| Bolehkah tuan menyemak tatabahasa ayat di bawah terutamanya melibatkan 'di antara' 'antara' 'antara..dengan'? Bahagian landasan di antara stesen LRT Damai dengan stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan di antara stesen LRT Pasar Seni dengan stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang di antara stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan. | Penggunaan yang betul ialah seperti yang berikut: Bahagian landasan dari stesen LRT Damai ke stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan dari stesen LRT Pasar Seni ke stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang dari stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan.
| Tatabahasa | 26.05.2021 |
| Assalamualaikum. Apakah perbezaan penggunaan "antara ...dengan" dan "antara...dan"? Adakah ayat yang melibatkan 2 perkara menggunakan "antara ... dengan"? Yang manakah ayat yang betul: (1) Persahabatan antara Ali dengan Abu...(2)Persahabatan antara Ali dan Abu... Terima kasih. | Penggunaan ayat betul "antara ...dengan...". Contohnya, “Persahabatan antara Ali dengan Abu …” Untuk makluman, perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh digunakan pada awal ayat bagi menerangkan: · Perbandingan · Merujuk dua atau beberapa orang, benda, keadaan dan sebagainya yang dibuat perbandingan · Terbatas kepada · Sementara · Kira-kira atau lebih kurang Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114. | Tatabahasa | 28.05.2025 |
| Yang betul ialah di antara...dengan atau di antara...dan? | Penggunaan perkataan yang betul ialah ... di antara ... dengan ... | Lain-lain | 28.08.2021 |
| Yang betul ialah antara...dan atau antara...dengan? | Pasangan kata sendi nama yang betul ialah "antara...dengan". | Tatabahasa | 01.05.2015 |
| Salam sejahtera. Mohon bantuan pihak tuan/puan untuk menjelaskan perbezaan antara penggunaan frasa "antara...dengan" dengan "antara...dan". Adakah benar bahawa "antara...dan" hanya boleh digunakan apabila ayat melibatkan lebih daripada dua frasa? Contohnya, adakah ayat "Perbincangan antara Ali, Ahkau dan Abu" dianggap betul dari segi tatabahasa? Sekian, terima kasih. | Perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh diikuti oleh kata sendi nama “dengan” atau kata hubung “dan” berdasarkan konteks ayat. Apabila kata sendi nama “antara” digunakan, kata yang dipadankan dengannya ialah kata sendi nama “dengan”, bukan kata hubung “dan”. Kata hubung “dan” hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama “antara” diikuti oleh lebih daripada dua frasa nama. Contoh ayat yang tuan/puan berikan adalah betul dari segi tatabahasa kerana penggunaan kata sendi nama “antara … dan” yang digunakan adalah untuk menunjukkan hubungan antara dua pihak (perkara) atau lebih, atau anggota dalam satu kelompok. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114.
| Tatabahasa | 06.08.2025 |
| Bagaimana membezakan "antara...dengan" dan "antara...dan"? Yang mana betul: 1)Perbezaan antara kes yang tertinggi dan terendah 2)Perbezaan antara kes yang tertinggi dengan terendah Saya rujuk khidmat nasihat dbp yang ditanya oleh orang lain, jawapan yang dibagi :'antara 1 dan 200' merupakan penggunaan yang tepat. | Berdasarkan contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah 2)Perbezaan antara kes yang tertinggi dengan terendah. Perkataan "antara...dengan" biasanya menunjukkan perbandingan. | Tatabahasa | 18.03.2015 |
| 1. Apakah perbezaan penggunaan perkataan 'antara' dengan 'di antara'? 2. Ayat manakah yang lebih tepat: 'Saya hadir pada jam 8:00 pagi'. atau 'Saya hadir pada pukol 8:00 pagi.' | 1. Kata sendi nama "antara" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang tidak mempunyai ruang atau jarak, manakala frasa "di antara" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang mempunyai ruang atau jarak. 2. Ayat yang lebih gramatis ialah "Saya hadir pada pukul 8.00 pagi." | Tatabahasa | 05.06.2013 |
| Tuan, ayat di bawah ini gramatis atau tidak? Di antara makan dengan minum, dia lebih suka minum. Penggunaan di antara ... dengan betul atau tidak? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Antara makan dengan minum, dia lebih suka minum." yang menunjukkan perbandingan. "di antara" digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Contohnya: Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura. | Tatabahasa | 13.04.2020 |
| Apakah perbezaan antara 'Dengan itu' dan 'Lantaran itu'? | Penanda wacana dengan itu, oleh hal yang demikian, dengan demikian, oleh itu merupakan penanda wacana penghubung musabab. Tiada perbezaan antara penanda wacana dalam jenis yang sama cuma kesesuaian penggunaan bergantung pada konteks ayat. Jika lantaran bermaksud kerana atau sebab, maka lantaran itu samalah maknanya dengan kerana itu atau sebab itu. | Lain-lain | 14.09.2016 |
| Assalamualaikum team DBP. Saya sedang menjalankan kajian bertajuk "Pertumbuhan antara negeri di Malaysia". Jadi saya ingin bertanya jika saya hendak menulis tajuk yang kesemua awalan huruf adalah besar, adakah saya perlu menulis "antara" dengan huruf A besar seperti ini - "Pertumbuhan Antara Negeri di Malaysia". Ataupun seperti ini - "Pertumbuhan antara Negeri di Malaysia". Terima kasih banyak atas perhatian tuan/puan. Selamat berpuasa. | Penulisan tajuk yang betul ialah "Pertumbuhan antara Negeri di Malaysia". | Ejaan | 16.05.2020 |