| Salam pihak DBP, Bolehkah brumation (A lethargic state in reptiles and in some other animal species [e.g. bears], somewhat analogous to hibernation but not the same.) diterjemahkan kepada brumasi? Ini merujuk kepada contoh-contoh lain seperti hibernation, configuration dan sebagainya. Sekiranya perkataan English berakhir dengan -tion belum direkodkan, bolehkah diterjemahkan terus dengan akhiran -si atau perlu dikekalkan dan diitalikkan terlebih dahulu sehingga ia direkodkan? | Boleh menggunakan padanan bahasa Melayu brumasi.Perkataan English yang berakhir dengan imbuhan -tion dan belum digubal perlu dibincangkan terlebih dahulu dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengutamakan bentuk bahasa Melayu berdasarkan Pedoman Pembentukan Istilah terlebih dahulu sebelum memilih kaedah penyerapan kata daripada bahasa Inggeris. | Istilah | 08.09.2022 |
| Adakah benar tokoh bahasa Melayu hari ini telah banyak menginggeriskan bahasa Melayu dan banyak mengambil perkataan serta istilah saduran dan pinjaman dalam bahasa Inggeris. Benarkah bagi apa-apa perkataan atau istilah saduran dan pinjaman daripada bahasa Inggeris yang ada akhiran ''tion'' maka perkataan atau istilah yang dimelayukan akan berakhiran dengan ''si''. Mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan bahasa Melayu itu sendiri banyak dan kaya dengan perkataan, istilah,perbendaharaan kata serta kosa kata yang boleh dipilih, direka, diperbaharui dan digubal.Saya sebagai dan selaku pencinta bahasa Melayu sungguh kecewa dan mohon penjelasan yang sewajarnya dari pihak DBP.Perkara sebegini perlu dipandang sungguh-sungguh oleh tokoh-tokoh bahasa yang bijak pandai lagi dihormati. Saya juga mohon supaya mengurangkan perkataan, kosa kata serta istilah saduran dan pinjaman bahasa Inggeris dan Eropah. Pada pandangan saya, bahasa Melayu akan lebih berdiri megah dengan perkataan , kosa kata, perbendaharaan kata dan istilahnya sendiri tanpa banyak pinjaman. Masyarakat juga lebih memahami serta dapat mengerti dalam melontarkan dan mengucapkan kata-kata. | Untuk makluman, salah satu cara pembentukan istilah bahasa Melayu adalah melalui penyerapan. Penyerapan istilah asing menjadi istilah behasa Melayu bermakna mengambil keseluruhan istilah asing dengan atau tanpa penyesuaian ejaan dan sebutan. Kaedah ini digunakan apabila; 1. Istilah asing yang akan diserap memperlihatkan mudahnya pemindahan timbal balik antara istilah asing dengan istilah Melayu dalam konteks keperluan pemindahan ilmu pengetahuan. 2. Istilah asing yang akan diserap mempermudah pemahaman teks asing oleh pembaca Malaysia kerana memberi ciri transparensi teks. 3. Istilah asing yang akan diserap lebih ringkas jika dibandingkan dengan terjemahan Melayunya. 4. Istilah asing yang akan diserap mempermudah kesepakatan antara pakar jika padanan terjemahannya terlalu banyak sinonimnya. 5. Istilah asing yang akan diserap lebih sesuai dan tepat kerana tidak mengandungi konotasi buruk. Akiran "-tion" pada istilah bahasa Inggeris boleh dipadankan menjadi "-si" dan "-syen". Contohnya: tradition- tradisi, variation - variasi, convention - konvensyen, convocation - konvokesyen. Untuk maklumat lanjut tentang perkara di atas, sila rujuk buku "Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu Edisi Baharu" terbitan DBP. | Istilah | 20.01.2014 |
| Salam sejahtera, kenapa bahasa Melayu dilihat tiada byk pilihan kata dan padanan kata yg cekap dan kreatif? Contohnya kata "modulation". Terjemahan Melayunya yg dipadankan hanyalah "modulasi", sedangkan kata itu berasal drpd bahasa Indonesia yg sebenarnya dipinjam drpd bahasa Belanda. Kata itu dilihat langsung tidak memiliki nilai keserumpunan, malah lebih anehnya, akhiran -si itu dilihat sgt tak bersifat keMalaysiaan, sepatutnya akhiran "-tion atau -sion dlm bahasa Inggeris dipadankan dgn "-sen" dgn e taling. Contoh dan buktinya itu dpt diteliti dan diperhatikan dlm perkataan "stesen" dan "losen" yg diserap dlm bahasa Melayu dan padanan kata itu bukanlah "stesyen" atau "stasi" dan bukan pula "losyen" atau "losi". Selain itu, boleh juga digunakan kata imbuhan yg memberi maksud yg sama spt imbuhan "pe -- an"; "peng -- an"; dll dlm bahasa Melayu, selain mengekalkan kata asal dgn makna yg baru, barulah kata itu kelihatan keMalaysiaan spt apa yg tercatat dlm Kamus Online DBP. Contohnya lagi, "modulation" dpt dipadankan dgn kata "modulasen" (yakni pinjaman Inggeris yg diMalaysiakan dan seharusnya berlaku dlm bahasa Melayu, bukannya "modulasi" dan bukan pula "modulasyen" atau "modulesyen"); boleh juga dipadankan dgn kata "pemodulatan" (pinjaman Inggeris yg diMelayukan); "modulat" (pinjaman Inggeris dgn kata asal, diperluaskan makna dan golongan kata); "peninggirendahan; "pindaan nada"; "pinda nada"; lunak; atau "pengaturan" (pinjaman dlm bahasa serumpun spt bahasa Indonesia). | Padanan bahasa Melayu bagi istilah modulation ialah pemodulatan, modulatan dan modulasi. Ketiga-tiga bentuk padanan istilah ini menepati kaedah pembentukan istilah bahasa Melayu. Padanan istilah tersebut bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang tertentu.
| Istilah | 02.08.2022 |
| mengapakan istilah bahasa inggeris yang di melayukan mengunakan '-si' di akhiran perkataan..dan bukannya '-kan', '-se' atau sebagainya. contoh: tranformation=trafomasi modification=modifikasi aplication=aplikasi *terdapat pelbagai contoh perkataan lain juga yang diakhiri dengan '-si' saya mengalami kekeliruan terhadap persoalan nih.. harap Tuan/Puan dapat membantu menyelesaikan masalah yang saya hadapi ini..terima kasih atas bantuan.. | Untuk makluman, dalam tatacara pembentukan istilah terdapat satu kaedah, iaitu penyerapan yang bermaksud mengambil keseluruhan istilah asing dengan atau tanpa penyesuaian ejaan dan sebutan. Proses penyesuaian istilah asing mengutamakan bentuk visual, yakni bentuk ejaannya, supaya sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Akhiran asing -tion boleh dipadankan menjadi -si atau -syen. Contohnya, tradition (tradisi), variation (variasi), convention (konvensyen) dan convocation (konvokesyen). Akhiran -kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja, contohnya belikan dan padamkan. Tidak ada akhiran -se dalam bahasa Melayu. | Istilah | 14.02.2012 |