Apakah terjemahan yang sesuai bagi perkataan-perkataan di bawah? Berikut ialah bahasa-bahasa di dunia dalam bahasa Inggeris. Avestan Tibetan Standard Basque Terima kasih atas bantuan anda. | Untuk makluman, tidak terdapat padanan bahasa Melayu yang khusus untuk nama bahasa yang dikemukakan. Cadangan kami adalah seperti yang berikut: i. Avestan - bahasa Avesta ii. Tibetan - bahasa Tibet iii. Standard Basque - bahasa Basque standard | Istilah | 03.07.2013 |
Nama saya Farouk Azim dan saya seorang penggemar bahasa yang berminat tentang bahasa-bahasa Orang Asli. Merujuk kepada artikel bertajuk "Orang Asli voices may go silent as languages face extinction" yang menyatakan JAKOA bersama DBP telah dan masih membuat kajian untuk bahasa-bahasa Orang Asli untuk menghasilkan kamus daripada hasil kajian tersebut, saya ingin mengetahui jika saya boleh mendapat apa-apa kemaskini status atau laporan tentang kajian tersebut? Di samping itu, saya ingin mengetahui jika ada apa-apa usaha lain untuk mendokumentasikan bahasa-bahasa Orang Asli menggunakan media seperti rakaman audio dan video supaya lebih mudah untuk seseorang mempelajari bahasa-bahasa Orang Asli? Saya berharap pihak DBP dapat memberikan jawapan kepada soalan-soalan saya. | Assalamualaikum wbt tuan yang dihormati, DBP bekerjasama dengan KPM termasuklah pihak JAKOA bagi menjayakan Program UNESCO: Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah. Program ini melibatkan pengumpulan data lapangan dan pengesahan data entri untuk penerbitan Daftar Kata. Pihak kami juga sedang usahakan medan audio di dalam Sistem Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk mendokumentasikan entri bahasa sukuan dan bahasa daerah tersebut. Berikut merupakan senarai projek UNESCO bahasa orang Asli yang sedang kami usahakan untuk tahun 2020, antaranya: i) Daftar Kata Bahasa Semai / ii) Daftar Kata Bahasa Jedek/Jahai / iii) Daftar Kata Bahasa Kanaq Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi: Nor Azianti binti Abd Aziz, Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Tel.: 03 2147 9158 | Lain-lain | 23.01.2020 |
(i) Bagaimana hendak menterjemahkan "Programmable Logic Controller" ke Bahasa Melayu? (ii) Daripada bahasa apakah perkataan "kereta" berasal? | Pengawal Logik Boleh Atur Cara. Sila rujuk Institut Terjemahan Negara Malaysia untuk terjemahan yang lebih tepat. Etimologi kata "kereta" tiada dalam maklumat kami. | Lain-lain | 21.12.2008 |
Bolehkah saya tanya yang manakah betul? i) bahasa Melayu/Bahasa Melayu ii) Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia/peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia | Apabila merujuk kepada bahasa sama seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris, ejaan yang betul ialah bahasa Melayu. Ejaan Bahasa Melayu (Malaysia) digunakan bagi nama mata pelajaran seperti Sains dan Matematik. | Tatabahasa | 07.10.2012 |
Salam tuan, saya ingin mendapatkan kepastian tentang penggunaan perkataan : i) bahasa melayu atau bahasa malaysia. yang mana satu betul untuk digunakan. Contohnya, akta dalam bahasa inggeris telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu atau bahasa Malaysia. ii) perkataan konklusi...bolehkah perkataan digunakan bagi menggantikan perkataan secara keseluruhannya? harap tuan dapat membantu. Sekian terima kasih | I. Mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta bahasa Kebangsaan penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari aspek ilmu bahasa itu disandarkan kepada peradaban Melayu, maka bahasa Melayu yang digunakan. Walau bagaimanapun pada tahun 2006 Kabinet mengeluarkan arahan bahawa perkataan bahasa Malaysia digunakan untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat dan dalam konteks perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. ii. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, konklusi ialah keputusan pendapat (berdasarkan keterangan, kenyataan, dll), kesimpulan. | Tatabahasa | 03.06.2013 |
langkah langkah mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi. | Langkah-langkah untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi/bahasa kebangsaan i. Telah diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152. ii. dijadikan sebagai bahasapengantar sekolah aliran kebangsaan menginut Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. iii. Penubuhan DBP sebagai badan yang bertanggungjawab dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut, saudara digalakan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber yang banyak menyediakan bahan/buku berkaitan dengan perkara ini. | Lain-lain | 15.02.2009 |
Saya ingin bertanya. i) adakah perkataan MEMICU wujud dlm bahasa kita? ii) adakah maksud MEMICU sama erti dengan MEMACU? iii) apakah maksud sebenar MEMICU dan bagaimana penggunaannya? | Memicu ialah kata terbitan daripada picu iaitu pemetik (pistol, senapang, dan lain-lain); memicu ialah menarik atau memetik picu pistol, senapang dsb. memacu dari kata dasar pacu membawa makna yang berbeza iaitu 1. menggesa (kuda) dgn menusukkan pacu supaya berlari deras: maka Arung Lenga pun ~ kudanya; 2. ki melarikan deras-deras (kereta dll): dipacunya motosikalnya dgn laju; 3. = memacukan memperlumbakan; 4. menggerakkan sesuatu kegiatan (ekonomi, pembangunan dsb) dgn lebih cepat atau pesat. oleh itu memicu dan memacu adalah kata terbitanyang membawa makna berbeza. | Tatabahasa | 05.02.2008 |
Saya Komariyah Satapo sedang belajar bahasa Melayu dasar di Pusat Bahasa Antarabangsa YIU.Ingin bertanya buku bertutur bahasa melayu .Terimakasih. | Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk buku i. Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu, ii. Daftar Umum Sebutan Bahasa Baku Bahasa Melayu, iii. Pedoman Sebutan Baku Bahasa Melayu. iv. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Buku-buku ini ialah terbitan DBP. | Tatabahasa | 24.10.2013 |
I. BAHASA MELAYU BAGI 'REVERSED PARKING'' II. HAD LAJU 30KMJ ATAU HALAJU 30KMJ ?? | i. Untuk makluman belum ada istilah khusus untuk "reverse parking". Walau bagaimanapun, cadangan kami ialah letak kereta undur atau letak kereta secara mengundur. ii. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud Halaju dan had laju ialah dua perkataan yang berbeza, had laju bermaksud kelajuan maksimum yang dibolehkan, manakala halaju ialah kelajuan atau kecepatan, dan bukan juga hal laju. Maka yang betul ialah Had Laju 30 KM/J | Makna | 10.04.2017 |
Salam, bolehkah para Pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu hari ini mempertahankan bahasa Melayu dengan mengurangkan peminjaman istilah-istilah asing seperti bahasa Inggeris dan Eropah sebab bahasa-bahasa itu bukan rumpun Melayu. Jika tiada perkataan atau istilah yang sesuai untuk menterjemahkan sesuatu istilah Inggeris, ada baiknya jikalau para pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu meminjam istilah serumpun seperti bahasa Melayu Indonesia, bahasa Jawa, Arab, Filipina dan lain-lain serta ada baiknya juga jikalau dipinjam daripada istilah-istilah loghat negeri atau daerah seperti loghat Kelantan, Kedah, Johor dan jikalau tiada sekalipun, cubalah untuk mereka dan mencipta istilah baru. Untuk itu saya memberi contoh, bahasa Melayu tiada istilah "Bicycle" dalam bahasa Inggeris, lalu dipinjam menjadi ''basikal'' dan itu memang kerja menjengkelkan serta kerja mudah. Apa kata, para DBP dan tokoh bahasa Melayu berfikiran terbuka dan berdaya cipta sedikit . Jadi, dalam loghat kedah ''basikal'' disebut ''gerek''. Jadi, apa salahnya jikalau digunakan ''gerek'' untuk ''basikal'' dalam bahasa Melayu dan boleh juga mencipta istilah lain seperti ''bi'' dalam bahasa Inggeris dan ''dwi" dalam bahasa Melayu serta ''cycle'' dalam bahasa Inggeris dan ''kitar'' dalam bahasa Melayu. Jadi, tak salahkan jikalau digabungkan dua perkataan Melayu itu seperti "dwikitar'' untuk ''bicycle'' dalam bahasa Inggeris. | Kami ambil maklum pandangan tuan. Walau bagaimanapun suka untuk kami berkongsi maklumat bahawa peminjaman bahasa sememangnya berlaku secara tabii apabila dua komuniti, bahkan juga dua komuniti dialek, bertemu antara satu sama lain. Ini bermakna akan berlaku pengambilan unsur bahasa daripada suatu bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya, perkataan fikir (bahasa Arab), ayu (dialek Jawa) dan almari (bahasa Portugis) telah lama diterima pakai dalam bahasa Melayu sehinggakan perkataan tersebut dianggap sebagai kata jati Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang khusus (peristilahan). Kata serapan pula ialah kata daripada bahasa asing yang diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaannya (jika perlu) supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan Melayu. Peminjaman usur-unsur bahasa asing merupakan kelaziman atas beberapa alasan tertentu, iaitu: i. tiada perkataan dalam bahasa Melayu dan keperluan memberikan nama am atau khusus kepada benda atau perkara; ii. perkataan bahasa Melayu belum ada yang dapat menepati maksud semantik bahasa asing; dan iii. Perkataan asing sesuai dan kelihatan lebih bergaya berbanding dengan bahasa Melayu sedia ada yang mungkin sudah lapuk atau jarang-jarang digunakan, misalnya perkataan matematik menggantikan ilmu hisab. Dalam dunia tanpa sempadan, hakikat yang perlu diterima ialah peminjaman bahasa ini juga berlaku dalam semua bahasa dan semakin meluas. Bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam bahasa daripada bahasa Latin, Greek dan Perancis. Berdasarkan semakan kami, perkataan bicycle itu sendiri merupakan gabungan daripada bi- (bahasa Inggeris) dan kuklos (bahasa Greek), diasimilasikan menjadi bicycle. Bahasa Arab juga meminjam perkataan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang teknologi. Bahasa Melayu yang mempunyai ciri-ciri bahasa moden tidak dapat lari daripada fenomena sejagat ini. Penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu juga dilihat semakin berleluasa dan tidak terkawal kerana sifat sesuatu bahasa itu sendiri yang sentiasa berkembang seiring dengan perubahan dari semasa ke semasa. DBP, melalui Jawatankuasa Istilah dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim) hanya menerima perkataan asing sekiranya mematuhi proses peminjaman unsur asing ke dalam bahasa Melayu. | Istilah | 06.11.2015 |