Apakah padanan bagi perkataan kawasan rambut/anak rambut di tepi telinga manusia (side burn)? Adakah ianya merujuk kepada perkataan 'bauk'? | Kami mencadangkan "sideburns" diterjemahkan sebagai "bauk", "cambang" atau "jambang". Padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 10.09.2021 |
Soalan peperiksaan anak meminta pelajar memasifkan ayat aktif berikut: "Wa Wa mewarnakan rambutnya." Jawapan anak : Rambut Wa Wa diwarnakannya. Jawapan cikgu : Rambut Wa Wa diwarnakan oleh dia. Mohon dapar menjelaskan pengunaan kata ganti nama diri ketiga dalam ayat pasif yang sepatutnya kerana rujukan kepada beberapa buku rujukan memberikan keterangan yang berbeza. Tidak pasti sama ada jawapan anak atau pun jawapan cikgu yang lebih tepat. | Ayat Rambut Wa Wa diwarnakannya dan Rambut Wa Wa diwarnakan oleh dia kedua-duanya boleh diterima sebagai bentuk pasif ayat Wa Wa mewarnakan rambutnya. Namun yang paling tepat ialah Rambut Wa Wa diwarnakannya (diwarnakan olehnya). | Tatabahasa | 28.06.2011 |
Puan, Jawaban yang paling tepat untuk ayat berikut ialah " menyikat" atau " menyisir"? Puan Hamidah sedang _______ rambut anak perempuannya supaya tidak kusut. Terima kasih. | Perkataan yang tepat ialah menyikat. | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Salam, betulkah ayat ini? Lekapkan rambut pada kepala anak patung itu. Terima kasih. | Ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 12.03.2013 |
Dalam hal ini,tidak dapat dinafikan bahawa,anak-anaknya kerap membeli barangan yang tidak berguna dan ketandusan mendapat kecantikkan barang kepada diri sendiri.Bertitik tolak daripada hal itu,mereka menanam tabiat buruk untuk membeli barangan yang tidak berguna di pusat atau di pasaran.Menurut kadar bilangan rakyat Malaysia membuang sampah semakin serius,kerajaan seharusnya merancang pelan dengan sebaik mungkin untuk mencegah masalah atau rintangan ini dalam keadaan berlaku di negara kita.Sebagai analoginya,pihak sekolah sememangnya mengadakan aktiviti cara menabung wang untuk menggelakkan kita menanggung beban berat atas perbelanjaan keperluan barangan.Anak-anak mereka perlulah menerima atau menganjurkan aktiviti dengan semangat yang lebih aktif untuk belajar menguruskan wang.Apakah kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian?Ironinya,tidak dapat dinafikan bahawa kita dapat menyelesaikan masalah buruk diri sendiri tanpa bergantung pada diri sendiri menarik rambut dalam tepung ,rambut jangan terputus,tepung jangan berselerak. Bolehkah Tuan /Puan memberikan bantuan.Saya nak tahu akan semua ayat ada kesalahan tatabahasa atau kesalahan istilah tak?Jika ada,bolehkah membetulkan kesalahan yang saya buat.Terima kasih | Puan Catherine, semakan yang diminta termasuk dalam semakan dokumen. Untuk makluman pihak puan, DBP ada menyediakan semakan dokumen bahasa Melayu dengan kadar RM8 satu muka surat (saiz huruf 12; Arial/Times New Roman; langkau 2 baris). Sila e-melkan dokumen tuan kepada fadhilah@dbp.gov.my untuk sebut harga dan maklumat lanjut. Terima kasih. | Lain-lain | 27.01.2021 |
Apakah maksud: 1. Jejantung 2. Jari-jari 3. Kipas-kipas 4. Lelabu 5. Pepijat 6. Susup-sasap | 1. Perkataan jejantung tiada dalam data kami. 2. Antara tujuan penggandaan kata ialah sebagai penanda kesamaan atau keserupaan. Contohnya: jari-jari atau jejari , bermaksud rupanya seperti jari. Contohnya: Jejari basikal. Kata jamak bagi jari ialah jari-jari atau jari-jemari yang bermaksud anak-anak jari. 3. Kipas-kipas bermaksud banyak kipas. 4. Labu bermaksud a) sj buyung, bekas air, kendi; b) benda bulat perhiasan puncak masjid dll; c) Id bakul bulat yg digantung pd tiang di pelabuhan (utk menandakan kapal sudah boleh masuk); 5. Pepijat ialah nama sejenis kutu yg busuk baunya; kepinding, Cimex lectularius. 6. Susup-sasap bermaksud menyorok (masuk) ke sana ke mari. Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus.Untuk huraian yang lebih lengkap sila rujuk tatabahasa halaman 77 dan 78. | Tatabahasa | 20.12.2013 |
Tolong jelaskan maksud tersirat bagi frasa di bawah. i. "Hai encik, jangan bersorak dahulu, itu anak raja berlabuh tirai!" (maksud berlabuh tirai) ii. "Jangan tuan-tuan bersorak dahulu, itu anak raja berpangkas gombak." (maksud berpangkas gombak) Sekian, terima kasih. | Tidak ada perkataan berlabuh tirai dalam pangkalan data kami, perkataan yang ada ialah tirai berlabuh yang bermaksud berhenti atau singgah. Gombak bermaksud jambul dan berpangkas bermaksud bergunting. Perkataan berpangkas gombak diungkapkan dalam cerita Melayu klasik yang bermaksud bergunting jambul/rambut. | Tatabahasa | 31.03.2012 |
Takrif 'berendoi' dan kenapa perkataan tersebut yang merupakan adat Melayu tidak tersenarai dalam kamus? | Takrif "berendoi" telah dirakam dalam Ensiklopedia. BERENDOI, seni pentas yang dipersembahkan sempena upacara mencukur rambut anak yang baru lahir. Apabila umur anak itu genap tujuh hari, dijalankan upacara mencukur rambut serta naik endoi (buai). Pada ketika anak itu selamat dinaikkan keendoi, beberapa peserta dijemput khusus untuk berdikir atau memulakan persembahan dikir berendoi. Peserta ini memakai baju Melayu dengan kain pelekat atau pantalon, bersongkok atau berkopiah. | | Lain-lain | 17.10.2018 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan(perkataan yang telah silap). (a) Rambut pengantin perempuan itu disanggul (keras) supaya kelihatan rapi. (b) Datuk dimasukkan ke hospital kerana sakit (keras) akibat penyakit tekanan darah tinggi. (c) Burung terkukur itu (berkuku) sepanjang hari. (d) Petani itu menggunakan (berkuku) kambing untuk menanam anak padi. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Salam sejahtera, 1.Perkataan tinja merupakan frasa kerana boleh dikembangkan.Contohnya tinja ayam.Jadi, tinja ayam boleh digolongkan sebagai kata majmuk? Anak murid tahun tiga tanya cikgu tetapi guru tidak pasti.Minta pencerahan.Terima kasih. 2. Bagaimanakah pula dengan ' tandas lelaki'? Bolehkah digolongkan sebagai kata majmuk?Sila beri pencerahan.Terima kasih. 3. Bolehkah semua kata ganda penuh ditukar menjadi kata ganda separa? Contohnya 'kotak-kotak' menjadi 'kekotak'.Mengikut kefahaman saya, hanya kata ganda penuh yang membawa maksud tunggal boleh ditukar menjadi kata ganda separa.Contohnya, 'kupu-kupu' membawa maksud satu atau tunggal. Oleh itu, boleh ditukar menjadi kata ganda separa, iaitu kekupu.(soalan ini juga dikemukakan oleh anak murid tahun tiga saya).Sila pencerahan. | Dalam bidang linguistik, kata majmuk bermaksud kata yang merupakan gabungan atau rangkaian dua perkataan atau lebih yang dianggap sebagai satu unit dan mempunyai satu pengertian (misalnya bumiputera, papan hitam, dan lain-lain). Tahi ayam, tandas lelaki bukan merupakan kata majmuk tetapi frasa nama. Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus. | Tatabahasa | 05.11.2020 |