Pertanyaan tentang "berbadan dua" : 1. Apakah asal usul frasa ini? Kebanyakan bahasa lain seperti Inggeris (pregnant) dan Arab (hamil) tiada perkataan "dua" badan/jiwa untuk ini. Setahu saya, cuma Bahasa Georgia (orsuli) dan Mandarin sahaja yang ada konsep berbadan dua seperti Bahasa Malaysia. 2. Jikalau "triplets" atau "quadruplets", apakah pendirian Dewan Bahasa dan Pustaka? Adakah ia menjadi berbadan tiga atau berbadan empat? Terima kasih | berbadan dua bh hamil: Aktor tersebut bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi apabila isterinya disahkan berbadan dua. (KDP 2020:169) Frasa berbadan dua dalam Kamus Dewan Perdana bermaksud hamil. Frasa ini diletakkan label bh (bahasa halus), iaitu bahasa atau kata-kata yang lebih lembut dan sopan yang digunakan dalam pertuturan atau tulisan supaya lebih beradab dan tidak menyentuh perasaan sesiapa, contoh lain ialah perkataan meninggal dunia utk mati. Frasa berbadan dua wujud daripada gambaran fizikal seorang wanita hamil. Semasa kehamilan perut wanita membesar, memberikan gambaran seolah-olah wanita tersebut memiliki "badan" tambahan. Ungkapan “berbadan dua” secara kiasan menggambarkan keadaan ini, iaitu memiliki "dua badan", badan sendiri dan badan bayi yang dikandung. Frasa berbadan dua telah menjadi ungkapan yang umum digunakan dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada hamil dan dianggap sebagai ungkapan yang sopan dan diterima secara meluas. Frasa berbadan tiga, berbadan empat dan seterusnya masih belum terakam dalam kamus DBP. Perakaman kata dan mana baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. | Makna | 04.02.2025 |
Apakah "gitar", "gol", "gondol" dan "gila-gila" boleh di kategorikan sebagai simpulan bahasa? Sebagai contoh untuk perkataan "gitar", seperti ayat berikut, Model-model yang menjalankan persembahan fesyen itu semuanya berbadan bentuk gitar. "Gitar" disini membawa maksud bentuk badan wanita yang cantik. Mohon penjelasan DBP. Terima Kasih. | Untuk makluman tuan, simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna tertentu. Contoh perkataan yang tuan berikan bukanlah simpulan bahasa, sebaliknya ialah kata umum yang masih mengekalkan makna asalnya. Gitar dalam ayat tersebut masih bermaksud gitar dan tubuh wanita dalam ayat itu dikiaskan kepada bentuk gitar. | Tatabahasa | 07.11.2012 |
Salam sejahtera Tuan/Puan. Apakah terjemahan bagi istilah berikut? 1)Narrow Bodied Jet Aircraft 2)Regional Jet Aircraft Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan adalah seperti yang berikut; 1. Narrow Bodied Jet Aircraft - Pesawat Jet Berbadan Sempit 2. Regional Jet Aircraft - Pesawat Jet Jarak Dekat | Istilah | 16.01.2016 |
"Obor-obor" (ejaan perkataan yang digunakan merata-rata) tiada dalam Kamus Bahasa Melayu - kerana rupa-rupanya, ejaan sebenarnya ialah "ubur-ubur". Tapi di bahagian Istilah MABBIM, perkataan "obor-obor" pula digunakan. Boleh beri pencerahan tentang ejaan ini? Terima kasih. | Menurut kamus terbitan terkini DBP; Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 1554 dan 2454): obor-obor ► ubur-ubur ubur-ubur1 kata nama haiwan laut tidak bertulang belakang, berbadan lembut dan kebanyakannya lut sinar, bentuk badannya seperti payung yang terbuka, bersesungut terjurai ke bawah, dan sesetengah spesies mempunyai sengat yang beracun untuk menangkap mangsa dan mempertahankan diri; sinonim: ampai-ampai; lambur; Nama saintifik: Rhopilema esculenta Kata padanan bagi jelly fish yang telah disepakati MABBIM juga pengesahan pakar bidang Perikanan, Sains Marin dan Geografi ialah ubur-ubur atau ampai-ampai. Kami mengambil maklum tentang hal ejaan kata ini. | Ejaan | 24.05.2023 |
perbezaan antara sultan dan raja | Kata 'raja' biasanya lebih umum dari segi makna dan penggunaannya berbanding kata 'sultan'. Contoh: 'Raja bola'. Agak janggal kalau kita menyebut 'sultan bola'. Berikut dilampirkan makna sultan dan raja menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 untuk rujukan saudara: Sultan: Ar raja (yg memerintah): S~ Pahang; S~ Perak; nafsu-nafsi raja di mata, ~ di hati = beraja di mata bersultan di hati prb melakukan sesuatu mengikut perhitungan sendiri (tidak mempedulikan teguran atau nasihat orang lain); Raja: 1. orang yg mengetuai dan memerintah sesuatu negara (bangsa), kepala negara (yg diwarisi): ~ Inggeris pd masa ini ialah seorang wanita; 2. kepala negeri, sultan: di Malaysia Barat lapan drpd ~-~nya bergelar sultan; 3. kepala suku (daerah): di Nusa Tenggara masih banyak ~; 4. gelaran orang bangsawan (keturunan sultan); 5. ark bp orang yg berkuasa, ketua, pemerintah: kompeni Inggeris akan kembali semula menjadi ~ di Melaka; di dlm kapalnya dialah ~, memerintah dr haluan ke buritan; kita boleh menjadi ~, boleh memerintah semua orang lelaki yg termakan budi kita; 6. orang yg besar kuasanya (pengaruhnya dll) dlm sesuatu lingkungan (spt dlm lingkungan perusahaan, kewangan, dll); ~ minyak orang yg berkuasa (berpengaruh) dlm perusahaan minyak; ~ getah orang yg berkuasa (berpengaruh) dlm perusahaan getah; 7. binatang (jin dll) yg menguasai binatang (jin dll); ~ jin; ~ laut; ~ rimba; ~ binatang singa; 8. nama buah catur yg terpenting; 9. nama kad (terup) besar yg bergambar raja; ~ agas gelaran seseorang yg berbadan kecil tetapi berani; ~ badar sj kain putih; ~ berpelembagaan raja yg pemerintahannya tertakluk pd peruntukan perlembagaan negara; ~ besar raja yg berkuasa (berpemerintahan) besar; ~ bola pemain bola yg pandai; ~ cacing orang yg sangat kurus; ~ jenang (jejenang) orang yg mengatur dlm penyabungan ayam; ~ kecil putera raja; ~ kecil besar putera mahkota; ~ kecil muda putera raja yg bongsu; ~ laut laksamana; ~ muda putera mahkota, tengku mahkota, pemangku raja yg memerintah (tanah jajahan dll); ~ penomah pemberian kpd bakal mentua; ~ permaisuri gelaran isteri raja yg memerintah sesebuah negeri (negara); ~ Permaisuri Agong gelaran utk permaisuri Yang di-Pertuan Agong; ~ putih penyakit keputihan; ~ sehari (sari) pengantin; ~ singa penyakit perempuan, sifilis; ~ wang orang yg sangat kaya; (si) ~ diraja usungan jenazah raja; ~ adil ~ disembah, ~ tak adil ~ disanggah prb raja yg adil disayangi, dan raja yg zalim dibenci; siapa pun menjadi ~ tanganku ke dahi juga prb siapa pun yg menjadi raja, dihormati juga; spt ~ dgn menteri prb bersetuju dlm segenap hal; tak ada (tiada) ~ menolak sembah prb tidak ada orang yg tidak suka dihormati; | Makna | 02.07.2009 |