Adakah bertali arus, Gempa bumi, Layar ingatan, Gigi air, Logik akal, Cacar air, Jantung hati, Jalan pintas kata majmuk? | Bertali arus, gempa bumi, layar ingatan, gigi air, logik akal, cacar air, jantung hati dan jalan pintas ialah kata majmuk. Kata majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk ditulis terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh disisipkan dengan sebarang unsur. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kata majmuk, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 48,54,72-75, 139 dan 218. Terima kasih. | Tatabahasa | 20.02.2023 |
Salam, boleh tuan/puan berikan maksud 'air laut', 'air kolam' dan 'air sungai'? Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan, laut ialah air masin yang menggenangi sebahagian besar daripada muka bumi, sungai ialah tali air yang semula jadi dan kolam ialah lubang (lekuk) di tanah yang berisi air. Puan boleh melayari laman PRPM.dbp.gov.my untuk makna perkataan. | Tatabahasa | 03.09.2013 |
Salam, Soalan pertama: Antara berikut, yang manakah betul dan apakah alasannya? 1) Lebih kurang 70-80 peratus bumi diliputi air 2) Lebih kurang 70 peratus-80 peratus bumi diliputi air Soalan kedua: Perlukah kata sendi nama diulang dalam ayat berikut dan apakah alasannya? - Mereka akan bercuti ke Perak dan ke Sabah. - Dia menyiram pokok bunga pada waktu pagi dan pada waktu petang. - Murid-murid yang berada di perpustakaan dan di makmal komputer perlu menutup suis selepas menggunakannya. | 1. Lebih kurang 70- 80 peratus bumi diliputi air. 2. Mereka akan bercuti ke Perak dan Sabah. 3. Dia menyiram pokok bunga pada waktu pagi dan petang. 4. Murid-murid yang berada di perpustakaan dan makmal komputer perlu menutup suis selepas menggunakannya. Tidak perlu pengulangan kata kerana ayat tersebut sudah mantap. | Tatabahasa | 10.04.2013 |
Salam, Apakah kata sendi nama yang paling tepat bagi ayat berikut: 1. Kedua-duanya ialah air yang turun dari langit tetapi menjadi beku di udara kerana terlalu sejuk, lalu jatuh ke bumi dalam keadaan beku. 2. Air mineral, iaitu air yang terbit daripada tanah yang suci, walaupun bercampur dengan tanah atau galian lain. Apakah kata sendi nama yg tepat bagi kedua-dua ayat di atas? Sekian, terima kasih. | Penggunaan Kata Sendi Nama pada ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 30.11.2021 |
1. Mohon pengesahan penggunaan perkataan 'daripada' berdasarkan ayat dibawah sama ada sesuai atau sebaliknya: Kurang 'daripada' tiga peratus 'daripada' air mentah yang wujud di muka bumi boleh didapati di tasik dan sungai manakala lebih 97 peratus adalah 'daripada' air bawah tanah. 2. Mohon pengesahan penggunaan perkataan 'dari' dan 'diperoleh' berdasarkan ayat dibawah sama ada sesuai atau sebaliknya: Sumber air mentah di negara kita kebanyakannya 'diperoleh' 'dari' sungai, empangan dan air bawah tanah. Semoga saya mendapatkan bantuan segera dari pihak tuan/puan. Terima kasih atas respon yang diberikan. | Kata sendi nama "daripada" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuat benda, dan perbezaan atau perbandingan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 269 untuk keterangan lanjut. Daripada contoh di atas penggunaan yang betul ialah "daripada" kecuali perkataan "diperoleh dari" sepatutnya "diperoleh daripada" kerana menunjukkan sumber. | Tatabahasa | 08.01.2010 |
Tuan, saya ingin bertanya tentang perkataan 1. "menerangkan" adakah perkataan ini ialah kata kerja transitif atau tak transitif? Selepas menerangkan, mestikah diikuti dengan objek? Contoh : i) Cikgu Hanif menerangkan tentang bentuk muka bumi kepada murid-murid. ii)Cikgu Hanif menerangkan bentuk muka bumi kepada murid-murid. Ayat yang mana betul, i atau ii ? 2. Perkataan "berisi" Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, berisi bermaksud :3. = berisikan mengandungi, bermuat: baldi yg ~ air mandi; Dalam keadaan ini, selepas perkataan berisi, perlukah diikuti dengan perkataan "dengan"? Contoh : i) Saya menatang dulang yang berisi dengan makanan. ii) Saya menatang dulang yang berisi makanan. Ayat mana satu yang betul, i atau ii ? Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu kepada tuan. | 1. Perkataan menerangkan merupakan kata kerja aktif transitif, iaitu kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ayat yang betul ialah ayat (ii) 2. Mengikut Kamus Dewan Perdana, berisi dalam konteks ayat yang diberikan bermaksud ada seseorang atau sesuatu di dalamnya. Ayat yang betul ialah ayat (ii) | Tatabahasa | 24.11.2021 |
Sila berikan maksud peribahasa berikut: 1) jinak-jinak merpati 2) jinak-jinak lalat 3) berdiri di atas pagar 4) terang-terang tanah 5) menangguk di air keruh 6) mengajar itik berenang 7) berkerat rotan berpatah arang 8) makin murah makin menawar 9) di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung 10) alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan 11) masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak Terima Kasih. | 1. perempuan yang kelihatannya ramah dan mudah didapat, tetapi apabila didekati menjauhkan diri. 2. seseorang yang bercampur dengan orang lain tetapi tidak begitu rapat atau mesra. 3. tidak berpihak ke mana-mana 4. pagi-pagi hari ketika tanah mulai kelihatan. 5. mencari keuntungan dll. sementara ada kekacauan. bagi peribahasa seterusnya sila rujuk Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua dan Kamus Dewan Edisi Keempat. | Lain-lain | 05.05.2008 |
Salam pagi, Soalan saya ialah: 1) Yang manakah lebih gramatis: memanggang sate ATAU membakar sate? 2) Yang manakah lebih gramatis: bahan pencemar udara ATAU bahan cemar udara ATAU pencemar udara? 3) Apakah perbezaan antara maksud 'konsep' dan 'prinsip'? Sila berikan contohnya sekali. 4) Yang manakah betul: - ...orang ramai dinasihatkan supaya tidak membakar .... ATAU - ...orang ramai dinasihatkan tidak membakar... 5) Apakah perbezaan maksud antara 'punca' dan 'sumber'. Contoh ayat- Punca-punca pencemaran air ialah... ATAU Sumber pencemaran air ialah... (yang manakah lebih gramatis?) 6) Yang manakah lebih gramatis: - Ekoran daripada masalah jerebu... - Ekoran masalah jerebu... 7) Yang manakah betul / gramatis: - Kesan terhadap manusia ATAU kesan ke atas manusia 8) Yang manakah betul / gramatis: - lain-lain bahan atau bahan-bahan lain 9) Yang manakah betul / gramatis: - kita dapat merasanya dengan tangan - kita dapat merasainya dengan tangan 10) Yang manakah betul / gramatis: - menenggelamkan kawasan bumi yang rendah - meneggelamkan bahagian bumi yang rendah - membanjiri kawasan yang rendah - membanjiri bahagian yang rendah Sekian, terima kasih. CK | (1) Frasa memanggang sate dan membakar sate, kedua-duanya betul. (2) Frasa yang paling tepat ialah pencemar udara. (3) Konsep bermaksud pengertian am atau idea ygan mendasari sesuatu, seperti konsep demokrasi tidak bererti kebebasan yang tidak terbatas. Prinsip bermaksud sesuatu yang menjadi dasar atau pegangan, seperti "berdasarkan perinsip kemampuan dan kecekapan". (4) Frasa yang betul "orang ramai dinasihatkan tidak membakar". (5) Punca pencemaran air ialah... (6) Ekoran daripada masalah jerebu... (7) Kesan terhadap manusia... (8) Frasa yang betul ialah "bahan-bahan lain". (9) Kita dapat merasanya dengan tangan. (10) Membanjiri kawasan yang rendah. | Tatabahasa | 11.10.2015 |
Salam Tuan/Puan Bolehkah pihak DBP memberi komen kepada hasil nukilan saya seperti di bawah. Untuk pengetahuan pihak DBP saya tidak berapa pasti apakah hasil nukilan saya ini puisi atau sebaliknya. Saya juga ingin mendapatkan komen daripada pihak DBP sama ada hasil nukilan ini layak untuk di siarkan di mana-mana majalah atau surat khabar. Terima kasih dengan komen yang akan diberikan. Anak-anakku kau umpama cahaya matahari Yang tidak pernah jemu menyinari bumi Begitu juga kalian menyinari kehidupan ayah dan umi Anak-anakku Kecerian terpancar di wajah dan senyum di bibir kalian Sungguh mendamaikan dan menyejukkan umpama air sungai yang mengalir tenang Anak-anaku Kaulah harta yang paling bernilai di dunia ini Diri kalian tidak boleh di jual beli Jika hilang tidak akan muncul kembali Anak-anakku tanpamu kalian di sisi umpama langit yang gelap yang tidak berbintang penuh diselubungi awan hitam Anak-anakku Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian Agar menjadi anak-anak yang soleh dan taat Dengan perintah Tuhan | Waalaikumsalam puan, Bagi mendapatkan sebarang ulasan entang hasil nukilan puan, sebaik-baiknya puan hantarkan puisi tersebut mengikut format puisi yang sebenar kepada e ditor Dewan Sastera di Bahagian Majalah DBP, atau fadhli@dbp.gov.my. Setiap puisi yang dihantar perlu dinilai terlebih dahulu oleh editor bagi memastikan bahawa puisi tersebut menepati kriteria yang ditetapkan dan sesuai untuk diterbitkan.Terima kasih. | Lain-lain | 30.11.2013 |
Salam, Apakah definisi untuk 'kapal laut'?saya cuba mencari maknanya di dalam Kamus Dewan tetapi tidak jumpa dalam entri 'kapal'. Selain itu, saya juga ingin bertanya, adakah bentuk dan fungsi kapal laut sama seperti kapal pesiaran seperti Star Cruise dan sebagainya?Terima kasih. | Salam, Apakah definisi untuk 'kapal laut'?saya cuba mencari maknanya di dalam Kamus Dewan tetapi tidak jumpa dalam entri 'kapal'. Selain itu, saya juga ingin bertanya, adakah bentuk dan fungsi kapal laut sama seperti kapal pesiaran seperti Star Cruise dan sebagainya?Terima kasih. Dalam bidang Geografi - Kapal laut yang menggunakan tenaga wap. Makna dalam kamus pula, Laut -bahtera atau perahu besar yang ada geladak (biasanya digerakkan oleh jentera); laut pula air masin yg menggenangi sebahagian besar drpd muka bumi. Maka secara harfiahnya, 'kapal laut' ialah bahtera atau perahu besar yang ada geladak (biasanya digerakkan oleh jentera) yang digunakan di laut masin. | Istilah | 28.05.2013 |