| Salam sejahtera. Saya ingin bertanya adakah aman damai itu merupakan kata ganda? Terima kasih | Kata aman damai digolongkan sebagai kata adjektif majmuk. Kata adjektif majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata adjektif dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Antara kata adjektif yang lain ialah buta huruf, cantik jelita, gagah perkasa, merah jambu, iri hati, dan kelam kabut. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Kata Adjektif Majmuk, sila rujuk buku Tatabahasa Bahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 242-247. | Tatabahasa | 07.08.2020 |
| Adakah ayat di bawah betul? Saya menikmati suasana perkampungan yang aman damai. | Ya. Ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 28.03.2015 |
| Tuan/Puan, Pertanyaan tentang penggunaan perkataan 1)Sakinah 2 ) berhemat/berhemah 3) menaiktarafkan/ menaikkan taraf / menaik taraf Sekian terima kasih. | Sakinah (sakinat) ialah kata Arab yang bermaksud aman, damai, atau tempat yang aman dan damai. Berhemat bermaksud berjimat, berhati-hati, teliti. Berhemah bermaksud mempunyai budi pekerti yang mulia. Ketiga-tiga bentuk ejaan - menaiktarafkan, menaikkan taraf dan menaik taraf adalah betul dan boleh digunakan asalkan sesuai dengan konteks penggunaannya. Begitu juga dengan perkataan sakinat, berhemat/berhemah boleh digunakan dalam konteks yang sesuai dengan makna perkataan tersebut. | Makna | 18.01.2010 |
| Selamat pagi, saya ingin mengajukan soalan kepada ahli DBP yang sangat dihormati. kenapa para bijak pandai, pejuang, dan golongan pakar bahasa Melayu tidak menggunakan saja istilah "sejahtera" untuk "kata sapaan" dalam bahasa Melayu yang memberi maksud "helo","hai","hei","halo","selamat datang","salam","assalamualaikum" dan "selamat tinggal" selain memberi maksud "selamat","aman","damai","sentosa","makmur"dan "sihat". Sepertimana yang dilakukan oleh pencinta Bahasa Ibunda yang lain di Asia, seperti Negara yang tak pernah dijajah iaitu negara Thailand, "helo" dan "hai" dalam bahasa Thai ialah "สวัสดี" yang juga membawa maksud "selamat","kebagusan", "kesejahteraan","sejahtera","keselamatan","aman","keamanan","makmur","kemakmuran","sifat baik","kemajuan","maju" dan sebagainya. | Bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik yang menawarkan pelbagai kata ucap selamat mengikut konteks penggunaannya; iaitu sama ada rasmi atau tidak rasmi. Ucap selamat untuk situasi rasmi, salam sejahtera memang digunakan secara meluas. | Istilah | 22.08.2014 |
| Apakah perbezaan untuk dan supaya? Apakah panduan penggunaannya | Kata sendi nama 'untuk' dan 'bagi' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama dengan fungsi tertentu seperti yang berikut: i. menunjukkan kegunaan untuk sesuatu. Dalam penggunaannya yang demikian,kata sendi nama 'untuk' dapat bervariasi dengan kata sendi nama 'bagi'. Contohnya : Asrama untuk/bagi penuntut Sabah sedang dibina. ii. menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Dalam penggunaan yang demikian, 'untuk' tidak boleh bertukar dengan 'bagi'. Contohnya: hadiah itu untukmu bukan Hadiah itu bagimu. Supaya merupakan kata keterangan harapan. Kata keterangan harapan ialah unsur yang menerankan sesuatu perbuatan atau kejaidan yang dihajati. Contoh 1. Supaya suasana menjadi aman damai, mereka semua bersetuju dengan cadangan pemimpin muda itu. | Tatabahasa | 04.09.2013 |
| betulkan sekiranya ayat dimulakan dengan 'Ini kerana' Contoh, Ini kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan damai. | Sdr Anuar, Untuk makluman sdr, perkataan "ini atau itu" digolongkan sebagai kata ganti tunjuk. Kata ganti tunjuk digunakan untuk menunjukkan sesuatu atau seseorang. Misalnya; 1. Ini kaset lagu terbaharu Mawi. 2. Itu rumah kawan saya. Oleh yang demikian, ayat sdr sepatutnya; Hal ini kerana Malaysia merupakan negara yang aman dan damai. (bukannya: Ini kerana Malaysia merupakan negara yang aman dan damai.) | Tatabahasa | 07.03.2009 |
| Ayat berikut yang manakah tepat dan betul? (a) Suasana pagi itu sungguh nyaman dan damai. (b) Suasana pagi itu sungguh aman dan damai. | Ayat (a) lebih tepat. | Tatabahasa | 12.12.2015 |
| Tuan, adakah ayat-ayat tersebut gramatis? Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat muhibah, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. | Ayat yang dinyatakan boleh digunakan. | Tatabahasa | 08.06.2020 |
| Selamat sejahtera, kenapa bahasa Melayu hari ini dilihat banyak menyempitkan makna perkataan? Contohnya dlm perkataan "salam". Dpt diperhatikan, kata "salam" hanyalah digunakan dlm golongan kata iaitu kata sifat dan kata nama semata-mata, padahal perkataan itu juga boleh diperluaskan dan digunakan dlm bentuk kata seru, tak salah sekiranya dipadankan dgn kata seru "helo", "hai" dan "selamat tinggal" memandangkan hal itu dpt dibuktikan dgn penggunaannya sehari-hari khususnya dlm masyarakat Nusantara ini sendiri yg byk menggunakannya sbg kata seruan. Contohnya ialah, "Salam, saya dari Johor!". Sekian. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1936) kata salam diberikan takrifan seperti yang berikut: salam1 سلام kata nama 1 ungkapan tertentu spt “assalamualaikum”, “selamat pagi” dan “salam sejahtera” yg diucapkan sbg tanda hormat kpd sso ketika bertemu, sebelum memulakan ucapan dsb: Dia langsung tidak menjawab salam yg kuberikan.◊Aku mengucapkan salam saat bertemu dengannya. 2 tangan yg dihulurkan utk berjabat dgn sso sbg tanda hormat ketika mula bertemu atau hendak berpisah: Dia tidak akan menghulurkan salam kpd perempuan yg bukan mahramnya. 3 ungkapan “assalamulaikum” yg disebut apb memalingkan muka ke kanan dan ke kiri sebelum mengakhiri solat; 4 digunakan dlm ucapan, surat dsb, utk menyatakan sst perasaan, meraikan sso atau sst peristiwa dll: Salam Aidilfitri buat ayahanda dan bonda di kampung.◊Terimalah salam sayang drp kami di perantauan. kata adjektif 5 aman damai atau sejahtera: suasana yg salam; salam kaut, salam keruk bahasa basahan perbuatan bersalaman sambil menghulurkan wang oleh tetamu kpd tuan rumah, terutamanya ketika kenduri kahwin: Salam kaut ini seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan. salam takzim ucapan salam sbg tanda hormat kpd sso atau sst pihak: Saya mengambil kesempatan ini utk menyampaikan salam takzim Yang Berhormat, yg tidak dapat hadir pd pagi ini. 2. Oleh sebab itu, salam dalam ayat "Salam, saya dari Johor!" masih berkelas kata nama, dan maknanya terkandung dalam pecahan makna keempat iaitu ungkapan yang digunakan dalam ucapan, surat dan sebagainya, untuk menyatakan sesuatu perasaan, meraikan seseorang atau sesuatu peristiwa dan lain-lain. 3. Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 255) menyatakan kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah: aduh, amboi, cis, oh, celaka, eh, wah, syabas, aduhai, wahai, dan sebagainya. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut: 44. Aduh, sakitnya kakiku! 45. Cis, terimalah tikamanku! 46. Celaka, habis tanamanku dimusnahkannya! 4. Dalam mana-mana bahasa, makna unit leksikal dalam lingkungan domain tunggal dapat dihubungkan dengan satu sama lain mengikut empat cara yang asas iaitu: perhubungan itu mungkin (1) menular, (2) bertindihan, (3) terkandung, dan (4) saling melengkapi. Kata ‘salam’ dikatakan berbeza daripada kata ‘hai’, ‘hello’ dan ‘selamat tinggal’ kerana fitur dalam domain tunggalnya tidak berhubung dengan kata-kata tersebut. Secara mudahnya, makna unit leksikal kata ‘salam’ tidak sepadan dengan makna kata ‘hai’, ‘helo’ dan ‘selamat tinggal’. Oleh hal demikian, kata ‘salam’ tidak dapat dikelaskan dalam golongan kata seru. 5. Dalam proses peminjaman kata, penyempitan makna atau peluasan makna berlaku dalam bahasa sasaran. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam proses pemberian makna sesuatu kata, khususnya dalam penganalisisan makna setiap kata yang dipinjam atau diserap. Contoh kata pinjaman yang mengalami perbezaan makna daripada bahasa asalnya ialah aljabar, amaun, beta, gahara dan grenad. Sila rujuk maklumat etimologi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 02.08.2022 |
| Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Batu ialah objek yang padu. 2. Beliau seorang pakar mata. 3. Kadar pembiakan lalat amat tinggi. 4. Penari itu sedang berlatih / melatih tarian baharu. 5. Pengali dalam 3x5 ialah 5. 6. Aktiviti sudah sampai ke penghujung. 7. Ibu menyidai baju pada / di penyidai. 8. Pohon / Pohon-pohon buah-buahan di dusun datuk berbuah lebat. 9. Adik panas radang sejak malam tadi. 10. Rakyat negara kita hidup secara aman dan damai. Terima kasih. | Ayat yang disenaraikan ini betul, iaitu: 1. Batu ialah objek yang padu. 2. Beliau seorang pakar mata. 3. Kadar pembiakan lalat amat tinggi. 4. Penari itu sedang berlatih tarian baharu. 5. Pengali dalam 3x5 ialah 3. 6. Aktiviti ... sudah sampai ke penghujung. 7. Ibu menyidai baju pada penyidai. 8. Pohon buah-buahan di dusun datuk berbuah lebat. 9. Adik panas badan sejak malam tadi. 10. Rakyat negara kita hidup secara aman dan damai. | Tatabahasa | 11.03.2013 |