Apakah makna ayat imperatif? | Makna ayat imperatif ialah ayat perintah. Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau, dan sebagainya yang biasanya digugurkan berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut: (i) Ayat suruhan (ii) Ayat larangan (iii) Ayat silaan (iv) Ayat permintaan | Makna | 16.07.2006 |
Salam sejahtera, "Minta tunjuk ajar daripada jurulatih sekiranya tidak dapat menguasai teknik permainan atau latihan." Adakah ayat ini ayat perintah? | Selamat pagi Untuk makluman, ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan. Ayat di atas merupakan ayat perintah. Rujuk semula Tatabahasa Dewan, muka surat 448-452. | Tatabahasa | 21.06.2016 |
Apakah jenis ayat di bawah. Soalan : Semua pelajar diminta berkumpul di padang. Ayat penyata atau ayat perintah ? Tolong berikan sebab. Terima kasih. | Ayat yang diberikan ialah ayat perintah. Untuk makluman, ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan. Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ms. 441 dan 448 - 452. | Tatabahasa | 07.08.2011 |
Salam sejahtera. "Hidangkan teh kepada ayah." Adakah ayat ini ayat perintah? Terima kasih. | Ayat “Hidangkan teh kepada ayah” merupakan ayat perintah jenis suruhan. Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberikan perintah atau arahan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 448. | Tatabahasa | 06.03.2017 |
Pandulah kenderaan mengikut peraturan supaya kemalangan dapat dielakkan.Adakah imbuhan meng- dalam kata kerja "mengikut" perlu digugurkan kerana kata kerja yang digunakan dalam ayat perintah itu bersifat transitif, maka kata kerja tersebut berbentuk dasar sahaja. Contohnya, Pandulah kenderaan ikut peraturan supaya kemalangan dapat dielakkan. | Kata kerja mengikut dalam ayat perintah ini betul. Dalam ayat ini terdapat dua kata kerja transitif, iaitu pandu dan ikut (mengikut) dan tindakan yang perlu dilakukan dalam ayat perintah ini telah dijelaskan dalam kata kerja transitif pertama, iaitu pandulah (kenderaan) dan mengikut, kata kerja transitif yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Oleh itu, kata kerja mengikut (dengan awalan meN-) tidak dapat digugurkan seperti kata kerja transitif yang pertama. | Tatabahasa | 11.08.2011 |
Murid-murid dilarang membuang sampah di merata-rata tempat. Adakah ayat ini ayat perintah /penyata? | Ayat tersebut merupakan ayat perintah, iaitu jenis ayat larangan yang bersifat umum, yang tidak menggunakan kata larangan seperti “jangan” atau “usah” dan tidak menerima partikel -lah. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP 2015), halaman 256 dan 450. | Tatabahasa | 25.09.2024 |
ayat perintah yang manakah yang tepat? 1. Sila jamu selera. atau 2. Sila menjamu selera. | Lazimnya frasa "sila menjamu selera" yang digunakan. | Tatabahasa | 05.09.2014 |
Ayat di bawah ini jenis ayat perintah apa? Usahkan kecewa jika gagal dalam pertandingan yang disertai sebaliknya kita perlu berusaha gigih. | Ayat tersebut merupakan ayat perintah larangan. Akan tetapi, ayat yang diberikan kurang tepat. Ayat yang lebih tepat: Usah kecewa jika gagal dalam pertandingan yang disertai, sebaliknya kita perlu berusaha dengan lebih gigih. | Tatabahasa | 28.09.2015 |
Semua murid diminta berkumpul di tapak perhimpunan. Ayat di atas ialah ayat perintah atau ayat penyata? Boleh tolong bagi penjelasan? | Ayat "Semua murid diminta berkumpul di tapak perhimpunan." ialah ayat perintah. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga: halaman 448. | Tatabahasa | 06.09.2020 |
jenis dan fungsi ayat berita, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seru? | Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan nada atau itonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan, seerti takut, marah, takjub, geram dan sakit. Ayat tanya pula ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu. Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan untuk orang kedua. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 09.04.2009 |