Apakah beza antara puisi, sajak dan pantun? Terima kasih | Puisi ialah karangan berangkap. Kata-katanya disusun mengikut peraturan-peraturan tertentu dengan menggunakan irama, bunyi dan kiasan. Puisi dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Dalam puisi tradisional terdapat empat bentuk puisi yang penting, iaitu pantun, syair, seloka dan gurindam. dalam puisi moden pula hanya ada satu bentuk sahaja, iaitu yang dikenali sebagai sajak. Pantun ialah jenis puisi tradisional atau lama yang terikat dengan ciri-cirinya, sebagai contoh pantun empat baris serangkap, yakni dua baris pertama dikenali sebagai pembayang atau sampiran dan dua baris terakhir dikenali sebagai maksud. Sajak pula ialah puisi moden yang tidak terikat dengan ciri-ciri puisi tradisional seperti pantun. Justeru, sajak lebih bebas penciptaannya. | Lain-lain | 17.05.2010 |
Saya nak tahu apa itu sajak secara umum dan juga huraian tentang aspek bahasa, aspek nilai dan aspek struktur secara menyeluruh | Sajak ialah puisi sama ada tradisional mahupun moden. Sajak mempunyai dua pengertian yang berbeza iaitu makna umumnya suatu jenis karangan berangkap baik pantun atau syair dan lain-lain, manakala makna khususnya terdiri daripada suatu jenis karangan berangkap cara baharu dalam bahasa Melayu, keadaannya seakan-akan gurindam dan seloka pada bentuk luarnya tetapi berlainan pada isi dan rasa keseniannya dengan beberapa sifat yang tertentu. Namun terdapat pendapat umum yang menganggap sajak ialah puisi yang tidak terikat kepada konvensi dari segi rima, baris dan bait. Bagi puisi Melayu, ia tidak terikat kepada konvensi pantun, syair dan gurindam. Dari segi bahasa, sajak dipercayai berasal dari perkataan Arab 'saf' yang bererti karangan prosa yang memakai pertentangan bunyi sama pada hujung tiap-tiap ayat atau suku kata ayatnya. | Lain-lain | 12.02.2009 |
Tolong berikan contoh bagi dftong, vokal berganding, konsonan bergabung, dan digraf | Diftong ialah dua huruf vokal, iaitu ai, au, dan oi yang menghasilkan bunyi berangkap; contohnya pantai, pisau dan dodoi. Digraf ialah apabila dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi (ng, ny, sy); contohnya nganga, nyanyi dan syiling. | Tatabahasa | 26.12.2010 |
berapakah suku kata bagi perkataan 'kuih'? adakah 2 suku kata atau 1? adakah 'ui' dikira diftong? | Kuih mempunyai dua suku kata ku.ih. , ui bukan diftong tetapi vokal rangkap. Vokal berangkap ialah huruf vokal yang hadir secara berurutan dalam satu berkataan dan kedua-dua vokal itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh vokal rangkap ialah baik, cium dan puisi. | Tatabahasa | 20.02.2014 |
kelaskan frasa berikut mengikut kategorinya, iaitu diftong, vokal berganding, digraf atau konsonan bergabung: susu cair, Hari Raya Aidilfitri, berbentuk kiub, setelah selesai, mendirikan khemah, taman rekreasi , mangkuk kecil, stesen bas. Sekian, terima kasih. | Diftong ialah dua huruf vokal seperti ai, au, dan oi yang menghasilkan bunyi berangkap seperti pantai, pulau dan amboi. Vokal berganding pula ialah dua huruf vokal berurutan dalam satu perkataan seperti dalam kata pulau dan saat; dan vokal berganding tidak semestinya menghasilkan dua bunyi. Digraf ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny, dan sy. contohnya, nganga, nyamuk dan syarikat. Konsonan bergabung juga ialah digraf. Pengelasan perkataan yang tersenarai boleh dibuat mengikut huraian maksud yang telah diberikan. Perlu diingat contoh perkataan bagi setiap istilah lazimnya merujuk satu per satu perkataan, bukan frasa seperti yang tuan berikan. | Tatabahasa | 07.10.2015 |
selamat sejahtera. apakah perbezaan diantara puisi dan sajak? bolehkah diterangkan perbezaan susunan antara kedua-dua tersebut? sekian,terima kasih. | SAJAK ialah sebuah hasil puisi moden yang tidak terikat dengan ciri-ciri puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan seumpamanya. Manakala puisi ialah semua jenis karangan berangkap termasuklah sajak. | Lain-lain | 19.04.2007 |
Apakah yang dimaksudkan denagn 'digraf' dan 'diftong'? Harap tuan dapat berikan contoh perkataan. Terima kasih. | Digraf ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi (seperti ng, ny, sy), atau disebut juga dwihuruf, dwilambang dan huruf rangkap; manakala diftong ialah dua huruf vokal spt ai, au, dan oi yang menghasilkan bunyi berangkap dan puncak kenyaringannya jatuh pada vokal pertama (seperti pantai, pulau dan amboi). | Tatabahasa | 17.03.2010 |
Sila beri jawapan bagi buku aktiviti sjk c tahun 3 BM Jilid 1 KSSR. muka surat 74 bagi frasa yang mengandungi diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan bergabung....sekian terima kasih. adakah "akhir sekali" ialah konsonan bergabung atau digraf? aiskrim vanila dan hari khamis??? saya sangat keliru dengan sebutan tersebut.... | Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai, au dan oi. Contoh perkataan yang mempunyai diftong ialah lalai, kalau dan amboi. Vokal berangkap pula ialah huruf vokal yang hadir secara berurutan dalam satu berkataan dan kedua-dua vokal itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh vokal rangkap ialah baik, cium dan puisi. Digraf ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny, sy. Kadangkala digraf dikenali sbagai dwihuruf, dwilambang atau huruf rangkap. Contoh perkataan yang mepunyai digraf ialah nganga, nyamuk, lubang, khabar, pisang dan syampu. Konsonan bergabung atau konsosnan rangkap pula ialah huruf konsonan yang hadir secara berurutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh konsonan bergabung ialah kompleks, terminal dan konkrit.
| Tatabahasa | 19.02.2014 |
Boleh terangkan secara ringkas,perbezaan dan persamaan antara 'pantun', 'sajak', 'puisi', 'syair', 'gurindam' dan 'seloka'? | Secara ringkas persamaan pantun, syair, seloka dan gurindam adalah dikenali sebagai puisi Melayu tradsional atau puisi lama/klasik. Manakala sajak dikenali sebagai puisi moden. Pantun terdiri daripada empat baris serangkap. Dua baris awal dikenali sebagai pembayang atau sampiran. dua baris akhir dikenali sebagai isi atau maksud. Manakala rima ujung bagi pantung empat kerat ialah a-b-a-b. Bagi syair pula mengandungi empat baris serangkap. Keempat-empat baris ini terdiri daripada isi. Rima akhir pula a-a-a-a. Seloka juga dikenali sebagai puisi tradisional yang disusun secara berangkap. Namun setiap rangkap tidak tetap, justeru rima akhir adalah bebas. Isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek seperti Seloka Pak Kaduk. Gurindam yang juga dikenali sebagai puisi lama hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Contoh dalam salah satu Gurindam Dua Belas karangan Pujangga Raja Ali Haji, iaitu "Jika ada tidak dilatih/Bila besar bapanya letih"/ Rima akhir pula a-a. Sajak yang dikenali sebagai puisi moden atau baru adalah bebas daripada peraturan-peraturan penciptaan berbanding puisi Melayu tradsional yang dibincangkan tadi. Oleh itu, susun baris, rangkap, dan rima adalah berdasarkan tujuan penulis atau penyair. Sifat sajak sedemikian adalah untuk memberi kebebasan kepada penulisnya untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan cara yang sesuai dengan semangat sesuatu zaman. | Lain-lain | 18.05.2010 |
Assalamualaikum, Apakah ciri-ciri / perbezaan antara seloka dan gurindam? Terima kasih. | Waalaikumussalam. Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu berasal daripada pengaruh asing, tetapi bentuk gurindam itu dicipta oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandungi sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas untuk tujuan memberi nasihat dan pesanan. Gurindam digubah dalam bahasa yang indah. Berikut diturunkan salah satu contoh gurindam, iaitu: Kalau banyak berkata-kata, Di sanalah boleh terjadi dusta. Seloka juga berasal daripada bahasa Sanskrit, tetapi dalam bahasa Melayu seloka adalah sejenis puisi lisan Melayu yang tiada tetap sajaknya. Puisi ini digubah bertujuan untuk menyindir, mengejek, bergurau senda dan berjenaka dengan menggunakan bahasa yang berangkap seperti yang berikut: Aduhai malang Pak Kaduk Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran Mudik menongkah surut Hilir menongkah pasang. | Lain-lain | 28.08.2009 |