| setahu saya kata adjektif hanya terima tiga imbuhan iaitu se, ter, ke...an. Bagaimana pula dengan 'ber'? Contohnya: ber + warna= berwarna ber+ gembira= bergembira adakah berwarna, bergembira menjadi kata kerja terbitan atau kekal sebagai kata adjektif. Apa pula bentuk pola ayat di bawah: Baju itu berwarna biru ( FN + FK atau FN + FA) Budak itu sedang bergembira di tepi pantai ( FN + FK atau FN + FA) | Lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 162, golongan kata yang boleh bergabung dengan awalan beR- ialah kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Contoh awalan beR- yang bergabung dengan kata adjektif ialah bersedih dan berlapar, dan kata ini akan membentuk kata kerja. Baju itu berwarna biru (FN + FK). Budak itu sedang bergembira di tepi pantai (FN + FK). | Tatabahasa | 26.05.2015 |
| Ayat yang mana betul penggunaan pada perkataan merayakan? l Majlis merayakan pembinaan jambatan baharu itu telah ditangguhkan pada tahun hadapan. ll Rakyat l Malaysia sentiasa bergembira untuk merayakan Hari Kemerdekaan negara yang tercinta. lll Pak Jais dan Mak Jenab serta keluarga baru sahaja merayakan hari ulang tahun perkahwinan mereka berdua. lV Abang Azaman akan merayakan hari ulang tahun kelahirannya pada minggu hadapan di Hotel Seri Cenderawasih Tq kerana sudi membantu.... | Rakyat l Malaysia sentiasa bergembira untuk merayakan Hari Kemerdekaan negara yang tercinta. | Tatabahasa | 19.09.2012 |
| kami telah mengemukakan permohonan nama pembangunan iaitu "Ophiria" tetapi tidak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhmya. ophiria diambil dari nama Gunung Ledang iaitu "Mount Ophir". kemudian menggabungkan perkataan "ria" yang membawa maksud bergembira. Oleh itu kami meminta pandangan pihak tuan untuk penggabungan nama ini dan juga maksud mengikut kamus dewan. Terima Kasih | Perkataan ‘Ophiria’ merupakan campuran bahasa Inggeris (Mount Ophir) dengan bahasa Melayu (ria). Campuran perkataan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris/lain-lain tidak dibenarkan kerana merupakan bentuk yang menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Tidak ada maksud mengikut Kamus Dewan yang berkaitan cadangan nama yang dikemukakan. | Tatabahasa | 11.11.2014 |
| Apakah perbezaan sangka/sangkaan dan jangka/jangkaan? | Mengikut Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka maksud "sangka" ialah pendapat atau kesimpulan yang dibuat berdasarkan tekaan atau agakan terhadap sesuatu perkara atau perasaan syak atau curiga pada seseorang. Kata "sangkaan" pula bermaksud apa-apa yang disangka atau perasaan syak atau curiga terhadap sesorang. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Pada sangkanya, dia sangat bergembira, tetapi rupanya tidak. 2. Setelah melihat kemewahan hidupnya, timbul rasa sangkaku terhadapnya. 3. Sangkaan mereka ada musuh yang datang menyerang tempat itu. 4. Teman-temannya menaruh sangkaan kepadanya. Manakala "jangka" pula bermaksud tempoh masa yang telah ditetapkan panjangnya atau tempoh masa bagi sesuatu usaha, rancangan dan sebagainya. Kata "jangkaan" pula bermaksud sesuatu yang dijangka atau sesuatu yang diharapkan berlaku. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Kuala Terengganu bertukar wajah dalam jangka lima tahun. 2. Jangkaan perbelanjaan bagi projek tersebut ialah RM25,000.00. 3. Cabaran besar bagi ahli dan parti politik adalah memantapkan integriti dalam menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Makna | 15.07.2023 |
| saya ingin bertanya, bolehkah DBP mewujudkan imbuhan baru untuk kata lawan bagi ber-? Seperti yang kita tahu, ber- mempunyai maksud 'memiliki' atau 'perbuatan persalingan' (daripada https://ejournal.ukm.my/gema/article/view/129). Jika kita lakukan perbandingan bahasa ( Melayu & Inggeris) bagi maksud 'memiliki' ber(sifat), baju berlengan pendek = short sleeve shirt. Tetapi baju tanpa lengan = sleeveless shirt. berguna = useful, tidak berguna = useless. Banyak lagi perkataan bahasa Inggeris yang berakhir dengan -less, memudahkan komunikasi dan memendekkan jumlah perkataan dalam perbualan. Saya berharap agar penambahbaikan ini dapat dipertimbang kerana bahasa Melayu sepatutnya sudah wujudkan banyak istilah sains, berbanding menterjemah begitu sahaja. Terima kasih | Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) telah merakamkan imbuhan "ber-(be-, bel-) sebagai entrinya. Terdapat 30 pecahan makna yang berjaya diisih dan disusun secara teliti berserta contoh kata terbitannya. Maklumat tatabahasa juga diberikan sebagai panduan pengguna bahasa. Berikut adalah sebahagian daripada pecahan makna imbuhan tersebut: ber- (be-, bel-) awalan 1 secara umumnya, apb bergabung dgn kata dasar tertentu membentuk kata terbitan yg menunjukkan perbuatan, kegiatan, cara, sifat dll yg berkaitan dgn kata dasar tsb, mis berdayung, berjumpa, berdalih, bersosial, bermusuh, bergotong-royong, berdakwah, berbuat, golongan berada, cukai berbayar, berjalan berjengket-jengket membawa sekole kopi, dan Berenang mampu menurunkan berat badan; 2 apb bergabung dgn kata kerja, kata nama atau kata adjektif tertentu membentuk kata terbitan yg membawa maksud berada dlm keadaan yg berkaitan dgn kata dasar, mis berlapar, bercelup, bertulis, berhujan, berembun, bergelap, bergembira, berpantang, berbara, bercatu, belum berbasuh, bermuram durja, kain berjahit dan kayu bergergaji; 3 membawa maksud ada atau mempunyai, mis berduit, berkudis, bermuatan, berayah, berasas, berbeza, berhasrat, tiada berbanding, gula-gula berangin, selekoh berbahaya, pihak berkuasa, renang berirama, berhalangan, bertujuan, berfikiran, berperanan, dan berkaitan; 4 apb bergabung dgn kata tertentu membentuk kata terbitan yg menunjukkan perbuatan yg dilakukan pd diri sendiri, mis berdandan, bercukur, bersolek, bercermin, berdiang, berdiet, bergambar dan berjemur; Untuk mendapatkan keseluruhan pecahan makna imbuhan ini, pengguna disarankan memiliki Kamus Dewan Perdana. | Lain-lain | 24.06.2021 |