Assalamualaikum. Saya ingin membuat semakan terjemahan bagi perkataan 'sensory overload', adakah 'beban sensori' atau 'beban deria' yang lebih tepat? Perkataan ini adalah berkaitan dengan autisme. Terima kasih. | Untuk makluman, tidak ada istilah khusus bahasa Melayu untuk sensory overload dalam pangkalan data kami. Istilah bahasa Melayu untuk sensory ialah deria dan istilah untuk overload ialah beban lebih. Oleh itu, istilah yang dicadangkan untuk sensory overload ialah beban lebih deria. | Istilah | 19.11.2012 |
Adakah ayat berikut betul dari segi tatabahasanya dan jika salah sila nyatakan alasannya. 1. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. 2. Antara satu sama keluarga dengan keluarga yang lain... | Ayat 1 sepatutnya: Autisme ialah sejenis penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Dalam ayat ini, ejaan autisma sepatutnya autisme dan penggunaan "ialah" hendaklah diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja. Ayat 2 agak mengelirukan, sepatutnya "Antara satu keluarga dengan keluarga yang lain". | Tatabahasa | 24.02.2009 |
Nyatakan sama ada ayat yang dinyatakan menepati sistem tatabahasa yang sepatutnya? Jika tidak berikan sebab dan ayat yang sebetulnya. 1. Mereka mempamerkan ciri-ciri kanak-kanak autistik yang sebenar : suka bersendirian, tidak boleh bergaul langsung dengan kanak-kanak lain, menunjukkan tingkah laku aneh yang tidak boleh menggunakan atau memahami bahasa. 2. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. 3. Antara satu sama keluarga dengan keluarga yang lain... 4. ... ibu bapanya akan lebih sukar menjaganya. | Ayat 2 sepatutnya: Autisme ialah sejenis penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Dalam ayat ini, ejaan autisma sepatutnya autisme dan penggunaan kata sendi nama "ialah" hendaklah diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja. Manakala kata "adalah" hadir di hadapan atau sebelum kata adjektif atau kata sendi dalam sesuatu ayat. Misalnya; Wang yang dikumpulkan itu adalah untuk tujuan amal. Ayat 3; agak mengelirukan, sepatutnya "Antara satu keluarga dengan keluarga yang lain” | Tatabahasa | 24.02.2009 |
Adakah ayat berikut betul dan jika salah sila nyatakan alasannya dan ayat yang betul. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan bersabar menghadapi kanak-kanaka autistik ini dan mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah seperti ini memerlukan banyak perhatian dan ini mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Dari seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisma boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dari semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisma sering terdapat di kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisma. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses pendiagnosan. | Sdr. de miraz, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. berikut diberikan ayat yang telah dibaiki untuk perhatian Sdr. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan sabar menghadapi kanak-kanak autistik ini. Mereka perlu mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai bagi menghadapi masalah seperti ini. Oleh sebab banyak perhatian perlu diberikan kepada kanak-kanak seperti ini ia mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga sendiri anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Daripada seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisme boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi, walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisme sering terdapat dalam kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisme ialah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak yang mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan kanak-kanak yang menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering dijalankan tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses diagnosis. | Tatabahasa | 24.02.2009 |