soalan 1 1. Kak Lijah telah memberikan __________ daripada lauk gulai ayam yang dimasaknya kepada Puan Teoh A. sebahagian B. Separuh apa jawapannya dan kenapa soalan 2 1. __________ daripada alat tulis yang ada di dalam kotak pensel itu kepunyaan kakak saya. A. sebahagian B.Sebilangan soalan 3. 1. ______________ dia dilantik menjadi ketua kerana kebolehannya itu. A. selayaknya B. sebetulnya C. Bahawasanya. soalan 4. 1. __________________ datang ke rumah saya pada malam ini kerana bapa saya akan mengadakan kenduri kesyukuran . A. Jemput B. sila C. Minta D. harap bagaimana nak bezakan jawapan tersebut.terimakasih dengan penjelasan yang diberi | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, "sebahagian" dan "separuh" mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, kedua-dua jawapan adalah betul. 2. Sebahagian bermaksud separuh atau setengah. Sebilangan bermaksud sejumlah atau sebanyak. Jawapan yang sesuai ialah "sebahagian". 3. Selayaknya bermaksud sepatutnya, sepantasnya. Sebetulnya bermaksud sebenarnya, sesungguhnya, nyata. Bahawasanya bermaksud i. bahawa ii. bahawa sesungguhnya, sesungguhnya, sebenarnya. Berdsarkan maksud yang diberikan, jawapan yang sesuai ialah "selayaknya". 4. Jawapan yang paling sesuai ialah "sila" kerana sila bermaksud minta dengan hormat supaya..., jemputlah, sudilah. | Tatabahasa | 19.04.2012 |
1. Adakah ayat-ayat ini betul: i) Setiap pekerja perlu memastikan bahawa majikan membuat caruman pendapatan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. ii) Pertandingan itu diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak sekolah kami. iii) Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa. 2. Ayat mana satu yang betul: i) Bukan sahaja Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, bahkan juga adiknya. ii) Sedangkan Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, apatah lagi adiknya. | Ayat i dan ii betul. Ayat (iii) Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa, kurang tepat kerana kata pemeri “adalah” tidak boleh hadir di hadapan prasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, ayat di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut: Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa. Ayat “Bukan sahaja Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, bahkan juga adiknya” perlu diedit seperti yang berikut “Bukan Yasmin sahaja tidak termakan gulai yang pedas itu, malahan adiknya.” | Tatabahasa | 29.10.2020 |
Salam sejahtera! Mengenai perkataan bisa, rujukan di kamus menunjukkan bahawa ianya mempunya makna berikut: bisa II tidak ada halangannya; dpt melaksanakan sesuatu; mampu; dapat: Saya ~ melanjutkan pelajaran saya hingga ke peringkat universiti dgn perbelanjaan sendiri. (Kamus Pelajar Edisi Kedua) bisa II Id boleh, dapat, mungkin: tenaga masih ~ dipergunakan; saya ~ melanjutkan sekolah; ~ jadi; mana ~ kita menang;sebisanya sedapat-dapatnya;kebisaan kesanggupan, kecekapan. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Adakah perkataan bisa diterima di dalam perbendaharaan Melayu, walaupun seringkali digunakan di dalam pertuturan/penulisan bahasa Indonesia? Apakah ianya sudah dimelayukan and ianya menjadi perkataan Melayu yang rasmi, seperti di dalam Kamus Dewan Edisi Kedua. Saya dapati bahawa ada sekumpulan perkataan/istilah Indonesia yang disenariakan di dalam kamus. Apakah sebabnya perkataan ini disenaraikan, manakali yang lain pula dikecualikan? Maaf jika soalan saya ini dianggap terlalu kasar/tidak beralas. Sekian, terima kasih! | Untuk makluman tuan, Kamus Dewan berfungsi merakam perkataan yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat dengan merujuk data korpus. Semua perkataan yang dimasukkan dalam Kamus Dewan tidak semestinya diterima sebagai baku dan boleh digunakan untuk tujuan rasmi. Dalam penulisan di Malaysia, sewajarnya menggunakan bahasa Melayu yang rasmi dengan pemilihan kata yang bersesuaian. | Tatabahasa | 12.05.2020 |
Mohon pihak tuan/ puan senaraikan penanda wacana yang biasa digunakan di dalam surat rasmi kerajaan untuk rujukan pihak kami | Antara penanda wacana yang digunakan dalam surat adalah seperti yang berikut: i. Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa, ii. Seperti yang tuan sedia maklum, iii. Untuk tujuan tersebut, iv. Oleh hal yang demikian, v. Sekian untuk makluman dan tindakan tuan. Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan penanda wacana, pihak puan boleh merujuk buku TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA (halaman 525) dan MODUL ASAS TATABAHASA DAN ASAS PENULISAN DOKUMEN RASMI untuk penulisan surat dan dokumen rasmi. | Tatabahasa | 15.03.2023 |
I Pasukan Rumah Merah bertegang urat untuk mengalahkan pasukan Rumah Hijau dalam perlawanan itu. II Putus asa hatinya apabila permohonannya untuk berpindah ditolak oleh majikannya. III Baju-baju yang dijual di kedai itu cantik-cantik belaka. IV Ibu risau kerana abang belum balik-balik dari sekolah. JAWAPAN yang diberikan dalam BUKU ialah B iaitu IV sahaja. A I sahaja B IV sahaja C I, II, dan III D II, III, dan IV Mengapakah IV salah, bukankah maksud ayat ialah abang masih belum pulang dengan menggandakan balik-balik? Ada guru yang menjelaskan bahawa I dan II salah kerana penggunaan untuk sepatutnya guna "bagi". Sebenarnya saya tidak dapat terima penjelasan tersebut. | Ayat I betul kerana kata sendi nama untuk dan bagi dapat bervariasi (bertukar ganti) kecuali dalam keadaan menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, seperti dalam ayat Hadiah ini untukmu (bukan Hadiah ini bagimu). Ayat IV salah kerana balik-balik ialah bahasa percakapan yang bermaksud kerap melakukan perkara yang sama dan bahasa percakapan tidak digunakan dalam situasi rasmi. | Tatabahasa | 11.08.2011 |
Tuan, Di sini ingin bertanya bahawa i) meminta maaf daripada atau kepada jiran. ii) memohon ampun daripada atau kepada ibu bapa pada hari raya? banyak yang melihat memohon maaf kepada? adakah kepada betul? Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | Ayat yang betul ialah "Meminta maaf daripada jiran." dan "Memohon ampun daripada ibu bapa pada hari raya." | Tatabahasa | 27.11.2023 |
Tuan, saya difahami bahawa: (1) dengan ialah kata sendi yang perlu diikuti kata nama. Dalam hal ini, lancar dan meriah ialah kata adjektif. oleh itu, perlukah kita tambah -nya bagi kata adjektif ini jika depan ialah kata sendi dengan? contoh: (i)Program itu dijalankan dengan lancarnya dan meriahnya atau (ii) Program itu dijalankan dengan lancar atau meriah? (yang mana betul) (2) dijalankan ialah kata kerja pasif bagi kata kerja aktif transitif bagi menjalankan. Oleh itu, bolehkah kita menggunakan : i) Program itu dijalankan dengan lancarnya atau perlu guna ii) Program itu berjalan dengan lancarnya? (yang mana betul) Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | Jawapan yang betul seperti yang berikut: 1. Program itu dijalankan dengan lancar dan meriah. 2. (i) Program itu dijalankan dengan lancar (ii) Program itu berjalan dengan lancar.
| Tatabahasa | 30.07.2023 |
Tuan, adakah ayat ini betul? Ayat: Dia memutuskan untuk tidur semula. Dilihat bahawa kata sendi nama "untuk" menjadi sisipan di antara kata kerja transitif "memutuskan" dengan frasa kerja "tidur semula". Pernah diingatkan dalam Tatabahasa Dewan bahawa kata kerja transitif perlu diikut terus oleh objek, tidak boleh diikut oleh sisipan seperti kata sendi nama. Jadi, bagaimanakah ayat di atas dibetulkan? | Dalam buku tatabahasa Dewan, halaman 403, frasa kerja boleh mengandungi binaan-binaan seperti berikut: (i) kata kerja transitif + objek (ii) kata kerja transitif + ayat komplemen (iii) kata bantu + kata kerja transitif + objek + keterangan (iv) kata bantu + kata kerja transitif +ayat komplemen + keterangan Daripada binaan tersebut, ayat "Dia memutuskan untuk tidur semula." adalah betul. ... untuk tidur semula merupakan ayat komplemen yang menggunakan kata hubung komplemen untuk. Kata hubung pancangan komplemen adalah terdiri daripada bahawa dan untuk. Sila rujuk halaman 253. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
Yang berikut ialah kekerapan perkataan berkenaan dirakamkan dalam Kamus DBP tertentu: kadangkala Kamus Dewan - 33 kali Kamus Pelajar - 5 kali Kamus Pelajar II - 12 kali Kamus Komputer – 1 kali Jumlah 51 kali kadang kala Tiada dalam mana-mana kamus DBP ada kala Kamus Dewan - 1 kali Kamus Pelajar - 1 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Jumlah 7 kali ada kalanya Kamus Dewan - 47 kali Kamus Pelajar - 4 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Kamus Komputer - 1 kali Jumlah 57 kali adakalanya Kamus Dewan - 1 kali Jumlah 1 kali adakala Kamus Dewan - 3 kali Jumlah 3 kali 1. Ejaan untuk kata kadangkala adalah jelas satu perkataan. 2. Perhatikan bahawa adakala dimasukkan sebagai satu perkataan di tiga (3) tempat dalam Kamus Dewan termasuklah sebagai lema/entri utama/kata masukan, tetapi di tempat lain dimasukkan sebagai ada kala sebanyak tujuh (7) kali, malah ada kala dengan partikel -nya (ada kalanya) dirakamkan sebanyak 57 kali dalam Kamus DBP. Dengan kekerapan yang tinggi sebagai dua perkataan (ada kala/ada kalanya), mustahil berlaku kesilapan semasa penyuntingan, juga mustahil semasa atur huruf. Jadi, muktamadnya, kata ini harus dieja bagaimana? Qiu Syah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) | Kami ambil maklum atas kekeliruan yang berlaku. Pihak kami akan berbincang dengan bahagian lain yang terlibat di DBP seperti Bahagian Perkamusan serta Bahagian Peristilahan dan Leksikologi bagi mencari satu ketetapan untuk dijadikan panduan. Pihak kami akan menghubungi saudara melalui alamat e-mel yang diberikan dengan kadar segera. | Lain-lain | 15.08.2012 |
Cikgu, Dr. Awang Sariyan dalam bukunya, Tuntunan Bahasa, pernah mengatakan bahawa "mahu" digunakan untuk menyatakan keinginan diri akibat ajakan orang lain; "hendak" digunakan untuk menyatakan keinginan diri tanpa ajakan orang lain. Benarkah adanya perbezaan ini? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "mahu" bermaksud i. suka akan, suka hendak, bersedia akan ii. hendak, akan. "Hendak" pula bermaksud i. berhasrat akan, ingin akan ii. akan, bermaksud akan, mahu iii. untuk. Berdasarkan maksud yang diberikan, terdapat maksud yang sama pada kedua-dua perkataan. Bagi aspek linguistik, buku Datuk Dr. Awang Sariyan boleh dijadikan sebagai panduan. | Tatabahasa | 08.03.2015 |