Salam.. Mohon semakan bagi penggunaan bahasa yang sesuai untuk berurusan dengan pelanggan melalui emel 1. Perkataan maklum balas Perkataan maklum balas dieja ' maklum balas kepada pelanggan' atau 'maklumbalas kepada pelanggan'? 2. untuk memulakan emel, apakah kata-kata aluan yg sesuai digunakan selain Salam Sejahtera, Selamat Pagi, Salam 1 Malaysia. 3. Bagi permulaan emel, saya biasa memulakan dengan kata -kata aluan diikuti dengan nama pelanggan yang menghantar emel tersebut. Saya ingin memastikan sama ada perlu menggunakan (,) selepas nama pelanggan atau tak perlu. Contoh: Salam Sejahtera. Encik Lee Yong Han, Terima kasih atas maklumbalas yang diberikan bertarikh 16 Disember 2009. Untuk makluman tuan, ............(isi kandungan emel) 4. Adakah format saya gunakan adalah betul? Contoh: Assalamualaikum Encik Sulaiman atau Assalamualaikum Encik Sulaiman Mohon agar pihak tuan dapat memberikan kerjasama kepada saya dalam usaha untuk mengikatkan kualiti penggunaan bahasa dalam maklumbalas emel kami kepada pelanggan. Saya juga boleh dihubungi di talian 012-5449990 | 1. Maklum balas dieja sebagai dua perkataan. 2. Ungkapan yang lazim digunakan untuk memulakan ayat adalah seperti ungkapan yang puan senaraikan (Salam sejahtera, selamat pagi, assalamualaikum, dll). 3. Tidak perlu digunakan tanda koma. 4. Penulisan yang betul: Assalamualaikum Encik Sulaiman. | Tatabahasa | 16.12.2009 |
Saya masih keliru dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak tuan mengenai tapak binaan/tapak pembinaan. -Dalam maklum balas yang diberikan oleh pihak tuan pada 31/7/2012, pihak tuan mengatakan frasa "tapak binaan" yang betul tetapi maklum balas yang pihak tuan berikan pada soalan yang sama saya kemukan bertarikh 15/8/2012 mengatakan frasa "tapak pembinaan" yang betul. -Untuk kepastian sekali lagi, mana satu frasa yang betul?"Tapak binaan" atau "tapak pembinaan"?Terangkan perbezaan kedua-duanya sekali lagi agar saya tidak keliru lagi. | Frasa yang betul ialah tapak binaan dan frasa ini telah terakam dalam Kamus Dewan, lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=tapak+binaan&d=1 untuk maklumat lanjut. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 27.08.2012 |
Saya ingin membuat semakan bagi perkara-perkara berikut: 1. Ejaan maklumbalas atau maklum balas soal selidik 2. istilah faculty developer dan antecedent dalam Bahasa Malaysia 3. ejaan tindakbalas atau tindak balas | 1. Ejaan yang betul ialah maklum balas. 2. Sila nyatakan dalam bidang apa dan konteks penggunaan istilah ini dengan lebih terperinci bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam mencari padanannya dalam bahasa Melayu. 3. Ejaan yang betul ialah tindak balas | Istilah | 20.03.2010 |
Saya ingin membuat pertanyaan bagi pihak pejabat saya mengenai penggunaan ejaan yang tepat bagi Borang Maklumbalas atau Borang Maklum Balas atau Borang Maklum balas?Saya keliru disebabkan borang merujuk kepada Kata Nama. Terima kasih. | Borang Maklum Balas | Tatabahasa | 31.10.2012 |
maklum balas kepada/pada kata-kata? | Maklum balas terhadap kata-kata. | Tatabahasa | 22.12.2011 |
Saya ingin bantuan untuk memperbetulkan dari segi susun bahasa contoh seperti di bawah:- untuk maklum balas 1) Dengan segala hormatnya saya menarik perhatian tuan/puan mengenai perkara tersebut di atas. untuk jawab maklum balas 2) Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada minit bebas @ surat no. rujukan ....., bertarikh ...... seperti perkara di atas. 3) Dukacita dimaklumkan bahawa bahagian ini tiada wakil untuk sertai jemputan tersebut. 4) Saya ini memahami maksud penggunaan "Minit bebas", "Minit ceraian" dan "minit curaian". 5) Saya amat lemah dari segi penggunaan tatabahasa untuk mengarang sesuatu surat atau apa2 dalam bentuk ayat. Jadi, adakah buku yang sesuai untuk dijadikan bahan rujukan saya. Saya harap mohon bantuan dari tuan/puan. terima kasih | i. Dengan segala hormatnya saya ingin menarik perhatian tuan/puan mengenai perkara di atas atau Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas. ii. Dengan segala hormatnya saya merujuk surat tuan bertarikh ... yang berkaitan perkara di atas. iii. Dimaklumkan bahawa bahagian kami tiada menghantar wakil untuk menyertai majlis ini. iv. Minit ceraian ialah cabutan minit daripada minit induk; minit curai ialah laporan ringkas yang disediakan oleh pegawai yang kembali menghadiri seminar atau kursus untuk dikemukakan kepada ketua jabatan sebelum minit lengkap atau laporan lengkap diterima daripada penganjur. | Lain-lain | 19.05.2010 |
Apakah definisi 'timbangteliti'? Contoh ayat? Betulkah ayat ini? Mesyuarat seterusnya menimbangteliti Agenda 4, Mesyuarat Jawatankuasa dan mengemukakan cadangan balas seperti berikut... | Penggunaan perkataan yang betul ialah Mesyuarat seterusnya meneliti Agenda 4, Mesyuarat Jawatankuasa dan mengemukakan cadangan balas seperti berikut... | Tatabahasa | 13.01.2012 |
Mohon bantuan untuk mengesahkan samada istilah sistem "Interactive Voice Response (IVR)" dalam sistem telefon boleh digantikan dengan terjemahan "sistem maklumbalas suara interaktif" untuk kegunaan Bahasa melayu. | Sistem maklum balas suara interaktif boleh diterima. Perkataan maklum balas dieja sebagai dua perkataan. | Istilah | 04.06.2008 |
Pada 11/12/12 yang lepas saya telah memohon untuk khidmat nasihat berkaitan penggunaan huruf. (Mohon pihak tuan semak soalan sebelum ini) Tetapi sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang maklum balas dari bahagian Perkamusan seperti yang direspon balas oleh pihak tuan berhubung soalan saya sebelum ini. Mohon pihak tuan untuk memberi perhatian perkara ini kerana saya benar-benar memerlukan kerjsama dari pihak DBP berkenaan uiian penyelidikan kami. Terima kasih. | Soalan puan tentang [Jabatan Perubatan PPUKM ingin mengadaptasikan satu ujian neuropsikologi yg digunakan di negara Barat untuk kegunaan masyarakat Malaysia. Dalam ujian tersebut, pesakit akan diminta untuk menamakan sebanyak mungkin perkataan yang bermula dari huruf "F", "A", dan "S" dalam tempoh satu minit setiap satu huruf. Dan skor pesakit adalah berdasarkan jumlah perkataan yang berjaya dinamakan. Walaubagaimanapun, pihak kami berpendapat, agak sukar bagi pesakit di Malaysia untuk menamakan perkataan2 berbahasa Melayu yang bermula dari huruf "F" dan ini menyebabkan pesakit akan mendapat skor yang rendah yang tidak menggambarkan pencapaian beliau yang sebenar. Oleh itu kami ingin mendapatkan khidmat nasihat pihak tuan untuk menggantikan huruf-huruf yang sesuai bagi ujian tersebut terutama penggantian huruf "F". Untuk makluman tuan, menurut versi asal ujian tersebut huruf2 berkenaan dipilih berdasarkan kekerapan penggunaan dalam perkataan berbahasa inggeris" berkaitan] dirujuk. Untuk makluman puan tidak ada maklumat yang berkaitan dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun untuk makluman puan DBP telah membangunkan Pangkalan Data Korpus yang boleh diakses melalui laman web kami www.dbp.gov.my untuk kemudahan penyelidik membuat kajian leksikal dalam bahasa Melayu. Melalui perbincangan dengan Bahagian Perkamusan, mencadangkan pihak puan merujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi Edisi Kedua untuk melihat sepintas lalu senarai kata dalam bahasa Melayu. Puan juga boleh merujuk kertas kerja Persidangan Antarabangsa Linguistik yang dianjurkan pada setiap tahun oleh UKM. | Lain-lain | 10.01.2013 |
Saya masih keliru dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak tuan mengenai soalan yang saya ajukan di bawah bertarikh 5 Jun 2013. 1)Apakah kata ganti nama diri yang paling sesuai bagi tempat kosong di bawah?kamu atau kalian? "Saya mahu apabila kamu semua keluar dari sekolah ini, ______________ akan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat," kata Cikgu Mohamad kepada pelajar-pelajarnya. -Mengapakah kamu lebih sesuai dan bukannya kalian?Mengapakah kalian tidak sesuai seperti mana maklum balas yang diberikan oleh pihak tuan sedangkan Cikgu Mohamad bercakap kepada pelajar-pelajarnya dan bukannya beliau bercakap dengan seorang murid sahaja.Mohon penjelasan lebih lanjut daripada pihak tuan. | Kamus Pelajar menerima kalian sebagai kamu semua atau sekalian. Oleh itu, jawapan yang betul ialah "Saya mahu apabila kamu semua keluar dari sekolah ini, kalian akan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat," kata Cikgu Mohamad kepada pelajar-pelajarnya. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul kerana jawapan yang diberikan sebelum ini hanya merujuk Kamus Dewan yang menakrifkan kalian sebagai bahasa percakapan bermaksud kamu semua. | Tatabahasa | 06.06.2013 |