Merujuk kepada jawapan yang diberi ( Jawapan (A) Apakah )bagi soalan Manakah satu yang betul : a) Apakah lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat. b)Apatah lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat. Sebenarnya apakah perbezaan antara "Apakah" dan "Apatah" ? | 1.Maksud "apatah" (Kamus Dewan Edisi Keempat) = apalagi/lebih-lebih lagi 2. Maksud "apakah" (Tatabahasa) = kata ganti nama diri tanya merujuk benda atau perkara. Oleh itu, jawapan yang betul untuk soalan saudara ialah A. (tetapi perlu ada tanda soal ? di akhir ayat) Apakah lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat? | Tatabahasa | 14.07.2014 |
Adakah perkataan berikut boleh digunakan dalam bahasa Melayu ? 1. adapun 2. apa nama 3. ianya 4. apatah 5. adanya | Perkataan adapun, apatah dan adanya banyak digunakan dalam wacana, sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my untuk melihat makna perkataan tersebut. | Tatabahasa | 25.11.2011 |
Ribuan terima kasih atas jawapan terperinci yang diberi. Sebenarnya soalan ini keluar dalam peperiksaan percubaan UPSR Pulau Pinang pada 8/7/2014. {__________ lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat.} Diberi empat jawapan pilihan. Anak saya memilih "apakah", tetapi jawapan yang diberi oleh cikgu sekolah ialah "apatah". (tetapi soalan tiada tanda soal di belakang. kalau kita guna apatah memang salah sebab apatah bermaksud apalagi, tetapi soalan sudah ada perkataan 'lagi') Tujuan saya ialah mengajar yang betul dan tepat kepada generasi muda kita. Apakah cara yang ada untuk saya rujuk kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang mengenai jawapan kepada soalan ini ? Apakah sumber atau personel yang boleh menolong saya dalam hal ini ? | Pada pandangan saya, soalan yang dikemukakan agak mengelirukan. Sekiranya jawapan "apatah", adalah tidak tepat kerana berdasarkan maksud "apatah" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah "lebih-lebih lagi" atau "apalagi". Perkataan "apatah" banyak digunakan dalam puisi seperti pantun, syair dan sebaginya. Begitu juga dengan "apakah", iaitu kata tanya yang bermaksud pertanyaan tentang sesuatu perkara yang biasanya ditandai dengan tanda soal (?) di penghujung ayat. Berdasarkan soalan tersebut, "apakah" ialah perkataan yang sesuai, tetapi tiada tanda soal pula di penghujung ayat. Sekian. | Tatabahasa | 15.07.2014 |
saya nak tanya macam mana nak membetulkan ayat -ayat tersebut ? 1) Apatah daya, aku hanya berpendapatan kecil. 2) bilakah lagi majlis itu hendak diadakan kalau bukan semasa cuti sekolah. terima kasih atas tunjuk ajar | 'Apatah daya, aku hanya berpendapatan kecil' dan 'Bilakah lagi majlis itu hendak diadakan kalau bukan semasa cuti sekolah', kedua-dua ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 12.04.2011 |
Mana satu yang betul : a) Apatah daya saya b) Apalah daya saya c) Apakan daya saya d) Bilatah/Bilalah agaknya dia akan melangsaikan hutang-hutangnya itu. Apa perbezaan penggunaan kata penegas berikut -lah, -tah, dan -kan. Mohon penjelasan tuan. Terima kasih. | Untuk makluman, kata penegas"-lah" ialah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Partikel "-lah" digunakan untuk menegaskan frasa predikat atau bahagiannya. Partikel 'kah' dan 'tah' ialah partikel untuk menyatakan pertanyaan dan soalan. Yang membezakan antara dua kata penegas ini ialah 'tah' untuk menyatakan pertanyaan kepada diri sendiri. Berikut penggunaan yang betul. a) Apatah daya saya d) Bilakah agaknya dia akan melangsaikan hutang-hutangnya itu? | Tatabahasa | 16.08.2013 |
Salam, Bolehkah saudara/saudari berikan contoh perkataan lain yang boleh menerima kata penegas -tah selain apatah, bilatah, manatah, mengapatah. Terima kasih. | Dalam data kami, kata penegas "tah" digunakanuntuk menyatakan pertanyaan kepada diri sendiri. Oleh itu, kata tanya yang bersesuaian dengan konteks yang tersebut boleh menerima tah sebagai kata penegas, seperti yang lazim ditemukan dalam kata bilatah, apatah dan manatah. Tidak ada senarai khusus tentang perkataan berkenaan dalam pangkalan data kami.
| Tatabahasa | 11.04.2014 |
Apakah kesalahan ayat-ayat yang berikut? 1. Diakah yang melukis mural yang cantik itu? 2. Apatah nasib keluarga Mukhsin. 3. Jika Farid pergi ke Melaka, adiknya pun ingin ikut sama. 4. Duit simpanan saya lagi tinggal RM200. | Ayat pertama dan kedua betul. Berikut ayat yang betul setelah dipinda bagi ayat kedua dan keempat. 1. Apatah nasib keluarga Muksin? 2. Duit simpanan saya tinggal lagi RM200. | Tatabahasa | 10.07.2013 |
1. Adakah nama mata pelajaran perlu ditulis dengan huruf brsar? Contohnya Sains / Matematk / Bahasa Melayu. 2. Pokok kelapa berliang-liuk atau melambai-lambai ditiup angin? 3. "Apatah / Apalah dayaku yang lemah ini untuk melawannya" keluh lelaki itu. Terima kasih. | Ya, mata pelajaran harus ditulis dengan huruf besar. Bukan pokok kelapa tetapi daun-daun kelapa melambai-lambai ditiup angin. Meliang-liuk lebih sesuai untuk gerakan yang lebih lembut seperti api lilin meliang-liuk ditiup angin. Apatah dan apalah boleh digunakan untuk ayat ini. Untuk makluman, kata penegas"-lah" ialah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Partikel "-lah" digunakan untuk menegaskan frasa predikat atau bahagiannya. Partikel 'tah' ialah partikel untuk menyatakan pertanyaan dan soalan kepada diri sendiri. Jadi untuk ayat ini "apatah" agak lebih sesuai. | Lain-lain | 01.07.2014 |
Manakah satu yang betul : a) Apakah lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat. b)Apatah lagi yang awak tunggu sehingga kerja masih tidak siap dibuat. | A) Apakah | Tatabahasa | 09.07.2014 |
Boleh ke guna membawa'nya' sebab setahu saya 'nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Perlu tambah 'ke' sebelum pusat kitar semula sebab sudah ada 'ke' sebelum tempat pelupusan sampah? Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawanya ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. | Ayat yang betul ialah Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawa sampah tersebut ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. Kata sendi ke perlu diulang bagi menunjukkan tempat atau arah seperti yang diterangkan dalam Tatabahasa Dewan halaman 267. | Tatabahasa | 11.07.2014 |