Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : 1 jarak atau sela di tengah dua tempat atau dua benda: Ukurlah ~ kedua-dua tiang itu. 2 di tengah dua waktu (tempat, peristiwa dsb): Pekan Kuala Kangsar terletak di ~ Ipoh dgn Taiping. 3 masa dr satu saat ke saat yg lain; selang (waktu): Tidak berapa lama ~nya, matilah ia kerana kekurangan darah. 4 di tengah-tengah kumpulan, golongan dll; di kalangan: Ada ~ mereka yg mempunyai ijazah tetapi masih menganggur. berantara 1 ada antaranya (selanya); bersela: Rumah ibu dgn dapurnya bersambung terus, tidak ~. 2 tidak terus-menerus; tidak langsung; berselang waktu: Kerja-kerja itu dibuat secara ~. mengantarai 1 memisahkan dua benda dsb: Banjaran Titiwangsa yg menganjur di tengah-tengah Semenanjung Malaysia ~ Kelantan dgn Perak. 2 menjadi orang tengah (dlm perundingan dll). perantaraan 1 hal berantara; hal menghubungkan orang dll yg berantara. 2 cara atau jalan yg menjadi penghubung supaya sesuatu dpt dilaksanakan: Ceramah itu disampaikan melalui ~ televisyen. Hadiah hari jadi kawannya dikirim melalui ~ seorang sahabat. pengantaraan perbuatan (hal, cara dsb) mengantarai; hal memisahkan dua benda dll. perantara orang (badan dll) yg menjadi penghubung dua pihak yg berantara; medium. pengantara orang, benda dll yg mengantarai; orang dll yg menjadi pemisah. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata antara

Puisi
 

Banyak bulan antara bulan,
     Tidak sama bulan puasa;
Banyak Tuhan antara Tuhan,
     Tidak sama Tuhan Yang Esa.


Lihat selanjutnya...(15)
Peribahasa

Degar-degar merapati.

Bermaksud :

Perselisihan antara kaum keluarga atau suami isteri yang makin merapatkan perhubungan. degar-degar = bunyi kayu dipukul.

 

Lihat selanjutnya...(16)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
penggunaan 'antara dan di antara' cth: persahabatan antara Lili dan Daniel.... persabatan di antara Lili dan Daniel... yang mana satu betul penggunaannya?Penggunaan yang betul ialah persahabatan antara Lili dan Daniel. Hal ini disebabkan kata sendi nama "antara" perlu hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya, Mereka berbincang antara adik-beradik. Sementara penggunaan kata 'antara' sebagai kata arah yang mengikuti kata sendi nama di-. Contohnya ialah Rumahnya terletak di antara sebuah tasik dengan sawah padi.Tatabahasa30.07.2015
1. Jarak antara Kota Bharu dengan Kuantan lebih kurang lima jam perjalanan. 2. Jarak di antara Kota Bharu dengan Kuantan lebih kurang lima jam perjalanan. Ayat yang mana betul? Beza antara dan di antara? Mohon penjelasan.

Frasa sendi nama di antara digunakan apabila kata antara berfungsi sebagai kata nama. Frasa sendi nama di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat.  Contohnya: 1.  Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya. 2. Tambak Johor terletak  di antara Johor Bahru dengan Singapura.

1. Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: 1. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. 2. Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya.

2. Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah...  (betul). Antara lagu-lagu persembahannya ialah... (salah)

3. Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalamai penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik.

4. Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu jauh perbezaannya. 

5. Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara mereka, banyak persamaannya. 

Jawapan- Ayat nombor dua lebih tepat

Tatabahasa31.08.2015
Assalammualaikum dan salam sejahtera, Maaf saya ingin bertanya, penggunaan 'Di antara' dalam tajuk buku (front page), 'Di antara...' atau 'Di Antara...'? Sekian, terima kasihWaalaikumsalam,
Untuk tajuk buku, terdapat dua jenis penggunaan "Di antara" dan "Di Antara":
1. Sekiranya dimulai dengan "di antara", maka ayat tersebut "Di Antara..."
2. Sekiranya "di antara" itu di tengah-tengah ayat, maka "...di Antara..."
Tatabahasa12.12.2014
Bagaimana membezakan "antara...dengan" dan "antara...dan"? Yang mana betul: 1)Perbezaan antara kes yang tertinggi dan terendah 2)Perbezaan antara kes yang tertinggi dengan terendah Saya rujuk khidmat nasihat dbp yang ditanya oleh orang lain, jawapan yang dibagi :'antara 1 dan 200' merupakan penggunaan yang tepat.Berdasarkan contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah  2)Perbezaan antara kes yang tertinggi dengan terendah.  Perkataan "antara...dengan" biasanya menunjukkan perbandingan.Tatabahasa18.03.2015
Antara langkah/antara langkah-langkah menjaga alam sekitar ialah..... Mana satu ygang betul?
Ayat yang betul ialah antara langkah menjaga alam sekitar ialah ...
Tatabahasa21.02.2020
barang siapa di antara kamu khuatir tidak dapat bangun pada akhir malam... pertanyaan: yang mana satukah betul penggunaan antara dan di antara?Jawapannya: antaraTatabahasa10.04.2018
tuan saya ingin bertanya manakah yang tepat penggunaan "antara".? "mesyuarat penyelarasan antara MBSA dan persatuan penduduk" atau mesyuarat penyelarasan di antara MBSA dan persatuan penduduk" terima kasih membantu

Kata sendi nama antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya seperti “Mereka berbincang antara adik-beradik”. Frasa sendi nama di antara pula hanya digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat.  Contohnya,  “Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya”. Oleh itu, ayat yang betul ialah "Mesyuarat penyelarasan antara MBSA dan persatuan penduduk”.

Tatabahasa17.01.2020
salam sejahtera. Kemusykilan : Yang manakah betul antara frasa berikut : " Antara yang berikut, manakah pernyataan yang betul tentang maksud fotosintesis?" ATAU " Antara berikut, yang manakah betul tentang maksud fotosintesis?" ATAU " Yang manakah betul antara berikut tentang maksud fotosintesis?" Terima kasih.Frasa yang gramatis ialah "Antara berikut, yang manakah betul tentang maksud fotosintesis?"Tatabahasa11.09.2014
"Yang manakah antara berikut" dengan "Manakah antara yang berikut" Yang mana betul antara kedua-dua soalan di atas?Ayat yang betul, Yang manakah antara berikut ...Tatabahasa13.07.2016
Assalamualaikum, Saya mahu bertanya, 1) Apakah beza antara presiden, pengerusi dan yang dipertua? 2) Apakah beza antara timbalan dan naib? 3) Apakah beza antara setiausaha, setiausaha agung dan setiausaha kehormat? 4) Apakah beza antara bendahari, bendahari agung dan bendahari kehormat? 5) Apakah beza antara lajnah dan unit? 6) Apakah beza antara ahli jawatankuasa dan majlis eksekutif?

1) Apakah perbezaaan antara presiden, pengerusi dan yang dipertua?

Presiden - Merupakan ketua negara dalam sesebuah negara republik dan gelaran untuk ketua negara republik atau orang yang menjadi ketua sesuatu persatuan, pertubuhan dan lain-lain.

dipertua  -  orang yg dilantik menjadi ketua sesuatu perkumpulan (persatuan dan lain-lain)

pengerusi  -  ketua dalam mesyuarat dan lain-lain. atau pemimpin jawatankuasa, pertubuhan dan lain-lain.

2) Apakah perbezaaan  antara timbalan dan naib? 
timbalan -  ialah penolong ketua dan lain-lain
naib   -  ialah pengganti atau wakil

3) Apakah perbezaaan antara setiausaha, setiausaha agung dan setiausaha kehormat?

setiausaha  - Seseorang yang diambil bekerja untuk mengurus urusan surat-menyurat (menyimpan rekod, membuat kerja-kerja perkeranian, dan sebagainya). Melaksanakan kerja untuk orang perseorangan atau untuk sesebuah pertubuhan.

setiausaha kehormat - setiausaha yang menjalankan tugas atau yang berkhidmat secara sukarela yang tidak  diberi gaji atau upah.

4) Apakah perbezaaan  antara bendahari, bendahari agung dan bendahari kehormat?

bendahari - pegawai yang menguruskan harta benda kerajaan atau menguruskan wang persatuan dan lain-lain.

bendahari kehormat -  pegawai persatuan yang bertugas tanpa dibayar

5) Apakah perbezaaan  antara lajnah dan unit?

lajnah  -  sebuah badan yang menjalankan (mengurus, mengelola) kerja sesuatu per­tubuh­an dan lain-lain, jawatankuasa kerja.

unit -  bahagian terkecil daripada sesuatu yang dapat berdiri sendiri.

6) Apakah perbezaaan  antara ahli jawatankuasa dan majlis eksekutif?

ahli jawatankuasa - orang yang dipilih untuk menjalankan pentadbiran sesuatu urusan (persatuan, kesatuan dan sebagainya)

majlis eksekutif - sebuah Badan tetap UPU yang ditugaskan oleh kongres untuk menentukan kesinambungan tugas-tugas pentadbiran, mengawasi kegiatan kerjasama teknikal, perundangan, juriselidik dan sebagainya.

Untuk maklumat lebih lanjut, pihak tuan boleh merujuk  Bahagian Protokol dan Adat Istiadat di Jabatan Perdana Menteri. Terima kasih.

Lain-lain27.12.2019
12345678910...

Kembali ke atas