| 1. Adakah tajuk ini sesuai dan betul mengikut bahasa? INTERNET OF THINGS: MENGUBAH KEHIDUPAN KE ARAH LEBIH TERHUBUNG. 2.Sekiranya perkataan Pemboleh ubah menjadi sub-tajuk, adakah perkataan ubah juga perlu di title case kan? 3.Sekiranya perkataan dalam kurungan adalah dalam bahasa Inggeris, adakah ia perlu diitalikkan?dan adakah ia perlu di title case kan jika ia berbentuk penulisan contoh: (Content Analysis) 4.Bagi nama jawatan, adakah perlu huruf besar/title case? contoh: Pegawai Latihan, Pegawai Penerbitan,Pengarah, Pengetua dan lain-lain jawatan? 5.Adakah dialog atau kata-kata dari seseorang seperti tokoh,usahawan,Perdana Menteri perlu di italik dan perlu diletakkan pembuka dan penutup kata? | 1. Cadangan kami: INTERNET BENDA (baris pertama) Ke Arah Kehidupan Saling Berhubung (baris kedua) 2. Lazimnya subtajuk ditulis dengan huruf kecil (lihat contoh di atas). 3. Perkataan bahasa Inggeris yang diletak dalam tanda kurung tidak perlu diitalikkan. 4. Pegawai Latihan, Pegawai Penerbitan, Pengarah Dasar, Pengetua SMK Keramat. 5. Petikan ucapan perlu diletak tanda petik " " dan diitalikkan. | Tatabahasa | 03.11.2014 |
| Dalam dokumen rasmi kerajaan perlukah perkara berikut di-italic kan atau tidak? 1. Nama projek atau inisiatif dalam KKM : Online Healthcare Services Regulatory Lab 2. Nama dokumen garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM : Guideline for Online Healthcare Services In the Ministry of Health Regulatory Lab 3. Nama dokumen seperti di (2) yang telah dipendekkan : OHS RegLab Guideline 4. Nama jawatankuasa atau majlis dalam KKM : Jawatankuasa Technical Working Group Online Healthcare Services, Malaysian Medical Council 5. Singkatan bagi nama khas, contohnya nama majlis dalam Bahasa Inggeris: a. MMC (iaitu kependekkan bagi Malaysian Medical Council). b. Nama dokumen, contohnya Dokumen Terma dan Syarat (terms and conditions): Dokumen T&C. Terima kasih | Merujuk Gaya Dewan halaman 83, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan penggunaan italik. Antaranya, judul karya seni dan penerbitan, nama sains, karya undang-undang kata atau ayat dalam bahasa asing, singkatan judul katalog karya yang diterbitkan, kenyataan sambungan bahan penulisan, nama khas objek khusus dan arahan pentas atau drama. Penggunaan italik hanya digunakan apabila perkataan tersebut tiada terjemahkan dalam bahasa Melayu. Penggunaan bahasa asing yang mesti diitalikkan ialah jika dalam satu baris ayat itu terdapat percampuran penggunaan bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bahasa lain. Dalam keadaan tertentu juga jika ada bahasa Melayunya maka hendaklah kita menggunakan bahasa Melayunya dan jangan pula diitalikkan perkataan bahasa asingnya tanpa terlebih dahulu berusaha mencari padanannya dalam bahasa Melayu. | Penyemakan dan penterjemahan | 15.09.2022 |
| Assalamualaikum. Saya mohon jasa baik tuan/puan untuk menyemak pengelasan kata kerja yang saya telah lakukan ini. Terima kasih atas bantuan. | Dokumen yang saudara sertakan perlu diteliti satu per satu. Berdasrkan semakan kami, pengelasan kata kerja dalam baris pertama betul kerana kata kerja berawalan meN- boleh terdiri daripada kata kerja aktif transitif dan kata kerja aktif tak transitif bergantung pada kata kerja yang mengikutinya. Pengelasan kata kerja dalam baris kedua tidak tepat kerana kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif. Oleh itu, untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 194. Begitu juga untuk pengelasan kata kerja yang seterusnya hingga halaman kelima, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan teliti setiap aspek di bawah Pembentukan Kata Kerja. Jika terdapat kekeliruan dalam penerangan di bawah tajuk Pembentukan Kata Kerja tersebut, sila hubungi kami semula. | Tatabahasa | 18.03.2012 |