Dia datang dari / daripada dunia yang berlainan. Dia ingin keluar dari / daripada dunia yang berdosa dan penuh dengan kegelapan. kata sendi yang manakah sesuai digunakan dalam ayat-ayat di atas? terima kasih. | Dia datang daripada dunia yang berlainan. Dia ingin keluar daripada dunia yang berdosa dan penuh dengan kegelapan. Kami berpandangan kata dunia dalam konteks ayat tersebut merujuk sumber, bukan tempat yang secara fizikalnya boleh diketahui, maka kata sendi nama yang sesuai ialah daripada. | Tatabahasa | 09.04.2014 |
Tuan, Bolehkah saya menggunakan lebih malang lagi atau lebih-lebih lagi sebagai pangkal ayat? Contoh, Kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Lebih malang lagi, kemalangan juga membawa kemautan kepada mangsa yang tidak berdosa. Adakah ayat di atas gramatis dan penggunaan "lebih malang lagi" adalah betul? Terima kasih. | 1. Ayat yang betul ialah Kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Lebih malang lagi, kemalangan tersebut telah membawa maut kepada mangsa yang tidak berdosa. | Tatabahasa | 22.09.2021 |
Pendosa ialah orang yang melakukan dosa tetapi bukan sebagai profesionnya. Pedosa ialah orang yang profesionnya adalah melakukan dosa. Apakah pandangan DBP? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan pendosa bermaksud orang yang berdosa. Sehingga ini belum ada pembentukan atau penggunaan perkataan pedosa bagi merujuk profesion. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Makna | 17.01.2009 |
Rangkaian kata ''melakukan siasatan'' betul atau ''menjalankan siasatan'' yang betul? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, menjalankan bermaksud 1. mengusahakan (membuat) supaya berjalan (kereta, kereta api, mesin, perniagaan dan lain-lain). Contoh ayat: (a) Dia cuba menjalankan kereta itu tetapi tidak berjaya. (b) Setelah ayahnya meninggal dunia, Alilah yang menjalankan perniagaan itu. 2. mengerjakan (tugas dan lain-lain), melaksanakan. Contoh ayat: Pak Leman tidak berasa susah untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang penarik beca. Kata melakukan pula membawa maksud menjalankan (tugas), membuat (kerja dan lain-lain), mengerjakan. Contoh ayat: Kitalah yang berdosa kerana menuduh ia melakukan perkara yang bukan-bukan. Berdasarkan keterangan di atas, rangkaian kata "melakukan siasatan" dan "menjalankan siasatan" mempunyai maksud yang sama dan betul penggunaannya dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 09.07.2021 |
Assalamualaikum.Saya ingin mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang penggunaan beberapa jenis kata keterangan seperti 'juga' dan 'lagi'.Harap dapat dijelaskan..Sekian terima kasih | Juga: 1. (digunakan utk menyatakan keadaan yg sama atau serupa) pun: ada ~ orang yg tahu perkara itu; badannya tegap, adiknya ~ demikian; 2. (digunakan selepas kata sifat) agak: gadis itu cantik ~, tetapi tidaklah secantik emaknya; 3. (digunakan utk menunjukkan perulangan) lagi: dulu saya yg menolongnya, sekarang saya ~ yg menolongnya; 4. (digunakan utk menunjukkan perbuatan terus-menerus) terus: walaupun dilarang dia masih ketawa ~; Chia telah mati di situ ~; 5. (digunakan utk menunjukkan tolak ansur) meskipun, walaupun: sesiapa ~ yg datang, saya mengalu-alukannya; 6. (biasanya digunakan selepas kata penghubung tetapi atau atau utk menunjukkan tokokan): kamu bukan sahaja mesti belajar dgn tekun tetapi ~ mesti berbaik-baik antara satu sama lain; 7. (digunakan bersama dgn pun sbg penegas): saya berpuasa, dia pun berpuasa ~; jua. Lagi: 1. tambahan kpd yg sedia ada: lima orang ~ telah dirawat di rumah sakit; musim hujan akan datang kira-kira tengah dua bulan ~; 2. masih (berpanjangan), sedang (berbuat sesuatu dll): adapun Chau Pandan itu, ~ di benua Siam; sekarang pun ada ~ negeri itu di benua Keling; 3. dan, serta, tambahan pula: dia hartawan ~ dermawan; 4. (balik) semula, pula: janganlah ~ dicari hamzah di dunia ini; 5. lebih (baik, elok, dll): mati ~ bagus; 6. kata yg digunakan utk menguatkan atau mengeraskan kata-kata sebelumnya: sekaranglah kita amuk, bila ~!; bilal khatib ~ berdosa, ini pula kita yg jahil; ~ pula dan lagi, lebih-lebih, tambahan pula; | Lain-lain | 26.03.2009 |