Mengapa sampah sarap tidak dikategorikan sebagai kata ganda? | Sampah sarap ialah kata nama bagi penggandaan berentak bebas. Penggandaan berentak bebas bermaksud penggandaan yang tidak mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau konsonan. (Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 79) | Tatabahasa | 15.01.2010 |
dalam kata ganda, terdapat jenis kata ganda berentak. Mohon terangkan tentang perkataan yang seperti kata ganda berentak tetapi bukan kata ganda? dan jelaskan sebabnya? contohnya, asal usul bukan kata ganda berentak kerana merupakan rangkai kata. harap dapat menerangkan tentang beberapa contoh lain. sekian, terima kasih. | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. "Asal usul" ialah kata ganda kerana kedua-dua kata tersebut mempunyai makna tersendiri. Kata ganda yang boleh berdiri sendiri tidak perlu tanda sempang, iaitu perkataan "asal usul" (kerana perkataan "usul" boleah berdiri sendiri).Lain pula halnya dengan perkataan "gunung-ganang" yang perlu ada tanda sempang selepas perkataan "gunung" kerana perkataan "ganang" tidak boleh berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang mempunyai maksud. | Tatabahasa | 16.03.2013 |
Kenapakah "kayu-kayan" dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan konsonan sedangkan tiada huruf konsonan "n" pada perkataan "kayu"? Bagaimanakah boleh timbul huruf konsonan "n" pada perkataan "kayan"? Kenapakah "sayur-mayur" pula dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan vokal sahaja? Apakah "sayur-mayur" tidak boleh menjadi kata ganda berentak pengulangan konsonan disebabkan oleh huruf konsonan "y" dan "r" seperti "kayu-kayan"? Adakah huruf konsonan "m" bagi "mayur" dan huruf konsonan "n" bagi "kayan" hanya untuk menyedapkan bunyi pasangan kata ganda masing-masing? | Penggandaan berentak vokal ialah penggandaan yang mengulang ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu. Sayur-mayur, pengulangan vokal a dan u, dan bukannya pengulangan pada huruf konsonan. Penggandaan konsonan ialah penggandaan yang mengulangi ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu. Kayu-kayan, pengulangan konsonan k dan y. Kata ganda tersebut telah diterima seperti demikian, dan tidak ada fakta tentang penyuaipadanan huruf dalam kata ganda. | Tatabahasa | 06.11.2014 |
Salam, apakah kata ganda berentak yang sesuai dengan keadaan bilik yang bersepah (pakaian diletakkan di merata-rata)..adakah sesuai digunakan tunggang-langgang?ataupun ada kata ganda berentak lain yang lebih sesuai?terima kasih. | Dalam Kmaus Dewan Edisi Empat, tunggang-langgang bermaksud berlari pontang-panting (lintang-pukang), tunggang-tenggang; menunggang-langgangkan 1. menjadikan berguling-guling, mengguling-gulingkan, men-jungkirbalikkan; 2. menjadikan berlari tunggang-langgang (mengusir, mengejar, dll); 3. memutar-mutar atau membelit-belitkan (perkara, perkataan, perjanjian, dll), memutarbalikkan;.Daripada takrifan tersebut, perkataan tunggang-langgang kurang sesuai digunakan. Kata ganda yang sesuai digunakan ialah bersepah-sepah atau berserak-serak. | Tatabahasa | 02.12.2013 |
askm, saya agak keliru dengan kata ganda. ada pendapat mengatakan kata seperti pinggan mangkuk, riuh rendah tidak tergolong dalam golongan kata ganda berentak. bagaimana nak bezakan kata ganda berentak dengan kata majmuk dan golongan kata lain. Terima kasih. | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Kata ganda penuh ialah penggandaan seluruh kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak. Contoh: buku-buku dan pembesar-pembesar. Kata ganda separa ialah penggandaan sebahagian kata dasar sahaja. Contoh: gegelang dan sesiku. Kata ganda berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Contoh: kuih-muih dan pinggan mangkuk. Kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa maksud tertentu. Contoh: jalan raya dan duta besar. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 17.02.2011 |
1. Saya terkeliru penggunaan tanda sempang pada kata ganda berentak. Mengapakah perkataan semak samun tiada tanda sempang tetapi sayur-mayur ada tanda sempang? Bagaimanakah untuk mengenal pasti sama ada ada tanda sempang atau tidak pada kata ganda berentak atau berima? 2. Apakah perbezaan oleh sebab dan oleh kerana? | 1. Kata ganda dieja tanpa tanda sempang apabila kedua-dua perkataan ada maksudnya sendiri apabila tidak digandakan seperti semak samun (semak - semak-semak tumbuh-tumbuhan yg kecil-kecil dan rendah-rendah, belukar, samun - semak-semak dan belukar yg terbiar). Manakala, sayur-mayur perlu diletakkan sempang kerana "mayor" tidak mempunyai maksud yang membolehkannya berdiri sendiri. Akan tetapi, tidak ada rumus yang boleh digunakan untuk mengenal pasti bentuk ejaan ini kecuali merujuk kamus. 2. Ungkapan yang betul ialah 'oleh sebab' kerana oleh merupakan kata sendi , oleh yang demikian kata yang mengikutinya hendaklah kata nama; iatu sebab. 'Kerana ialah kata sendi dan dengan itu tidak boleh digunakan selepas kata oleh dalan ungkapan tersebut. Kata pemeri ialah digunakan sebagai unsur persamaan atau ekuatif manakala adalah digunakan sebagai unsur huraian atau kualitatif. Cara membezakannya adalah melalaui penggunaannya dalam ayat. Contoh: perkara yang mustahak ialah usaha yang ... sumbangan beliau adalah dari segi... kamus merakamkan semua perkataan yang terdapat dalam penggunaan bahasa oleh masyarakat . Walau bagaimanapun masyarakat harus bijak memilih perkataan tersebut kerana bukan semua perkataan boleh digunakan untuk tujuan rasmi. | Tatabahasa | 13.08.2015 |
1. Kuih-muih merupakan kata ganda berentak dan bermaksud banyak atau bermacam-macam kuih. “Pelbagai jenis kuih-muih” adalah betul tetapi lewah. “Pelbagai jenis kuih” juga adalah betul dan tidak lewah. 2. “Saling berpeluk-pelukan” adalah betul tetapi lewah. “Saling berpelukan” adalah betul dan tidak lewah. Apakah maksud "lewah"? Terima kasih | Lewah dalam hal ini bermaksud penggunaan kata berlebih-lebihan yang tidak perlu. Penggunaan kata yang lewah dalam pembinaan ayat perlu dielakkan. | Makna | 24.03.2014 |
Selamat sejahtera... Kata ganda terbahagi kepada 3 iaitu kata ganda penuh, kata ganda berentak dan kata ganda separa. Saya inginkan penjelasan lanjut tentang kata ganda separa, iaitu adakah semua perkataan boleh digandakan menggunakan kata ganda separa ? Sebagai contoh, pohon menjadi pepohon, rambut menjadi rerambut, tingkap menjadi tetingkap dan sebagainya. Adakah kipas boleh menjadi kekipas, ladang menjadi leladang, benda menjadi bebenda, baju menjadi bebaju sekiranya kita menggunakan kata ganda separa untuk perkataan tersebut ? Jika ada kekecualian atau kategori perkataan yang boleh digunakan, perkataan yang bagaimana boleh menggunakan kata ganda separa dan perkataan yang bagaimana tidak boleh menggunakan kata ganda separa ? Terima kasih... | Encik Abdul Razak, Pergandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus.Untuk huraian yang lebih lengkap sila rujuk tatabahasa halaman 77 dan 78. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
Bagaimanakah penggunaan istilah "Yang-diPertua" dan "Yang-diPertuan" yang betul serta ejaannya. Adakah penggandaan berentak "sebab-musabab" betul di dalam bahasa Melayu? | Ejaan yang betul ialah 1. Yang di-Pertuan digunakan khusus untuk ketua negara dan ketua negeri. Contohnya, Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak) 2. Yang di-Pertua digunakan bagi ketua dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara dan dewan Negeri. Contohnya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 3. Yang Dipertua pula digunakan untuk ketua bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan. Contohnya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang. Penggandaan sebab-musabab adalah betul. | Lain-lain | 29.05.2010 |
Salam, Bolehkah tuan/puan jelaskan: 1. Bagaimanakah pihak tuan menyelaraskan ejaan kata ganda (terutamanya kata ganda berentak) yang kadang kala dieja dengan tanda sempang dan ada pula yang dieja tanpa tanda sempang. 2. Adakah cara tertentu untuk mengenal pastinya? 3. Apakah cara untuk membezakan kata ganda tanpa tanda sempang tersebut dengan kata majmuk? Terima kasih. | Kata ganda dieja dengan tanda sempang. Kekeliruan timbul apabila beberapa frasa seperti bukit bukau dan sampah sarap dieja tanda sempang. Hal ini demikian kerana bukit bukau dan sampah sarap ialah frasa nama kerana kedua-dua perkataan dalam frasa tersebut mempunyai makna, dan bukan kata ganda. | Tatabahasa | 25.04.2014 |