Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[an.ta.ra] | انتارا

Definisi : 1 jarak atau sela di tengah dua tempat atau dua benda: Ukurlah ~ kedua-dua tiang itu. 2 di tengah dua waktu (tempat, peristiwa dsb): Pekan Kuala Kangsar terletak di ~ Ipoh dgn Taiping. 3 masa dr satu saat ke saat yg lain; selang (waktu): Tidak berapa lama ~nya, matilah ia kerana kekurangan darah. 4 di tengah-tengah kumpulan, golongan dll; di kalangan: Ada ~ mereka yg mempunyai ijazah tetapi masih menganggur. berantara 1 ada antaranya (selanya); bersela: Rumah ibu dgn dapurnya bersambung terus, tidak ~. 2 tidak terus-menerus; tidak langsung; berselang waktu: Kerja-kerja itu dibuat secara ~. mengantarai 1 memisahkan dua benda dsb: Banjaran Titiwangsa yg menganjur di tengah-tengah Semenanjung Malaysia ~ Kelantan dgn Perak. 2 menjadi orang tengah (dlm perundingan dll). perantaraan 1 hal berantara; hal menghubungkan orang dll yg berantara. 2 cara atau jalan yg menjadi penghubung supaya sesuatu dpt dilaksanakan: Ceramah itu disampaikan melalui ~ televisyen. Hadiah hari jadi kawannya dikirim melalui ~ seorang sahabat. pengantaraan perbuatan (hal, cara dsb) mengantarai; hal memisahkan dua benda dll. perantara orang (badan dll) yg menjadi penghubung dua pihak yg berantara; medium. pengantara orang, benda dll yg mengantarai; orang dll yg menjadi pemisah. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata antara

Puisi
 

Banyak bulan antara bulan,
     Tidak sama bulan puasa;
Banyak Tuhan antara Tuhan,
     Tidak sama Tuhan Yang Esa.


Lihat selanjutnya...(15)
Peribahasa

Degar-degar merapati.

Bermaksud :

Perselisihan antara kaum keluarga atau suami isteri yang makin merapatkan perhubungan. degar-degar = bunyi kayu dipukul.

 

Lihat selanjutnya...(16)

306

Let bygones be bygones

Lupakan dendam lama atau perselisihan lalu, sebaliknya mulakan lembaran baru.

Buang yang keruh, ambil yang jernih

We are avoiding each other, and getting ourselves all worked up every time we stumble onto each other? Don't bear grudges, let bygones be bygones.

Mengapakah kita mengelakkan diri antara satu sama lain, dan naik marah apabila bersua muka? Usahlah berdendam, buang yang keruh, ambil yang jernih.

Peribahasa dan Ungkapan Inggeris - Melayu


Lihat selanjutnya...(5)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bolehkah tuan menyemak tatabahasa ayat di bawah terutamanya melibatkan 'di antara' 'antara' 'antara..dengan'? Bahagian landasan di antara stesen LRT Damai dengan stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan di antara stesen LRT Pasar Seni dengan stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang di antara stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan.

Penggunaan yang betul ialah seperti yang berikut:

Bahagian landasan dari stesen LRT Damai ke stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan dari stesen LRT Pasar Seni ke stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang dari stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan.
Tatabahasa26.05.2021
Salam, ayat yang manakah betul? Beza masa di antara/antara Malaysia dengan Jepun ialah 1 jam.Kata sendi nama “antara” berfungsi sebagai kata yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai jarak. Kata sendi nama “antara” tidak boleh didahului oleh kata sendi nama “di”, kecuali yang membawa pengertian lingkungan yang mempunyai jarak. Kata sendi nama “antara” tidak boleh berpadanan dengan kata hubung gabungan “dan”, sebaliknya berpadanan dengan kata sendi nama “dengan”.

Contoh ayat:

  1. Inilah keputusan yang telah disetujui antara dua pihak
  2. Perbezaan antara perubatan tradisional dengan perubatan moden sangat nyata.
  3. Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya.
  4. Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.


Cadangan jawapan:

Beza masa antara Malaysia dengan Jepun ialah 1 jam.


Tatabahasa12.07.2023
Salam sejahtera. Mohon bantuan pihak tuan/puan untuk menjelaskan perbezaan antara penggunaan frasa "antara...dengan" dengan "antara...dan". Adakah benar bahawa "antara...dan" hanya boleh digunakan apabila ayat melibatkan lebih daripada dua frasa? Contohnya, adakah ayat "Perbincangan antara Ali, Ahkau dan Abu" dianggap betul dari segi tatabahasa? Sekian, terima kasih.

Perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh diikuti oleh kata sendi nama “dengan” atau kata hubung “dan” berdasarkan konteks ayat. Apabila kata sendi nama “antara” digunakan, kata yang dipadankan dengannya ialah kata sendi nama “dengan”, bukan kata hubung “dan”. Kata hubung “dan” hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama “antara” diikuti oleh lebih daripada dua frasa nama. Contoh ayat yang tuan/puan berikan adalah betul dari segi tatabahasa kerana penggunaan kata sendi nama “antara … dan” yang digunakan adalah untuk menunjukkan hubungan antara dua pihak (perkara) atau lebih, atau anggota dalam satu kelompok.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114.


Tatabahasa06.08.2025
Assalamualaikum. Apakah perbezaan penggunaan "antara ...dengan" dan "antara...dan"? Adakah ayat yang melibatkan 2 perkara menggunakan "antara ... dengan"? Yang manakah ayat yang betul: (1) Persahabatan antara Ali dengan Abu...(2)Persahabatan antara Ali dan Abu... Terima kasih.

Penggunaan ayat betul "antara ...dengan...". Contohnya,  “Persahabatan antara Ali dengan Abu …”

Untuk makluman, perkataan antara ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh digunakan pada awal ayat bagi menerangkan:

· Perbandingan

· Merujuk dua atau beberapa orang, benda, keadaan dan sebagainya yang dibuat perbandingan

· Terbatas kepada

· Sementara

· Kira-kira atau lebih kurang

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114.

Tatabahasa28.05.2025
Manakah yang betul? 1) Antara langkah untuk mewujudkan hubungan baik antara kaum 2) Antara langkah-langkah untuk mewujudkan hubungan baik antara kaumAyat yang betul ialah "Antara langkah untuk mewujudkan hubungan baik antara kaum"Tatabahasa20.07.2022
Yang mana satu tajuk yang betul, tentang penggunaan antara, di antara dan terhadap. analisis kebersebaban granger antara pembolehubah-pembolehubah indeks harga pengeluar Malaysia. @ analisis kebersebaban granger di antara pembolehubah-pembolehubah indeks harga pengeluar Malaysia @ analisis kebersebaban granger terhadap pembolehubah-pembolehubah indeks harga pengeluar MalaysiaCadangan kami: Analisis kebersebaban granger terhadap pemboleh ubah indeks harga pengeluar Malaysia.Tatabahasa04.01.2024
Antara langkah/antara langkah-langkah menjaga alam sekitar ialah..... Mana satu ygang betul?
Ayat yang betul ialah antara langkah menjaga alam sekitar ialah ...
Tatabahasa21.02.2020
barang siapa di antara kamu khuatir tidak dapat bangun pada akhir malam... pertanyaan: yang mana satukah betul penggunaan antara dan di antara?Jawapannya: antaraTatabahasa10.04.2018
tuan saya ingin bertanya manakah yang tepat penggunaan "antara".? "mesyuarat penyelarasan antara MBSA dan persatuan penduduk" atau mesyuarat penyelarasan di antara MBSA dan persatuan penduduk" terima kasih membantu

Kata sendi nama antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya seperti “Mereka berbincang antara adik-beradik”. Frasa sendi nama di antara pula hanya digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat.  Contohnya,  “Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya”. Oleh itu, ayat yang betul ialah "Mesyuarat penyelarasan antara MBSA dan persatuan penduduk”.

Tatabahasa17.01.2020
Adakah perkataan "antara" boleh digunakan pada awal ayat? Saya mendapati kebanyakan guru bahasa Melayu kini melaranb penggunaan "antara" di awal ayat. Contohnya: Antara punca buli ialah... Penggunaan Kata Sendi Nama "Antara"

Perkataan antara adalah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh digunakan pada awal ayat bagi menerangkan:

  • Perbandingan
  • Merujuk dua atau beberapa orang, benda, keadaan dan sebagainya yang dibuat perbandingan
  • Terbatas kepada
  • Sementara atau dalam pada
  • Kira-kira atau lebih kurang

Contoh ayat:

  1. Antara Johan dengan Saiful seperti langit dengan bumi. (perbandingan)
  2. Antara dia dengan Jalil sahaja yang tahu rahsia itu. (terbatas kepada)
  3. Antara berbuat kubu, maka orang Melaka datang keluarlah melanggar. (sementara atau dalam pada)
  4. Antara sepuluh orang tertangkap kerana merompak. (kira-kira atau lebih kurang)
  5. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaan. (perbandingan)

Berdasarkan huraian di atas, penggunaan kata sendi nama “antara” pada awal ayat dalam contoh yang diberikan iaitu, Antara punca buli ialah …” adalah betul dan boleh digunakan.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114.

Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tatabahasa14.05.2025
12345678910...

Kembali ke atas