Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[a.mat] | امت

Definisi : sangat: ~ mahal; ~ terkejut; ~ sangat tersangat, terlampau, terlalu; memperamat, memperamat-amat, memperamatkan, memperamat-amatkan memperhebat, mempersangat: ~ pukulan; teramat tersangat, terlampau sangat: yg ~ mulia; keamatan 1. keadaan yg amat sangat; 2. darjah (kekuatan, kehebatan, dsb) yg amat tinggi. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[a.mat] | امت

Definisi : ; mengamati, mengamat-amati 1. memerhatikan benar-benar, melihat dgn teliti: ia ~ muka tunangannya; 2. meneliti, meng­awasi: segala gerak-geri orang yg dicurigai diamat-amati oleh polis; pengamatan, pengamat-amatan peng­awas­an, penelitian: drpd ~ saya yg sungguh-sungguh, saya mendapat kesan bahawa dialah yg bersalah; pengamat pengawas. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[a.mat] | امت

Definisi : benar-benar; sangat: ~ cantik; ~ pandai. keamatan ist keadaan yg tinggi kadarnya (ttg sinaran cahaya, aliran elekrik dsb). teramat terlalu sangat: ~ besar; ~ mulia. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

[a.mat] | امت

Definisi : ; mengamati 1 melihat dgn teliti: Beliau telah ~ gambar itu utk mengetahui yg manakah gambar adiknya. 2 memperhatikan sesuatu dgn sungguh-sungguh; mengawasi: Pihak polis sedang ~ setiap gerak-geri mereka. pengamatan perbuatan atau hal mengamati. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata amat

Puisi
 

Rumah baru sudahlah siap,
     Tapi dapurnya amat sempit;
Kuat burung kerana sayap,
     Kuat ketam kerana sepit.


Lihat selanjutnya...(1000)
Peribahasa

Bagai emak mandul baru beranak.

Bermaksud :

Girang yang amat sangat; kasih sayang yang terlalu amat.

 

Lihat selanjutnya...(39)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
salam sejahtera, saya hendak bertanya kepada pihak tuan bahawa penggunaan frasa di bawah bawah adakah betul? 1) amat sangat cantik 2) sunggut amat cantik 3) terlalu amat cantik sekian, terima kasih.1. Amat sangat cantik, sungguh amat cantik - amat, sangat dan sungguh ialah kata penguat bebas dan kata penguat tak perlu hadir berturutan dalam satu ayat.
2. Terlalu amat cantik - Frasa ini betul, walau bagaimanapun terlalu cantik atau amat cantik telah memadai.
Tatabahasa05.07.2012
pertandingan Puisidra Sains yang diadakan di sekolah (amat hebat sungguh) hingga para penonton tidak berganjak. yang manakah satukah jawapan yang tepat amat hebat, amat sungguh hebat, teramat hebat sungguh, amat hebat sungguh?

Kata penguat yang paling sesuai dan betul untuk ayat tersebut ialah amat hebat. Untuk rujukan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan.

Tatabahasa06.08.2008
amat terindah, amat tercantik dan sebagainya. tatabahasa betul?Penggunaan yang betul ialah teramat indah atau teramat cantik, ter + amat + kata adjektif.Tatabahasa10.05.2011
1. Istana Seri Menanti ( teguh amat atau amat teguh ) walaupun tidak menggunakan paku. 2. Cikgu Azmi menulis ( mutiara kata atau kata mutiara ) pada dinding kelasnya dengan kemas. Soalan: Yang mana satu betul penggunaan kata dalam kurungan tersebut.Jawapan yang betul ialah 1. Istana Seri Menanti amat teguh walaupun tidak menggunakan paku. 2. Cikgu Azmi menulis mutiara kata pada dinding kelasnya dengan kemas.Lain-lain28.07.2010
APA PERBEZAAN PENGGUNAAN BAGI YANG AMAT BERHORMAT DAN YANG AMAT BERBAHAGIA

Saudara,

Yang Amat Berhormat digunakan untuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, manakala Yang Amat Berbahagia digunakan untuk mereka yang bergelar Tun, Toh Puan dan isteri Yang di-Pertua Negeri

Tatabahasa15.06.2010
Setelah merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 245, didapati tiada tatabahasa yang mengatakan "amat sangat sakit" adalah gramatis. Jika tatabahasa ini diterima, maka "sangat amat sedih" atau "amat sungguh sedih" pun menjadi gramatis. Sila berikan penerangan yang jelas. Kenapa tatabahasa "(sangat/amat/sungguh) + adjektif + nian" digugurkan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga? Adakah tatabahasa tersebut tidak gramatis lagi?Merujuk halaman 245, buku Tatabahasa Dewan, pola yang ada ialah (v) ter- + {amat/sangat} + kata adjektif dan (vi) {amat/sungguh/sangat} + kata adjektif sekali. Oleh itu, berdasarkan pola tersebut contoh yang saudara beri "amat sangat sakit" tidak gramatis kerana bentuk yang betul teramat sakit atau tersangat sakit (pola v) dan amat sakit sekali atau sungguh sakit sekali atau sangat sakit sekali (pola vi). Sebarang persoalan tentang kandungan buku Tatabahasa Dewan saya cadangkan saudara berhubung terus dengan editor yang terlibat.Tatabahasa27.08.2009
Assalamualiku, Saya merupakan pelajar PhD dari UPM. Saya ingin bertanya jika DBP ada bercadang untuk mengadakan sebarang seminar, persidangan tentang bahasa melayu. hal ini demikian kerana saya ingin menjadi peserta untuk membentangkan kertas kerja saya. maklumat daripada pihak Tuan amat-amat dihargai. Sekian terima kash.

Saudara Azean,

Saudara boleh melayari laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapatkan maklumat tentang kegiatan DBP.

Lain-lain15.06.2010
Bagi pendapat pihak tuan adakah penggunaan kata penguat dalam ayat berikut adalah betul? Amat terindah pemandangan pulau peranginan itu. Sungguh amat indah pemandangan pulau peranginan itu. Amat sungguh terindah pemandangan pulau peranginan itu. Sungguh amat terindah pemandangan puau peranginan itu.

Ayat yang betul ialah Sungguh amat indah pemandangan pulau peranginan itu. Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut:

i. se + kata adjektif + gandaan + kata nama : sepandai-pandai tupai, setinggi-tinggi gunung

ii. ter + kata adjektif : terbaik, tercantik

iii. paling + kata  adjektif : paling lazat, paling pandai

iv. kata adjektif + sekali : besar sekali, cantik sekali

v. ter + amat/sungguh + kata adjektif : teramat baik, teramat cantik

vi. amat/sungguh/sangat + kata adjektif + sekali : sungguh tinggi sekali,

Untuk makluman saudara, dua unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif, contohnya: sungguh amat indah, sangat kurang sopan, terlalu amat pedih. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244 dan 410 . 

Tatabahasa09.12.2010
saya ingin merujuk kepada pihak tuan berkaitan soalan PMR 2010 baru-baru ini iaitu : Tandakan sama ada A,B atau C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan D jika tiada kesalahan. Sungguh amat terindah pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A. amat terindah B. sungguh amat indah C. amat sungguh terindah D. sungguh amat terindah saya dan rakan-rakan sudah merujuk kepada buku Tatabahasa Dewan namun tiada jawapan yang memuaskan dapat diberikan. pohon kerjasama pihak tuan untuk menyelesaikan masalah ini. Cikgu Amir AzhaBerdasarkan rujukan kami, tidak ada jawapan untuk soalan yang tersebut. Jawapan B, C dan D adalah salah kerana darjah penguat tidak boleh hadir beriringan. Jawapan A juga salah kerana tidak ada bentuk amat/sungguh + ter + adjektif (amat terindah), yang ada ialah ter + amat/sungguh + adjektif  (teramat indah).Tatabahasa20.10.2010
Anak saya akan mengambil PMR pada oct ini, tetapi dia masih keliru dengan tatabahasa seperti berikut: 1. sungguh amat cantik sungguh kurang sopan terlalu amat kencang Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan? 2. amat nyaring betul amat sukar sekali sungguh indah nian sungguh besar sekali sungguh kuat benar Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan/ belakang? 3. (i) Ali dianugerahi pingat oleh sultan (ii) Ali dianugerahkan sultan pingat (iii) pingat dianugerahkan oleh sultan kepada Ali Adakah ayat (i) , (ii) (iii) semuanya betul? Mana yang salah. Harap tuan dapat menolong saya. Sekian terima kasih

1. Contoh yang diberikan adalah salah. Yang betul: Sungguh cantik, amat cantik, teramat cantik, terlalu kencang, amat kencang, teramat kencang.

2. Dalam bahasa Melayu, imbuhan teR- dan kata penguat sekali dan paling sudah menunjukkan darjah penghabisan.  Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan teR- atau sekali atau paling.  Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak.  Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan teR-, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi.  Begitu juga sebaliknya.

3. Ketiga-tiga jawapan adalah betul. 

 

Lain-lain01.10.2009
12345678910...

Kembali ke atas