuk itu DBP menggunakan kuasa yang sedia ada pada pihak berkuasa tempatan melalui undang-undang kecil iklan, peraturan dan garis panduan yang disediakan. DBP mengadakan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL bagi memastikan paparan di tempat awam menggunakan bahasa yang baik dan betul. DBP sentiasa berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bergerak dalam ruang lingkup kuasa yang ada. Martabat bahasa kebangsaan lebih terserlah apabila digunakan dalam urusan kenegaraan untuk maksud rasmi dalam kalangan jabatan sektor awam, antara sektor awam dengan sektor swasta, dan antara sektor awam dengan orang awam. | Lain-lain | 04.06.2011 |
| Aslmkum tuan... 1. Sesuaikah sy menggunakan kata 'Panitia' bagi menggantikan kata 'Badan' untuk kata nama khas bagi Panitia Amal dan Khairat Anggota Teraju di kolej saya? 2. Adakah kata 'Teraju' dlm kata nama khas tersebut boleh mewakili/menggambarkan seluruh warga kerja yg berkhidmat di kolej saya atau hanya mewakili pemimpin atasan sahaja. Sekian, terima kasih | 1. Panitia bermaksud sekumpulan orang yang diberi tugas mengurus sesuatu atau jawatankuasa. Sehubungan dengan itu, jika disesuaikan dengan maknanya, tidak ada masalah jika digunakan. 2. Teraju bermaksud dalam konteks ayat tersebut bermaksud kuasa tertinggi, pucuk pimpinan. | Makna | 02.12.2016 |
| Assalammualaikum, mohon bantuan mengenai perkataan prasarana. Masalahnya ialah kami sedang melaksanakan kerja projek penulisan ilmiah untuk mata pelajaran Pengajian Am peringkat STPM. Tajuk yang diberi sekadar berbentuk tema iaitu, pengangkutan:prasarana. Jadi mohon bantuan menghuraikan cakupan prasarana dalam konteks ini adakah meliputi pengangkutan awam sahaja dan tidak boleh menyentuh pengangkutan peribadi seperti kereta atau motosikal? Kerjasama didahului dengan ucapan terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, prasarana ialah keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan kuasa elektrik, dan sebagainya) yang perlu bagi pembangunan (pertumbuhan) dan kemajuan. Kemudahan asas ialah kemudahan yang disediakan untuk orang awam dan keperluan peribadi tidak termasuk dalam huraian berkenaan. | Makna | 12.04.2013 |