Salam. Ingin bertanya. Mana satu yang betul? Jawapan atau jawaban? Pernah mengikuti kursus anjuran DBP pd tahun 2008 (bengkel tatabahasa) - yang digunapakai ialah jawaban. tetapi ada rakan yang pernah juga mengikuti kursus anjuran DBP - dimaklumkan bahawa 'jawapan' yang betul. Terima kasih. | Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. | Tatabahasa | 17.01.2013 |
Salam Sejahtera. Saya adalah salah seorang peminat puisi terutama yang diterbitkan oleh pihak DBP. Seringkali juga menyertai pertandingan mencipta lagu-lagu puisi anjuran DBP, walaupun setakat ini gagal keperingkat akhir. Antara puisi-puisi pilihan untuk dilagukan ialah yang ditulis oleh Zurinah Hassan. SOALAN: BOLEHKAH saya memuatkan lagu-lagu puisi ciptaan saya dari puisi Zurinah Hassan yang gagal keakhir dalam pertandingan anjuran DBP kedalam 'BLOG' saya menerusi YOUTUBE? PERLUKAH saya memohon kebenaran bertulis dari pihak DBP? APAKAH ada lain-lain syarat yang perlu dipatuhi.? TIADA tujuan komersil, cuma sekadar memaparkan minat saya dalam bidang seni. SEINGAT saya ada tiga buah puisi Zurinah Hassan yang dipetik dari buku 'Pujangga Tidak Bernama' terbitan DBP telah saya lagukan untuk menyertai pertandingan berkenaan. Mohon penjelasan. Sekian. Terima Kasih. | Salam takzim, Sumbangan saudara secara berterusan dalam kegiatan penyebaran karya puisi kepada kalangan masyarakat melalui penyertaan dalam Sayembara Mencipta Lagu Puisi amat dihargai. Dimaklumkan bahawa hanya lagu-lagu puisi yang layak ke peringkat akhir sahaja yang menjadi hak penganjur iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menerbit dan merakam lagu-lagu tersebut. Justeru, karya lagu puisi saudara yang tidak berjaya ke peringkat akhir menjadi hak milik saudara untuk diterbitkan dan disebarkan. Namun demikian pihak kami menasihati saudara agar menghubungi penyair Zurinah Hassan (016-2598049) terlebih dahulu sebelum menerbitkannya bagi medapatkan izin terbit naskhah puisi tersebut. Selamat maju jaya. | Lain-lain | 29.11.2010 |
Saya berminat untuk menyertai bengkel penulisan anjuran DBP, tetapi malangnya bengkel ini tidak terdapat di Pulau Pinang. Bolehkah pihak DBP mengadakan bengkel penulisan di Pulau Pinang? | Salam. Ada empat (4) unit di Pejabat DBP Wilayah Utara, iaitu Unit Bahasa (Puan Khairul Anum Mohd Ali), Unit Sastera (Puan Khairiyah Ghazali), Unit Penerbitan (Syahida Ahmad) dan Pusat Dokumentasi Melayu (Mohd Hafiz Salim). Semua unit tersebut ada menganjurkan bengkel-bengkel penulisan. Mohon berhubung dengan pegawai berkenaan untuk bengkel yang saudara ingin sertai. No. tel. : 04-5377241/2/3/4 Alamat: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, No. 31, Lorong P.S.2, Bandar PERDA, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Lain-lain | 10.12.2008 |
Program pengindahan Sungai Klang dan Sungai Gombak anjuran Jabatan Parit dan Saliran yang diberi nama "River of Live" seolah-olah satu lagi usaha menidakkan kepentingan bahasa Melayu. Paling mengecewakan, ia turut berlaku di jabatan kerajaan. Bagaimana harus DBP bertindak? | DBP akan memantau penggunaan bahasa yang digunakan dalam paparan awam termasuklah kempen kerajaan. Pihak yang tidak mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan mengingkari garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan akan dipantau dan diberi surat teguran. DBP akan menghantar surat teguran kepada pihak berkenaan kerana DBP tidak ada kuasa menghukum pihak yang melakukan kesalahan atau tidak memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaa. | Lain-lain | 11.06.2012 |
pihak kami ingin mendapatkan kepastian ejaan pada tagline majlis anjuran kami . TAGLINE adlah seperti berikut. " JUBLI INTAN PIALA EMAS RAJA-RAJA 2011 " Terima Kasih Azmi Mohd Pekanmaya productions | Kami cadangkan sedikit pembetulan, iaitu "JUBLI INTAN PIALA EMAS RAJA-RAJA". | Tatabahasa | 21.10.2010 |
Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera. Saya amat berminat untuk mengikuti kursus Terjemahan anjuran DBP kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang penterjemahan, penyuntingan dan penulisan. Bagaimanakah prosedur untuk berbuat demikian? Sekian, terima kasih. MOHD FAIZAL BIN ABDUL GHANI GURU BAHASA INGGERIS SEKOLAH KEBANGSAAN DANAU KOTA | Untuk makluman DBP tiada menyediakan kursus penterjemahan samada untuk staf DBP dan juga pelanggan luar.Pihak tuan boleh merujuk Institut Terjemahan Negara untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus penterjemahan yang di perlukan.Terima Kasih. | Lain-lain | 06.01.2008 |
apakah syarat-syarat pertandingan untuk peraduan menulis sastera kreatif 2010(kategori cerpen) anjuran dbp sarawak | Penyertaan terbuka kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Cerpen yang hendak ditulis panjangnya sekitar 4000 perkataan atau 15 halaman. Peserta boleh menghantar maksima 2 buah cerpen. Tema bebas tetapi tidak boleh menyentuh perkara2 sensitif atau yang menyinggung perasaan. Karay yang dihantar tidak akan dikembalikan. Untuk mendapat maklumat lanjut, sila hubungi Unit Pembangunan Karyawan, DBP Cawangan Sarawak, 082-444711 | Lain-lain | 19.04.2010 |
assalammualaikum.. saya berminat mendalami bidang penulisan. saya juga pernah menyertai beberapa sayembara penulisan antaranya anjuran jabatan perpaduan negara dan dewan bahasa dan pustaka. saya berminat untuk mengembangkan minat dan bakat saya dalam bidang penulisan tetapi saya tidak tahu dimana saya harus menghantar karya-karya saya untuk diterbitkan. bolehkah pihak tuan membantu saya untuk menerbitkan karya saya atau adakah apa-apa cadangan tentang perihal ini? terima kasih.. | Saudara boleh menghantar karya saudara kepada Puan Norimah Bajuri, Ketua, Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur jika karya saudara untuk pembaca dewasa, sekiranya untuk kanak-kanak dan remaja, sila hantar kepada Puan Zalila Sharif, Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 28.06.2010 |
SAYA NAK TANYA MENGENAI CIRI-CIRI DAN FUNGSI-FUNGSI BAHASA MELAYU | Ciri-ciri dan fungsi bahasa Melayu banyak dibincangkan dalam seminar anjuran DBP dan institut pengajian tinggi. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti, bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi sosial, dan bahasa dalam urusan rasmi kerajaan. Untuk maklumat lanjut rujuk buku/makalah yang berkaitan. | Lain-lain | 07.08.2010 |
SAYA HENDAK MENCARI BIODATA PENULIS CERPEN "ISRAK"IAITU PENGARANG ERDA ROSLAN KHAIRI DAN JUGA CERPEN " BIARKAN SAMUDARA" PENGARANG RAIHANAH SALLEH. KEDUA-DUA CERPEN INI MERUPAKAN CERPEN YANG TERDAPAT DALAM BUKU KOMSAS TINGKATAN EMPAT IAITU ANTOLOGI HARGA REMAJA. UNTUK MAKLUMAN, BUKU INI MERUPAKAN KELUARAN DBP.PERTOLONGAN DARIPADA PIHAK DBP SAYA UCAPKAN TERIMA KASIH. | Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Biodata Raihanah Saleh adalah seperti yang berikut: Raihanah Salleh dilahirkan pada 29 januari 1965 di Dungun, Terengganu. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Mida Pendidikan Bahasa Malaysia dari Universiti Putra Malaysia dan kini mengajar di Sekolah Menengah Agama Khairiah Kuala Terengganu. Beliau amat meminati bidang penulisan dan banyak menghasilkan karya seperti cerpen, novel dan skrip drama radio. Cerpen beliau juga tersiar dalam antologi cerpen Riak Kabus Danau Maninjau, Talian Kasih, Wacana Hitam Putih, Sayang Sufi, Kasut Hitler dan Sesudah Senja. Beliau juga pernah menghasilkan novel remaja, Kotak Rahsia Ismah. Beliau turut aktif menyertai peraduan dan sayembara penulisan. Antara penghargaan yang diperolehnya ialah Hadiah Utama Peraduan Novel Kanak-Kanak anjuran Jabatan Alam Sekitar 1995, Hadiah Utama Cerpen Dewasa anjuran Utusan-Public Bank 1995, Hadiah Penghargaan Cerpen Esso-Gapena 1995, Hadiah Utama Cerpen Remaja anjuran Utusan-Public Bank 1996, Hadiah Penghargaan Cerpen dewasa anjuran Public Bank 1997, Hadiah Pertama Cerpen Hari Guru anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu 1996 dan 1997, Hadiah Penghargaan Cerpen Remaja Utusan 2000, Hadiah Penghargaan Cerpen Remaja Utusan 2001, Hadiah Penghargaan Cerpen Remaja Utusan 2002, Hadiah Penghargaan Skrip Drama Radio anjuran IKIM 2005 dan Hadiah Pertama Skrip Drama Radio anjuran RTM Perlis dan Jabatan Kesihatan Perlis 2008. Biodata Erda Roslan Khairi pula tiada dalam simpanan kami, harap maaf. | Lain-lain | 31.07.2010 |