Tuan/Puan, Dalam jawapan Khidmat Nasihat yang lepas, ada penerangan bercanggah tentang ejaan kependekan Yang Berbahagia, sama ada ada titik di hujung atau tidak. YBhg. atau YBhg tanpa titik selepas huruf "g"? Terima kasih. | Kependekan untuk "Yang Berbahagia" ialah "YBhg.". Disebabkan ia singkatan, maka perlu diletak titik. | Ejaan | 11.09.2017 |
Apakah peribahasa yang sesuai untuk petikan di bawah? Ketua kampung kesal akan sikap penduduk yang membisu semasa mesyuarat diadakan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama _____ (i)______. Mereka tidak sepatutnya mengemukakan pendapat dengan sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ______ (ii)_____. Walaubagaimanapun sebagai ketua, beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah anak buahnya bagai _______(iii)_____ supaya penyelesaian yang dibuat dapat memuaskan hati semua pihak. | Menurut data kami, peribahasa yang sesuai ialah i. rumah siap pahat berbunyi iii. bagai menarik rambut dalam tepung. Manakala tiada jawapan ditemukan bagi soalan ii, sila rujuk kamus peribahasa. | Lain-lain | 19.10.2018 |
Yang mana betul.di mana ada gula ,di situ ada semut atau dimana ada semut,di situ ada gula | Peribahasa yang betul ialah di mana ada gula, di situ ada semut. | Makna | 24.09.2018 |
Adakah ayat berikut betul? 1. Ada lima buah buku di atas meja saya. 2. Di atas meja saya ada lima buah buku. Ada pendapat mengatakan ayat tidak boleh dimulakan dengan perkataan "ada".. jadi boleh saya tahu apakah ayat yang sesuai bagi situasi diatas | Perkataan ada (terdapat) ialah kata kerja dan kata kerja sebagai predikat hadir di tengah ayat, kecuali dalam ayat songsang. Dalam kedudukan songsang keseluruhan predikat mesti hadir di pangkal ayat. Contohnya, susunan biasa: Banyak ikan ada di dalam kolam, susunan songsang: Ada di dalam kolam banyak ikan. | Tatabahasa | 21.09.2017 |
Saya maklum bahawa Tatabahasa Dewan menetapkan hanya 15 sahaja dikategorikan sebagai majmuk mantap. Namun, ada buku-buku ilmiah malah para pendidik menyatakan ia lebih daripada itu iaitu sebilangannya menyatakan ada 33; ada juga menyatakan ada 41. Selain yang 15 itu misalnya ialah bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. Soalan saya kenapa perkataan ini bukan tergolong dalam majmuk mantap dan apakah kategori perkataan ini? Soalan kedua, antara Kamus Dewan Bahasa & Tatabahasa Dewan, yang mana lebih betul apabila berlaku percanggahan. Misalnya dalam soal kata baru dan baharu. Kamus menyamakan maksud baharu sebagai baru tetapi Tatabahasa Dewan membezakannya. Untuk makluman, saya merupakan pencita bahasa dan kerap berkongsi ilmu bahasa kepada umum. Antaranya dalam aplikasi Twitter menggunakan tanda pagar #PerkasaBMKita. Sumbangan saya ini diharap membantu sedikit sebanyak dalam memartabatkan penggunaan bahasa melayu yang betul. Terima kasih. | 1. Berdasarkan rujukan daripada buku Tatabahasa Dewan, kata majmuk ialah gabungan dua patah perkataan atau lebih yang mempunyai makna yang berbeza dan menjadi satu makna lain atau makna baharu apabila perkataan tersebut digabungkan. Konsep kata majmuk juga harus mendukung maksud umum, contohnya: kerusi malas, maksud khusus, cthnya: pita suara dan maksud kiasan, cthnya: kaki ayam. Perkataan seperti bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. itu tidak dikategorikan sebagai perkataan majmuk mantap kerana perkataan-perkataan ini tidak mendukung konsep kata majmuk dan perkataan-perkataan ini bukan kata majmuk. Jika mengikut kategori, terdapat dua kategori dalam tatabahasa Melayu, iaitu golongan kata dan bentuk kata. Golongan kata terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas, manakala bentuk kata pula, terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk. Contohnya maksud perkataan “apabila” tidak mendukung maksud ketiga-tiga konsep kata majmuk tersebut kerana perkataan ”apa” , “bila”, dan “apabila” ialah kata tunggal jika kita melihatnya dari segi bentuk kata, dan kata tugas jika kita melihatnya dari segi golongan kata, Perkataan “sukacita” pula ialah kata adjektif, “kadangkala” ialah kata kata tugas, “peribadi” ialah kata nama. 2. Untuk maklumat yang lebih tepat dari segi tatabahasa, tuan/puan disarankan untuk merujuk Tatabahasa Dewan kerana kamus umum hanya merakamkan pelbagai bentuk kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 25.06.2018 |
Selamat sejahtera, saya ada terdengar jika ada karya boleh hantar ke DBP , dan saya ada menulis sajak dan berminat untuk menghantar karya saya di sini. Adakah saya boleh meminta sedemikian atau ada prosedur yang perlu saya patuhi dan apa langkah yang perlu saya ambil bagi menghantar karya saya ? | Pihak tuan boleh menghubungi Bahagian Majalah DBP untuk maklumat lengkap dan jelas akan penghantaran karya tersebut. Nombor telefon: 03-21479449. Terima kasih. | Lain-lain | 24.11.2017 |
Apakah penjodoh bilangan untuk otak? ada yang menyatakan otak tidak ada penjodoh bilangan dan ada yang menyatakan penjodoh bilingan untuk otak adalah seketul.... | Untuk makluman tuan, tiada penjodoh bilangan untuk otak. | Lain-lain | 05.04.2018 |
Saya ingin bertanyakan sama ada pihak DBP ada membuat penterjemahan dari Bahasa Mandarin ke Bahasa Melayu | Untuk makluman, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan terjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. Sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), melalui talian 03-9226 2506 atau e-mel terjemah1@gmail.com. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.08.2020 |
selamat sejahtera encik. 1. Hadapan kelas ada papan tulis. 1a. Di hadapan kelas ada papan tulis. Perlukah kata sendi di digunakan dalam ayat 1a? ayat mana yang betul? kalau ayat 1 salah, harap dapat penjelasan daripada encik. terima kasih. | Penggunaan ayat “Hadapan kelas ada papan tulis” kurang tepat. Ini kerana, akan menjadi “ada papan tulis depan kelas” soalannya “papan tulis ada di mana?” bukannya “papan tulis ada mana?” mana papan tulis? adalah salah, sepatutnya “Di mana papan tulis?”, oleh itu, penggunaan “di” perlu ada. | Makna | 24.11.2018 |
'Sesungguhnya aku ada melihat api' Soalan : 1. adakah 'ada' dalam ayat ini dikategorikan sebagai kata bantu ragam dengan makna kepastian? Adakah ayat ini gramatis dalam bahasa Melayu? | 1. 'ada' dalam ayat 'Sesungguhnya aku ada melihat api' berfungsi sebagai kata kerja dan lebih kepada bentuk bahasa percakapan. Ayat yang gramatis ialah "Sesungguhnya aku melihat api." | Tatabahasa | 26.01.2018 |