Ayat seperti ayat (1) disalahkan oleh Dr. Asraf dalam buku tatabahasa beliau Petunjuk Bahasa Melayu Baku KBSM (1989) pada halaman ke-170: (1) Bangunan itu tertinggi. Penyalahan ini dilakukan kerana beliau mendakwa bahawa sifat yang berawalan ter- seperti "tertinggi" tidak dapat bekerja cerita sebaliknya perlu dibetulkan kepada "paling tinggi" seperti ayat (1) (a): (1) (a) Bangunan itu paling tinggi. Saya hendak menanyakan sebab penyalahan ayat (1)? Ayat 1 (a) memang tepat kerana bahagian kata penguat "paling" dan bahagian kata sifat "tinggi" dapat membentuk frasa sifat "paling tinggi" yang dapat bekerja cerita, tetapi mengapatah kata sifat "tertinggi" sendiri tidak dapat menjadi frasa sifat? Bukankah satu kata seperti "tertinggi" apabila menjadi cerita, memegang kuasa frasa, maka "tertinggi" bukan lagi kata, tetapi frasa kerana hanya frasa yang dapat bekerja benda dan cerita. Namun begitu, Dr. Asraf menyalahkan sifat ter- "tertinggi" yang bekerja cerita pula. Apakah alasan beliau? Penyalahan ini bukan sahaja ditunjukkan dalam buku Petunjuk Bahasa Melayu Baku KBSM, malah buku Dr. Asraf yang lain yang bertajuk tatabahasa SPM 4 & 5 Nexus Asasi keluaran Sasbadi, hasil kerjasama penulisan beliau dengan Dr. Supian Mohd. Noor dan Ramlah Razali pada halaman ke-111. Adakah Dr. Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan juga mendakwa bahawa sifat yang berawalan ter- seperti tertinggi, tercantik tidak dapat bertugas cerita? | Tuan/puan, apakah yang dimaksudkan dengan "tidak dapat bertugas cerita"? Untuk makluman tuan/puan, DBP menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama dalam menjawab pertanyaan bahasa. Untuk pertanyaan yang lebih lanjut, tuan/puan hendaklah mengemukakan pertanyaan kepada yang lebih arif yang tidak terikat dengan rujukan DBP atau melakukan penyelidikan. Harap maklum. | Tatabahasa | 27.12.2016 |
Perkataan PUNDAK dalam Bahasa Indonesia adakah ia bermaksud PUNCAK dalam Bahasa Melayu, Malaysia.Thanks for your kind assistance. | Pundak (bahasa Jawa) maknanya dalam bahasa Melayu ialah bahu atau diri seseorang manakala puncak pula bermakna bahagian yang tertinggi atau paras yang paling atas. | Makna | 30.04.2005 |
Hi. Apakah perbezaan maksud perkataan "rabung" dan "puncak"? Dan jika maksud perkataan tersebut adalah jauh berbeza. TQ. | Menurut data kami, perkataan rabung ialah 1 puncak bumbung rumah. 2 alur atau lekuk pada bahagian tepi sesuatu alat. (Kamus Pelajar Edisi Kedua) manakala perkataan puncak bermaksud 1 bahagian yang tertinggi pada sesuatu: ~ gunung; ~ tiang. 2 yang tertinggi (harga, jawatan dan lain-lain): Dalam masa peperangan Korea dahulu, harga getah asli telah mencapai ~nya. memuncak meningkat tinggi-tinggi; membumbung tinggi; menjadi sangat-sangat: Harga barang-barang telah ~ naik. (Kamus Pelajar Edisi Kedua) | Makna | 20.12.2018 |
APAKAH HIRAKI GELARAN TERTINGGI DI MAAYSIA MENGIKUT KEUTAMAANNYA. CONTAOHNTA DATO' DENGAN DATUK, DATUK SERI TAN SRI DAN YANG LAIN-LAIN PANGKAT | Merujuk buku Protokol di Malaysia: Tradisi dan Amalan, halaman 327, Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan dan Negeri ialah: 1. Seri Pahlawan Gagah Perkasa/SP (Persekutuan) 2. Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia/DKM (Persekutuan) 3. Darjah Utama Seri Mahkota Negara/DMN (Persekutuan) 4. Darjah Kerabat 1/DK 1 (Johor) 5. Darjah Kerabat/DK (Kelantan) dan seterusnya sehingga ke senarai 211. Dalam hal ini, saudara perlu merujuk Bahagian Protokol dan Adat Istiadat, JPM kerana setiap pingat membawa gelarannya tersendiri dan susunan keutamaan seperti dalam buku yang tersebut di atas. Untuk makluman saudara penerima pingat daripada Sultan/Yang di-Pertuan Besar bergelar Dato'/Dato' Seri, manakala penerima pingat daripada Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri bergelar Datuk. | Lain-lain | 21.09.2011 |
Pada tahun 2009, ada iklan berkaitan pertandingan lagu puisi. Bilakah pertandingan akhir lagu puisi itu akan diadakan ? | Terima kasih kerana menggunakan Khidmat Nasihat DBP. Bahagian Pengembangan Sastera, DBP, merancang akan mengadakan Sayembara Lagu Puisi Ke-10 (pertandingan akhir) pada April atau Mei 2010. Namun yang demikian, kami masih menunggu kelulusan/keputusan daripada Pengurusan Tertinggi DBP. | Lain-lain | 09.03.2010 |
saya ingin pengesahan dari pihak tuan mengenai perkataan yang sesuai bagi kategori marah. mengikut pendapat saya melalui pembacaan, susunan kategori marah adalah seperti berikut bermula dari kategori rendah ke kategori tertinggi: sakit hati, marah, sangat marah, meradang, berang; dilampirkan instrumen kajian yang telah diterjemahkan dari English ke Bahasa Melayu untuk kepastian | Merujuk Kamus Dewan meradang melebihi tahap marah. Walau bagaimanapun khidmat nasihat bahasa tidak dapat mengesahkan kebenaran kajian puan dan kami cadangkan puan kemukakan kajian puan kepada Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP untuk perbincangan lanjut. Dalam amalan biasa kita lazimnya mengikut rumus tatabahasa, contohnya: kata adjektif - marah, kata penguat - amat marah dan darjah penghabisan - teramat marah. | Tatabahasa | 26.07.2012 |
apa definisi pengurus dan apa pula definisi ketua serta peranannya? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, Pengurus ialah 1. (orang dll) yg mengurus, (orang dll) yg menjalankan pengurusan: dia telah dilantik menjadi ahli jawatankuasa ~ perayaan hari kebangsaan; 2. orang yg mengendalikan perjalanan sehari-hari syarikat perniagaan dsb: pentadbiran syarikat diserahkan kpd seorang ~ dan sebuah jawatankuasa; ~ agung = ~ besar pengurus yg tertinggi, pucuk pimpinan (syarikat dll); ~ harian pengurus yg menjalankan tugas hari-hari; ~ lini pengurus yg bertanggungjawab merancang, mengurus, mengeluarkan dan memasarkan produk atau perkhidmatan sesebuah organisasi: perancangan merupakan fungsi utama ~ lini; ~ syarikat orang yg menguruskan (mengendalikan) sesebuah syarikat. Ketua pula ialah orang yg mengepalai atau memimpin (pasukan, perkumpulan, pertubuhan, jabatan, dll): ~ persatuan; ~ pengarang; guru ~ guru besar (kepala sekolah); ~ adat pemimpin yg dilantik mengikut adat utk mengawasi perjalanan adat (dlm kampung, suku, dll); ~ jurumasak cef; ~ kampung orang yg mengepalai kampung, penghulu kampung; ~ kerajaan pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan, yg dilantik drpd ketua parti politik yg memerintah: ~ kerajaan Malaysia ialah Perdana Menteri Malaysia; ~ Menteri menteri yg mengepalai menteri-menteri lain (biasanya dlm negeri bahagian): ~ Menteri Melaka; ~ Menteri Sabah; ~ muda wakil ketua; ~ murid murid yg dijadikan ketua bagi semua murid; ~ negara pemimpin tertinggi sesebuah negara yg terdiri drpd seseorang raja atau pemimpin parti politik yg memerintah: ~ negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong; ~ pejabat orang yg mengepalai dan bertanggungjawab terhadap perjalanan pejabat; ~ satu ketua yg terkanan (terpenting) sekali (dlm pertubuhan dll); | Istilah | 01.07.2009 |
Maksud perkataan "sasana" seperti dalam ayat ini: YBrs. Dr/tuan/puan, Saya dengan hormatnya merujuk kepada perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) bertarikh 21 September 2017, mengenai perkara di atas. Keputusan YBhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi pelaksanaan Sasana Bahasa dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam Bil. 13 Tahun 2017 bertarikh 19 Julai 2017 dan Mesyuarat Prapelaksanaan Sasana Bahasa Bil. 1 Tahun 2017 telahpun diadakan pada 27 Julai 2017 (Khamis) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Suhaime Mahbar, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar (BPPD) adalah jua dirujuk. 2. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan ini akan mengadakan MESYUARAT PELAKSANAAN SASANA BAHASA BILANGAN 1 TAHUN 2017 seperti butiran berikut: Tarikh : 29 September 2017 (Jumaat) Masa : 9.00 pagi Tempat : Bilik Mesyuarat Utama Aras 9, Blok C1, Kompleks C Jabatan Perkhidmatan Awam 62510 PUTRAJAYA. | Kata sasana belum terakam dalam data DBP. Pencarian kami menemui kata sasana berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud lokasi, pusat, bangunan atau arena di mana masyarakat berkumpul untuk bermesyuarat. Frasa ‘sasana bahasa’ dalam pertanyaan puan boleh membawa maksud lokasi, pusat, arena, mesyuarat, majlis berkaitan isu atau program bahasa. | Makna | 28.09.2017 |
Bagaimana penggunaan pangkat seperti D.I.M.P., A.M.N.,S.I.S,A.M.S adakah diletakkan sebaris bersama nama, seperti:- DATO' DR. JUHARI BIN AHMAD D.I.M.P.,A.M.N.,S.I.S.,A.M.S ATAU diletakkan di bawah baris nama DATO' DR. JUHARI BIN AHMAD D.I.M.P.,A.M.N.,S.I.S.,A.M.S | Penggunaan Darjah Kebesaran Persekutuan atau Darjah Kebesaran Negeri biasanya diletakkan di bawah nama penerima darjah kebesaran tersebut. Sekiranya ingin diletakkan sebaris dengan nama penerima, darjah kebesaran tersebut perlu dimasukkan dalam tanda kurung ( ) serta disusun mengikut urutan darjah tertinggi. Namun, hal ini bergantung pada protokol khusus sesebuah negeri dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, tuan bolehlah menghubungi Bahagian Istiadat & Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri. | Lain-lain | 21.01.2020 |
Putera Pg Azlan Sep 30th, 1:42pm Assalammualaikum yang berbahagia Datuk, saya Wan Amir Azlan Bin Wan Haniff dari UUM, salah seorang peserta Program pembinaan Bakat Siswa... seperti yang tuan sudah sedia maklum mengenai surat semalam, saya ingin respons dengan berharap agar perkara ini dapat disiasat dengan teliti Tuan, bukan niat saya untuk mengeruhkan keadaan memandangkan program ini telah pun berakhir, saya cuma berharap agar selepas ini ia tidak berlaku lagi, dan untuk makluman tuan, saya telah bersedia 5 bulan lamanya untuk pertandingan ini dan setiap persediaan tersebut mempunyai harga yang perlu pihak kami bayar untuk jayakannya ditambah pula jarak universiti kami yang sangat jauh. kami cuma berharap pertandingan ini dapat diadili dengan lebih adil dan teliti tanpa ada miring kepada mana2 pihak. .. Saya meminta maaf jika saya tersilap kata, segala kerjasama tuan sangatlah saya hargai.. | Syabas atas pelibatan dan komitmen tuan dalam Program Bakat Siswa. Semua peserta layak untuk menang tetapi hanya seorang yang akan dipilih sebagai pemenang, iaitu peserta yang mempunyai markah tertinggi dalam kumplan tersebut. Perlu diingat, panel hakim yang dipilih adalah dalam kalangan mereka yang berwibawa dan berintegriti. Walau bagaimanapun, untuk sebarang aduan, tuan boleh menghubungi pihak urus setia di Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, di talian 03-21479222/9216/9217 atau e-mel aduan kepada Ketua Bahagian Puan Siti Aisah Murad di talian aisah@dbp.gov.my. | Lain-lain | 30.09.2014 |