| Bagaimana cara menggunakan kata hubung yang betul dalam ayat majmuk? | Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Terdapat dua jenis ayat majmuk yang terbentuk, iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Ayat majmuk gabungan dihubungkan oleh kata hubung gabungan, manakala ayat majmuk pancangan dihubungkan oleh kata hubung pancangan. Sila lihat contoh di bawah: 1. Ayat majmuk gabungan: i. Murid-murid berlari dan bernyanyi. ii. Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk. iii. Encik Ali hendak ke sekolah atau hendak ke pejabat? 2. Ayat majmuk pancangan: i. Ayat relatif: Saya membeli baju yang berwarna merah. ii. Ayat komplemen: Murid yang sakit itu telah pulang. iii. iii. Ayat keterangan: Dia bukan ketua saya ketika saya bekerja dahulu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 497 - 519. | Tatabahasa | 20.04.2025 |
| Berapakah bayaran pemasangan karpet pada lantai kereta saya? Saya mahu membuat bayaran pemasangan karpet. Ayat- ayat di atas betul ke? | Ayat-ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 20.05.2024 |
| Salam sejahtera, 1.Saya bermain dengan jiran saya . 2.Saya mahu berkawan dengan kamu. Adakah ayat-ayat berikut merupakan ayat tunggal atau ayat majmuk? Sekian terima kasih. | Kedua-dua ayat yang diberikan merupakan ayat majmuk. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 497-523. | Tatabahasa | 21.04.2024 |
| Kamu membuat apa? Apakah yang kamu buat? Apakah perbezaan di antara ayat-ayat di atas? | Ayat tanya “Kamu membuat apa?” adalah tidak tepat. Ayat yang tepat ialah “Kamu buat apa?”. Ayat ini merupakan ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya. Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang mengandungi kata ganti nama seperti apa, siapa, dan mana. Dalam susunan biasa, kata ganti nama tanya menduduki bahagian predikat. Manakala, ayat tanya “Apakah yang kamu buat?”, ayat ini merupakan ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya yang wujud dalam ayat pasif. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 446. | Tatabahasa | 30.03.2024 |
| Bagaimana membezakan ayat tunggal atau ayat majmuk semasa ayat tersebut mempunyai perkataan "yang"? | Ayat tunggal ialah ayat yang terbina daripada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat. Subjek ialah bahagian ayat yang diterangkan dan predikat ialah bahagian ayat yang menerangkan subjek. Contoh ayat tunggal: “Ali berjalan kaki.” Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Contoh ayat majmuk: “Ali sedang membaca buku dan Fatimah sedang membuat latihan Matematik.” Ayat relatif merupakan ayat majmuk pancangan yang ditandai dengan penggunaan perkataan “yang” seperti dalam contoh ayat: “Saya membeli baju yang berwarna merah.” Apabila kedua-dua ayat itu dimajmukkan, ayat “Baju itu berwarna merah” dipancangkan ke dalam ayat induk “Saya membeli baju.” Oleh sebab ungkapan “baju” diulang, maka “baju” yang kedua itu digugurkan dan digantikan dengan kata hubung relatif “yang”. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 463, 497, 504 dan 505. | Tatabahasa | 07.10.2024 |
| Pola ayat(ayat songsang) 1.Duduk Akmar di atas lantai(FN+FSN) 2.Di atas lantai Akmar duduk.(FN+FK) ---Adakah betul tentang pola ayat ini | Pola ayat songsang yang betul ialah: 1.Duduk Akmar di atas lantai(FN+FSN) | Tatabahasa | 28.01.2026 |
| Saya ingin bertanya tentang ayat berikut. Kemudian, mintalah ibu bapa kita doakan kita. Apakah jenis ayat perintah di atas? Ayat suruhan atau ayat permintaan? Manakah yang lebih tepat? Jika ayat suruhan, mengapakah? Jika ayat permintaan, mengapakah? Terima kasih | Ayat “Kemudian, mintalah ibu bapa kita mendoakan kita.” merupakan ayat perintah jenis ayat permintaan. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan. Ayat di atas merupakan ayat permintaan dengan menggunakan kata permintaan “mintalah”. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat perintah, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 448 - 452. | Tatabahasa | 19.09.2025 |
| Salam sejahtera. Merujuk ayat- ayat di bawah, yang mana satukah ayat yang betul? 1. Kejadian kepala air ialah fenomena semula jadi. 2. Fenomena kepala air ialah kejadian semula jadi. Terima kasih. | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan frasa nama. Maka, ayat yang sesuai “Kepala air ialah fenomena alam.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2013), halaman 263 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 596. | Tatabahasa | 10.11.2025 |
| adakah ayat-ayat berikut betul atau salah? 1. MERAIH KEPELBAGAIAN MENERUSI TITIK PERPADUAN. 2. MERAIH KEPELBAGAIAN BERTERASKAN TITIK PERPADUAN. 3. MERAIH KEPELBAGAIAN BERORENTASIKAN TITIK PERPADUAN. 4. MERAIH KEPELBAGAIAN BERPAKSIKAN TITIK PERPADUAN. 5. MERAIH KEPELBAGAIAN BERTUNJANGKAN TITIK PERPADUAN. | Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, perkataan yang betul ialah "menerusi". Cadangan ayat yang betul ialah: Perpaduan menerusi kepelbagaian kebudayaan. | Tatabahasa | 22.08.2024 |
| Adakah ayat-ayat berikut betul penggunaan kata bilangan? 1. Ibu membeli satu kilogram setengah buah langsat. 2. Kakak menggunakan satu meter setengah kain untuk membuat blaus. 3. Ali membayar dua ringgit setengah kepada penjaja itu. 4. Perjalanan itu mengambil masa selama tiga jam setengah untuk sampai ke destinasi. | Jawapan yang betul ialah: 1. Ibu membeli satu kilogram setengah buah langsat. 2. Kakak menggunakan satu meter setengah kain untuk membuat blaus. 3. Ali membayar dua ringgit lima puluh sen kepada penjaja itu. 4. Perjalanan itu mengambil masa selama tiga jam setengah untuk sampai ke destinasi. | Lain-lain | 11.01.2024 |