Adakah ayat berikut gramatis? 1. Kita mesti banyak minum air kerana cuaca panas. 2. Kita mesti minum banyak air kerana cuaca panas. Adakah kata kerja mesti diikuti dengan kata nama? Terima kasih jawapan pihak anda. | Ayat yang gramatis ialah "Kita mesti minum banyak air kerana cuaca panas". Berdasarkan contoh ayat yang diberikan kata kerja mestilah diikuti dengan kata nama. | Tatabahasa | 20.11.2019 |
Terjemahan English-BM mana yang lebih sesuai. English:What will happen to the plant if you give it too much water?BM1:Apakah yang akan terjadi kepada tumbuhan jika kamu memberi terlalu banyak air? BM2:Apakah akan terjadi jika kamu memberi air yang terlalu banyak kepada tumbuhan? | Salam sejahtera, Jawapan 1 (BM1) lebih sesuai kerana menepati maksud ayat dalam bahasa Inggeris. Jawapan BM2 pula menepati ayat " What will happen if you give too much water to the plant". Untuk lebih tepat lagi kata kerja "give" boleh diberi padanan dalam BM "siram" atau "menyiram" bergantung kepada konteks ayat tersebut. Contohnya, "Apakah yang akan terjadi kepada tumbuhan jika kamu menyiram terlalu banyak air?" Terima kasih kerana menggunakan Khidmat Nasihat DBP. | Lain-lain | 24.03.2010 |
Minta tolong semak susunan perkataan di bawah adakah betul:- 1. Disyorkan agar mengecat satu lapisan dasar, diikuti minima dua lapisan cat Dulux. (atau "diikuti dua lapisan minima cat Dulux) 2. Jika terkena mata, bilas segera dengan banyak air (atau "air yang banyak" dan dapatkan nasihat perubatan. Harap pihak tuan / puan boleh memberi nasihat / cadangan secepat mungkin. Sekian, James | 1. Disyorkan pengguna mengecat satu lapisan dasar, diikuti dua lapisan minimum cat Dulux 2. Jika terkena mata, bilas segera dengan air yang banyak dan dapatkan nasihat perubatan. | Tatabahasa | 05.04.2019 |
Mana yang betul? 1. Bahan yang manakah paling banyak menyerap air? 2. Bahan manakah yang paling banyak menyerapa air? Apakah perbezaan kedua-dua ayat di atas? | Kedua-dua ayat tersebut betul penggunaannya dan boleh diterima pakai. Penggunaan perkataan "yang" dalam ayat pertama merupakan penegasan sahaja. | Tatabahasa | 29.07.2009 |
Yang manakah antara ayat yang berikut bersifat gramatis: (a) Gangguan bekalan air itu telah menimbulkan banyak masalah kepada para penduduk. (b) Gangguan bekalan air itu telah banyak menimbulkan masalah kepada para penduduk. | Kedua-dua ayat tersebut betul dan sama maknanya. Tetapi ayat (a) lebih gramatis. | Makna | 21.09.2006 |
Salam, apakah maksud kumbahan? Contoh ayat yang menggunakan perkataan 'kumbahan', iaitu: 1. Banyak sungai di negara kita tercemar disebabkan kegiatan pembuangan sampah sarap, sisa toksik dan kumbahan manusia ke dalam sungai. Jadi, apakah maksud kumbahan di situ?Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tiada maksud yang jelas untuk kumbahan. Tetapi, air kumbahan dimaksudkan sebagai air yang telah digunakan untuk membasuh. Adakah tepat maksud itu berdasarkan contoh ayat yang saya berikan tadi? Menurut pendapat saya, kumbahan dalam ayat bermaksud 'bahan buangan manusia seperti najis dan sebagainya'. Sila berikan penjelasan. Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan, kumbah sama dengan mengumbah iaitu membersihkan dengan air, membasuh: ~ pinggan mangkuk; 2. ki mencaci (orang), mengatakan keburukan orang; kumbahan; air ~ air yang telah digunakan untuk membasuh. Menurut maksud tersebut, kumbahan bukan bermaksud bahan buangan manusia seperti najis. | Tatabahasa | 02.07.2013 |
salam, apakah terjemahan bagi haiwan akuatik 'water strider'? Adakah kumbang air? Terima kasih. | Nama lain water strider ialah pond skater. Dalam buku istilah DBP maksud pond skater ialah "ayak-ayak". Walau bagaimanapun dalam Ensiklopedia DBP maksud kumbang air: KUMBANG AIR | Kumbang air ialah nama yang diberi kepada banyak famili kumbang yang hidup dalam air. Kumbang air biasa ialah whirligig, kumbang selam pemangsa, dan kumbang air raksasa pebangkai. Sesetengah serangga ini hidup sepanjang hayatnya dalam air. Yang lain hidup dalam air atau berhampiran dengan air hanya pada peringkat larva. | | Penyemakan dan penterjemahan | 23.09.2014 |
Penggunaan Tatabahasa yang betul, adakah berkehendakan atau berkehendakkan? | Berkehendakkan, iaitu berkehendak akan. Contoh ayat: Pokok padi berkehendakkan air yang banyak untuk hidup subur. | Ejaan | 26.04.2011 |
Salam Sejahtera. Mohon penjelasan Tuan/Puan berkenaan dengan kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat berikut. Difokuskan kepada pemilihan kata yang digunakan sama ada sesuai atau salah. (Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Sendi) 1. Sungai merupakan sumber semula jadi dalam ia mempunyai banyak ekosistem contohnya ikan, udang, tumbuhan dan lain-lain. 2. Jika pada suatu hari air sungai tidak lagi ada, hari itulah kematian masyarakat. 3. Kepentingan sungai kepada masyarakat mempunyai beberapa utama iaitu sebagai sumber air kepada kita. 4. Air sungai berasal dari air hujan yang mengalir ke gunung dan lalu ke tanah selepas itu air akan menjadi sedap dan bersih dan lalu ke sungai. 5. Sungai yang bersih dan besar akan mempunyai banyak ekosistem yang besar dan mempunyai banyak ikan, udang dan lain-lain. 6. Protein dapat memulihkan organ otak tisu yang rosak. 7. Sungai adalah penting untuk manusia kerana ia merupakan sumber air dan membekalkan protein, 8. Kita harus bersama-sama menjaga kebersihan sungai supaya kita dapat menggunakannya selama-lamanya. Ayat ini merupakan tulisan karangan pelajar sekolah menengah berkaitan tajuk kepentingan sungai. Mohon penjelasan tentang kesalahan bahasanya. Terima kasih. | Bentuk ayat yang betul ialah: 1. Sungai merupakan sumber semula jadi yang mempunyai pelbagai hidupan seperti ikan, udang, tumbuhan dan lain-lain. 2. Jika pada suatu hari air sungai tidak lagi ada, itulah hari penamat bagi manusia. 3. Antara kepentingan sungai kepada masyarakat termasuklah sebagai sumber air kepada kita. 4. Air sungai berasal dari air hujan yang mengalir dari gunung ke tanah selepas itu dan sungai. 5. Sungai yang bersih dan besar mempunyai pelbagai hidupan seperti ikan, udang dan lain-lain. 6. Protein dapat memulihkan organ otak tisu yang rosak. (semak kesahan fakta ini) 7. Sungai adalah penting untuk manusia kerana ia merupakan sumber air dan membekalkan sumber protein. 8. Kita harus bersama-sama menjaga kebersihan sungai supaya kita dapat menggunakannya selama-lamanya. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan untuk menyemak penggunaan kata dan ketepatan ayat yang dibina. | Lain-lain | 27.11.2017 |
Ali memancing banyak ikan . Dia berasa gembira "seperti itik mendapat air". Penggunaan peribahasa dalam ayat tersebut sesuai atau tidak sesuai ? Terima kasih. | Peribahasa "itik mendapat air" bermaksud memperoleh sesuatu yang sangat digemarinya dan boleh digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 09.08.2011 |