Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat perkataan "keberkesanan". Soalan saya: 1. Apakah kata dasar perkataan tersebut ialah "berkesan"? 2. Jika kata akarnya ialah "berkesan", apakah justifikasi yang digunakan? Mengapa kata "kesan" tidak dianggap sebagai kata akarnya? | Berkesan dan keberkesanan, kata dasar kedua-dua kata tersebut ialah "kesan". | Tatabahasa | 18.07.2008 |
Salam, 1. Apa beza antara 'jawapan' dan 'jawaban'? 2.'Aku bukan kesinambungan cintamu...demikian lirik sebuah lagu.Apakah maksud 'kesinambungan'? Apakah kata akarnya? dan contoh ayat. | 1. Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. 2. Kesinambungan bermaksud perihal bersinambungan, kelanjutan, keterusan, persambungan. Kata akarnya ialah sambung yang disisipkan -in- menjadi sinambung. Gabungan apitan ke-...-an menerbitkan kesinambungan. Contoh ayat: Sastera Melayu moden merupakan kesinambungan daripada sastera Melayu lama. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 237. | Istilah | 31.07.2009 |
APAKAH PERBEZAAN SETAKAT DAN SEHINGGA? BAGAIMANAKAH PENGGUNAANNYA? | Perkataan setakat, yang kata akarnya ialah takat digunakan bagi sesuatu had atau peringkat pada sesuatu ukuran. Contoh: Dalamnya sungai itu takat pinggang sahaja; Setakat itu saja yg dapat saya ceritakan. Setakat manakah hasil yang didapati daripada pengajaran yang telah diberikan? Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa , waktu atau tempat. Contoh : Pegawai itu berjaga hingga pagi. Anak-anaknya belajar hingga peringkat universiti. Manakala sehingga digunakan sama dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Contoh : Kami akan bersama-sama sehingga akhir hayat. Pasangan itu berjanji akan setia sehingga hujung nyawa. | Tatabahasa | 08.05.2015 |
Apakah kata dasar bagi "Kesinambungan"? Bagaimana hendak menggunakan imbuhan "me..." bagi kata dasar berkenaan? "Menyinambungkan"? | Kata akarnya ialah sambung yang disisipkan -in- menjadi sinambung. Perkataan sinambung tidak menerima imbuhan me- tetapi kata akar, sambung boleh menerima awalan meN- iaitu menyambung. | Tatabahasa | 12.08.2013 |
dia berdiri teguh di belakang pemimpin itu. munsyi, adakah teguh betul? TK | teguh- tidak mudah terbongkar atau roboh, kukuh (buatannya), kuat, erat (ikatannya dll): jikalau sepohon kayu banyak akarnya lagi ~, apakah ditakutkan ribut; kainnya ~, tahan lama, ringan dan senang dicelup; 2. ki kuat (tali persaudaraan, persahabatan, dll), rapat: demikian sekali ~nya tali persaudaraan yg telah diikat antara orang Muhajirin dgn orang Ansar itu; 3. ki tidak merosot (ekonomi dll), kuat: keadaan ekonomi negeri kita tetap ~, baik dr segi kewangan mahupun barang-barang; 4. tidak berubah (iman, hati, pendirian, kesetiaan, dll), tetap: beliau mempunyai keazaman yg ~ dan kesanggupan yg kukuh utk menghadapi berbagai-bagai peristiwa hidup; ~ hati = hati ~ kuat hatinya; ~ setia tidak berubah-ubah kesetiaannya; yg ~ disokong, yg rendah ditindih prb ketidak-adilan; berteguh memperkukuhkan diri, memperlengkapkan diri (supaya lebih teguh); ~ hati menguatkan hati, dgn teguh hati;berteguh-teguh, berteguh-teguhan; ~ janji saling menyatakan setia kpd janji; berteguhkan sl, meneguhkan berpegang teguh (pd janji dll). Teguh lebih sesuai untuk prinsip, pegangan, peraturan. | Tatabahasa | 01.09.2012 |
Adakah bahasa Melayu mempunyai padanan untuk istilah 'astral projection'? Nampaknya dalam Internet, istilah tersebut dipadankan dengan 'meraga sukma' tetapi sumbernya banyak dari Indonesia. Bolehkah dipinjam sahaja istilah meraga sukma memandangkan bahasa Indonesia dan Melayu baku akarnya sama iaitu Melayu Riau dan kata raga serta sukma memang ada dalam penggunaan penulisan serta percakapan Melayu? | DBP mengambil maklum cadangan tuan bagi perkataan astral projection dalam bahasa Melayu. Pihak kami akan membincangkan terlebih dahulu sebelum menerima perkataan tersebut. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berasal daripada rumpun bahasa yang sama, iaitu Austronesia. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.12.2018 |
Apa maksud "mendabrak"? Saya jumpa perkataan ini dalam buku Ceritera Bahasa oleh Awang Sariyan terbitan DBP. | Walaupun kata "mendabrak" tidak terakam dalam kamus di Malaysia dan Indonesia, kata ini bolehlah dianggap varian bagi kata "menabrak". Dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) kata terbitan "menabrak" yang kata akarnya "tabrak" membawa maksud melanggar seseorang atau sesuatu. Makna ini bergantung kepada konteks penggunaannya. | Makna | 09.03.2024 |
Aslm tuan, saya ada soalan berkaitan etimologi bagi "rusiga". Adakah rusiga ini sebenarnya kependekan bagi "rumput segi tiga"? Selain itu, saya ingin bertanya tentang padanan rasmi bagi "rush", iaitu sejenis tumbuhan bak rumput dalam keluarga Juncaceae. Adakah purun boleh dipakai? | 1. Menurut Kamus Dewan Perdana (KDP) (DBP, 2020) rusiga ialah tumbuhan jenis herba daripada famili Cyperaceae yang batangnya bersegi, bulat atau leper serta kasar, akarnya menjalar, daunnya runcing, bunganya halus berjambak dan berbeza-beza mengikut jenis, biasanya tumbuh di kawasan lapang dan kering, mis rumput sendayan. Tidak terakam asal usul kata rusiga ini daripada kependekan rumput segi tiga. Frasa rumput segi tiga juga tidak dijadikan entri/frasa dalam KDP. 2. purun 1; purun danau ialah rumput sendayan yang hidup di dalam paya atau air yang cetek, dan ditanam di beberapa bahagian di Borneo untuk dijadikan tikar dan bungkusan barang; Lepironia articulata; purun tikus ialah rumput sandang; Fimbristylis globulosa. rumput sandang ialah rumput yg berbatang leper, agak tinggi, banyak terdapat di kawasan tanah rendah dan lembap, dan batangnya yang dikeringkan boleh dijadikan bahan anyaman; purun tikus; Fimbristylis globulosa. purun 2 ► rumput purun batu rumput puruh batu atau rumput purun batu ialah rumput kepala lalat (tumbuhan); Fimbristylis dichotoma. rumput kepala lalat ialah rumput sederhana tinggi yang tumbuh berumpun, bunganya berjambak di tengah rumpun, berdaun tirus dan biasanya berbulu, hidup liar di kawasan lapang, boleh dijadikan baja hijau, dan tumbuhan ini boleh dijadikan makanan binatang ternakan; rumput para-para; rumput purun batu; Fimbristylis dichotoma. Berdasarkan senarai kata dalam PRPM dan KDP, tiada padanan tepat bagi rush yang berkaitan dengan sejenis rumput. Kata purun atau frasanya hanya boleh digunakan jika nama saintifik tumbuhan/rumput tersebut sama seperti yang tersebut di atas. | Makna | 04.09.2023 |
Adakah kata akar takhlisan itu ialah takhlis? Jika ya, bolehkah saya gunakan seperti dalam ayat ini: 'Saya sudah tidak dapat ditakhliskan lagi.' (I am beyond salvation). | Untuk makluman tuan/puan perkataan takhlis tidak terdapat dalam rujukan kami. Walau bagaimanapun, menurut Kamus Dewan edisi keempat, terdapat perkataan takdis yang bermaksud penyucian, pengudusan; dan penambahan imbuhan bagi perkataan ini ialah mentakdiskan/ditakdiskan ( kata akarnya ialah takdis). Oleh itu, binaan ayat yang dicadangkan ialah “Saya sudah tidak dapat ditakdiskan lagi” atau "saya sudah tidak dapat disucikan lagi”. Terjemahan yang tepat bagi “I am beyond salvation” pula ialah “ Saya sudah tidak dapat diselamatkan lagi”. | Ejaan | 07.04.2018 |
salam tuan, biasanya di Kelantan atur cara sesuatu majlis akan ditulis seperti berikut: 8.00 pagi ceramah 9.30 pagi persegaran begitulah seterusnya ...adakah dalam konteks ini betul penggunaan perkataan ;persegaran' mohon penjelasan lanjut kerana di Kelantan begitulah keadaannya. | Untuk makluman, tidak ada kata "persegaran" dalam pangkalan data kami. Kata akarnya ialah “segar” yang membawa maksud segar atau benda yang baru. Walau bagaimanapun, sekiranya kata segar ini diberi imbuhan men-, me-...-kan, ke-...-an, pen-...-an, pen-, kata ini akan menjadi menyegar, menyegarkan, kesegaran, penyegaran dan penyegar. Perlu diingatkan, bahawa penggunaan kata ini bergantung pada konteks ayat dan bidang. Justeru, kata yang gramatis ialah "penyegaran" yang membawa maksud proses menyegarkan sesuatu. | Tatabahasa | 10.02.2012 |