| Assmkm Tuan, Mana yg lebih tepat... "antara satu sama lain" atau "antara satu dengan lain"? T. kasih. | Yang tepat ialah "antara satu sama lain" atau "antara satu dengan yang lain". | Tatabahasa | 24.11.2010 |
| Adakah "saling" sama maksud dengan "antara satu sama lain" ? Contoh frasa : saling membantu antara satu sama lain. Adakah frase sebegini dikatakan lewah ? | Perkataan saling bermaksud kata yang menunjukkan sesuatu perbuatan dilakukan oleh dua pihak secara berbalas-balasan. Frasa tersebut tidak lewah. | Tatabahasa | 24.07.2020 |
| Apakah maksud frasa "antara satu sama lain" secara lebih terperinci ? Bolehkah tuan/puan memberikan beberapa contoh penggunaan frasa ini dalam ayat ? | Untuk makluman, frasa “antara satu sama lain” sama seperti frasa “antara satu dengan yang lain” yang membawa maksud yang sama. Walau bagaimanapun, antara kedua-dua frasa tersebut, frasa yang betul ialah “antara satu dengan yang lain”. Manakala frasa “antara satu sama lain” pula, penggunaannya telah meluas dalam kalangan pengguna bahasa. Kata “antara” dalam kedua-dua frasa tersebut berfungsi sebagai kata sendi nama yang menunjukkan “perbandingan”. Contoh dalam ayat: 1. Mata mereka bertatapan antara satu sama lain. 2. Rakyat Malaysia saling menghormati antara satu dengan yang lain. | Tatabahasa | 29.07.2020 |
| Apa perbezaan antara "senang" dan "mudah"? Adakah mereka boleh ditukar ganti antara satu sama lain? | Perkataan 'senang" merupakan sinonim untuk perkataan "mudah" dan boleh ditukar ganti antara satu sama lain | Makna | 08.07.2020 |
| Adakah ungkapan “antara sama satu lain” merupakan ungkapan baharu ciptaan DBP? Ungkapan itu terdapat pada halaman 2 Dewan Siswa keluaran Mac 2009. | Sdr. Miarmgo, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Terima kasih atas teguran yang diberi. Ini bukan ungkapan baharu tetapi kesilapan pihak kami sendiri. Yang betul ialah antara satu sama lain. | Tatabahasa | 19.03.2009 |
| Jawapan untuk 'berdekatan dengan rumah saya' atau 'berdekatan rumah saya' bercanggah antara satu sama lain. | Frasa yang gramatis ialah "berdekatan rumah" kerana berdekatan bermaksud berhampiran dengan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 27.02.2012 |
| Di samping itu, saya mempunyai sekumpulan kawan di sekolah yang mempunyai hobi yang sama dengan saya. Kami sering berkongsi idea dan memberi galakan ____________________. Betulkah saya guna " antara satu sama lain “ ? Apakah frasa yang lebih tepat boleh digunakan ? | Ayat yang betul ialah Kami sering berkongsi idea dan memberi galakan antara satu sama lain. | Tatabahasa | 26.08.2014 |
| Menyemak ayat di bawah.kalau betul minta kebenaran,kalau salah minta penjelasan.tolong. 1.Ali seorang yang baik tetapi kawannya buruk. 2.Rakyat perlulah hormat-menghormati antara satu sama lain agar bertolak ansur. 3.Kawasan kediaman itu tempat tinggal saya. 4.Tanah Melayu pernah dijajah oleh kuasa-kuasa besar seperti portugis,belanda dan jepun. 5.Manifesto bertujuan memancing undi,hanya kata-katanya bermunasabah. 6.Ekonomi negara semakin meruncing.Dalam kegawatan ekonomi ini,rakyat perlu membudayakan amalan berjimat-cermat danmenyedari betapa ertinya budaya menabung. 7.Semangat cintai alam melambangkan tanggungjawab seseorang bangsawan. | Ayat yang betul dan gramatis ialah seperti berikut: 1.Ali seorang yang baik tetapi kawannya berperangai buruk. 2.Rakyat perlulah hormat-menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. 3.Kawasan kediaman itu, tempat tinggal saya. 4.Tanah Melayu pernah dijajah oleh kuasa-kuasa besar seperti Portugis, Belanda dan Jepun. 5.Manifesto pilihan raya sesebuah parti politik adalah bertujuan untuk memancing undi. 6.Ekonomi negara kini semakin meruncing. Dalam suasana kegawatan ekonomi, rakyat perlu membudayakan amalan berjimat-cermat dan menyedari betapa pentingnya budaya menabung. 7.Semangat mencintai alam sekitar adalah tanggungjawab semua termasuk golongan bangsawan. | Tatabahasa | 10.09.2018 |
| "Perenggan 1 dan perenggan 2 harus berkaitan antara satu sama lain" atau "Perenggan 1 dan perenggan 2 harus berkaitan dengan satu sama lain"? Ayat mana yg betul dari segi tatabahasa? Sekian, terima kasih. | Dua-dua frasa ini betul. | Tatabahasa | 16.12.2019 |
| complementary each other | saling melengkapi antara satu sama lain | Lain-lain | 11.12.2008 |