Persoalan tentang penggunaan me...kan dan me...i: 1. Ali ( memberi / memberikan ) anak kucing makanan kegemarannya. Ayat yang betul ialah? | Ali memberi anak kucing makanan kegemarannya. Perbezaan penggunaan apitan meN-...-i ialah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191 dan 202. | Tatabahasa | 11.08.2014 |
Soalan pertama, mana satu yang betul? 1a. Ali memberikan anak kucing makanan kegemarannya. 1b. Ali memberi anak kucing makanan kegemarannya. 2a. Ali memberikan anak-anaknya wang saku. 2b. Ali memberi anak-anaknya wang saku. Soalan kedua, adakah contoh 1a dan 2a betul sekiranya mengikut binaan “subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2? Soalan ketiga, bagaimana pula sekiranya contoh 1a dan 2a mengikut definisi kata, iaitu perkataan “memberikan” hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa seperti nasihat, hadiah dan lain-lain? Kalau mengikut definisi ini, perkataan “memberi” yang lebih sesuai digunakan seperti contoh 1b dan 2b. | Jawapan soalan pertama. Kata "memberi" diikuti dengan kata nama objek bernyawa, seperti Ali memberi adiknya sebatang pen. Manakala kata "memberikan" diikuti kata nama objek tidak bernyawa, seperti Ibu memberikan nasihat kepada anaknya. Berdasarkan ayat contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah 1b dan 2b. Jawapan soalan kedua adalah berkaitan dengan penjelasan soalan pertama. | Tatabahasa | 09.08.2014 |
Persoalan tentang penggunaan me...kan dan me...i (1.) Ali ( memberi / memberikan ) anak kucing makanan kegemarannya. | Penggunaan kata kerja yang betul dalam ayat tersebut ialah 'memberikan'. Ini kerana, ayat tersebut ialah ayat aktif transitif dengan dua objek, iaitu binaan seperti yang berikut: subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2. Maka, ayat yang betul ialah: Ali memberikan anak kucing makanan kegemarannya. | Tatabahasa | 07.08.2011 |
mohon semak ayat di bawah. tq 1. ketika ditemui, kucing itu baru sahaja kehilangan ibu akibat dilanggar kereta.kucing itu terpinga-pinga di laluan pejalan kaki yang sibuk di pekan. 2.hana yang sedang berjalan dengan ibunya ternampak seekor anak kucibng yang ketakutan di tengah-tengah kesibukan orang berlalu-lalang. | Salam sejahtera, Ayat yang betul: 1. Ketika ditemui, kucing itu baru sahaja kehilangan ibunya akibat dilanggar kereta. Kucing itu terpinga-pinga di laluan pejalan kaki yang sibuk di pekan. 2. Hana yang sedang berjalan dengan ibunya ternampak seekor anak kucing yang ketakutan di tengah-tengah kesibukan orang yang lalu-lalang. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 05.12.2018 |
apakah maksud malu dan segan?? adakah malu dan segan mempunyai maksud yang sama atau berbeza?? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, malu bermaksud 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang: aku ~ pula apabila tidak pakai seluar dan baju; panglima tak bermalu, melerek-lerek macam kambing jantan pd perempuan yg tiada mahu kepadanya; 2. perasaan aib (hina, rendah diri, dll): utk menutup ~nya, ayah Zainab telah memujuk Salim supaya mahu menjadi menantunya; 3. menaruh hormat akan, berasa segan (agak takut): ia sendiri masih begitu ~ hendak mengemukakan pertanyaan ini; ~ besar malu yg amat sangat; ~ mata segan, hormat; ~ bertanya, sesat jalan = ~ berdayung, perahu hanyut = ~ makan, perut lapar prb kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan; ~ kalau anak harimau menjadi anak kucing (kambing) prb tidak patut kalau anak orang baik-baik atau pandai menjadi jahat atau bodoh; manakala segan pula bermaksud 1. tidak suka berbuat sesuatu, tidak mahu, tidak sudi, enggan, malas: mereka ~ hendak turun naik tangga mahkamah itu; 2. = ~-silu berasa malu (silu, hormat, dll): ada sesetengah ibu yg berasa ~ kerana mengandung; tak ~ a) mahu, sudi, suka; b) tidak malu; c) tidak takut-takut; tak ~-~ tidak malu-malu, tidak takut-takut, tidak harga-menghargai; ~ tak ~ tidak malu-malu, tidak takut-takut; ~ bergalah, hanyut serantau = ~ berkayuh perahu hanyut = ~ bertanya sesat jalan prb kalau tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan; | Istilah | 01.11.2009 |
Anak saya menulis karangan yang antara ayatnya berbunyi, "Ibu saya sangat sukakan kucing." Guru BM tidak membuat sebarang pembetulan. Adakah ayatnya betul atau seharusnya berbunyi, "Ibu saya sangat suka akan kucing."? | Ayat yang gramatis ialah, "Ibu saya sangat suka akan kucing." | Tatabahasa | 26.01.2010 |
apakah maksud seperti bunyi gong pecah,laksana diharungi ular,laksana burung diam dalam sangkar,seperti anak ayam kehilangan ibu,seperti anjing dengan kucing,seperti api dalam sekam,rosak badan kerana mulut,ada gula ada semut,dan bumi mana tidak ditimpa hujan? | Makna peribahasa yang ada dalam senarai rujukan kami (merujuk soalan saudara) adalah seperti yang berikut: laksana burung diam dalam sangkar = orang yang terikat hidupnya. anak ayam kehilangan ibu = kesusahan kerana bercerai dengan sahabatyang karib; rakyat yang kehilangan pemimpin. seperti anjing dengan kucing = selalu bertengkar. seperti api dalam sekam = perbuatan jahat atau rindu dendam yang tersembunyi. kerana mulut badan binasa = mendapat kecelakaan kerana perkataannya. ada gula ada semut = di mana banyak kesenangan, di situ ramai orang datang. bumi mana tidak ditimpa hujan = tiap-tiap orang adakalanya buat kesalahan.
| Lain-lain | 13.04.2008 |
Tuan , saya ingin tahu manakah penyataan yang betul untuk ayat-ayat di bawah I Anak itu menyangka orang itu bapanya. II Adik menamai kucing itu Si Belang. i)Ayat di atas mengandungi dua objek. ii) Frasa (bapanya dan Si Belang) ialah penerang. iii) Kedua-dua ayat di atas dapat dipasifkan. iv) Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja tak transitif. Mohon penjelasan daripada pihak tuan. Sekian, terima kasih. | 1. Ayat tersebut masing-masing mengandungi satu objek. 2. Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja transitif. | Tatabahasa | 08.05.2013 |
Dari manakah asal usul Simpulan bahasa dibawah berikut beserta tarikh mula digunakan di dalam bahasa melayu. Otak udang Tangkai Jering Durian runtuh Anak Emas Ajak-ajak ayam Malu-malu kucing Mati katak Pisau cukur Ringan tangan Serkap jarang | Makna tangkai jering - orang yang kedekut, durian runtuh - mendapat keuntungan dengan tidak bersusah-payah, anak emas - sangat dikasihi ibu bapanya atau majikan. Ajak-ajak ayam - pelawaan yg tidak sungguh-sungguh. Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan di pusat bahasa IPTA ata perpustakaan yang berdekatan. Kami di DBP sangat mengalu-alukan kedatangan saudara/ saudari ke Pusat Dokumentasi Melayu DBP untuk membaut rujukan. | Lain-lain | 21.02.2010 |
Assalamualaikum tuan/puan yang budiman, Mohon pencerahan daripada tuan/puan yang lebih arif, antara berikut, pengunaan kata sendi (pada/kepada) manakah yang betul dalam ayat di bawah. a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad pada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. b) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. Pertolongan dan tunjuk ajar daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga tuan/puan mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa:) | Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Contohnya: 1. Ali mengirim surat kepada abang. 2. Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. 3. Pastikan anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah. Kata sendi nama kepada boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia. Contoh: Surat itu dihantar kepada Kementerian Kewangan. Kata sendi nama kepada juga digunakan untuk menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya: 1. Peserta bengkel itu dibahagikan kepada dua kumpulan. 2. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: 1. Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi. 2. wang itu ada pada ibu. 3. Pemberitahuan itu ditampal pada papan kenyataan. Oleh itu ayat yang betul ialah: a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran.
| Tatabahasa | 28.02.2012 |