Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
Adakah salah kalau murid tidak tulis -nya pada ayat berikut? 1)Ben Li makan sarapan dengan keluarga(nya). 2)Ben Li dan kawan-kawan(nya) pergi ke ladang anggur. 3)Ben Li dan keluarga(nya) menyaksikan pertunjukan udara. | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Menerusi ayat pertama, kedua dan ketiga yang disoal, seharusnya diletakkan 'nya'. Hal ini demikian kerana, penggunaan 'nya' di dalam ayat tersebut merujuk kepada kata ganti nama ganti orang ketiga. Sekiranya tidak diletakkan 'nya' akan timbul persoalan misalnya menerusi ayat pertama sekiranya tidak diletakkan kata 'nya' akan wujud persoalan Ben makan bersama keluarga siapa? Oleh itu, saudari/saudari perlu meletakkan kata 'nya' di dalam ketiga-tiga ayat tersebut. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.08.2012 |
Bagaimana ayat berikut boleh diperbaiki jika 'nya' tidak boleh digunakan? Gagak itu cuba memasukkan paruhnya ke dalam jag itu. Ataupun 'paruhnya' betul jika 'nya' dianggap sebagai kata penekan? | Nya ialah kata ganti nama diri orang ketiga. Oleh itu, 'nya' perlu digugurkan dalam ayat tersebut dan menjadi Gagak itu cuba memasukkan paruh ke dalam jag itu. | Tatabahasa | 21.12.2011 |
bilakah penggunaan yang sesuai bagi 'dia' dan 'nya'? | Encik Ahmad Sabri, Soalan yang ditanyakan agak kurang jelas. Namun penggunaan dia dan nya dapat dibezakan penggunaan nya melalui ayat berikut. Apabila dia (sebagai ganti nama)kembali ke kampungnya (ganti nama ) setelah sepuluh tahun meninggalkan kampung tersebut ,dia amat terperanjat dengan pelbagai perubahan yang berlaku. | Tatabahasa | 04.10.2010 |
merujuk soalan 6. dia dan nya adalah ganti nama diri ketiga tunggal. bilakah sesuai menggunakan nya dan dia? | Penggunaan dia dan nya dapat dibezakan melalui ayat berikut. Apabila dia (sebagai ganti nama) kembali ke kampungnya (ganti nama ) setelah sepuluh tahun meninggalkan kampung tersebut ,dia amat terperanjat dengan pelbagai perubahan yang berlaku. | Tatabahasa | 06.10.2010 |
Salam sejahtera, Bolehkah Tuan/Puan menyatakan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat berikut adalah betul? Jika tidak, apakah cadangan ayat yang lebih gramatis? 1) Burung dapat mengekalkan suhu badannya kerana burung berdarah panas. 2) Objek itu stabil kerana tapaknya yang besar. 3) Ikan menggunakan siripnya untuk berenang dalam air. Sekian, terima kasih. CK | Nya ialah kata ganti diri orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" dalam ayat contoh yang diberikan adalah tidak gramatis. Berdasarkan ayat tersebut kata "nya" boleh digugurkan seperti Burung dapat mengekalkan suhu badan kerana burung berdarah panas. | Tatabahasa | 19.01.2012 |
Assalamualaikum, Ekoran pertanyaan saya berkaitan penggunaan -nya keada bukan manusia, bolehkan -nya digunakan untuk merujuk binatang atau tumbuhan. Contohnya dalam ayat yang berikut: a. Binatang: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkainya dibiarkan di tepi jalan. b. Tumbuhan 1. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harganya meningkat dengan mendadak. Terima kasih | Waalaikummussalam saudara Mohd Januri, Nya ialah kata ganti diri nama orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" merujuk kepada manusia bukannya merujuk kepada haiwan dan tumbuhan. Menerusi contoh ayat yang diberikan memadai sekiranya diganti dengan menggunakan perkataan di bawah: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkai anjing itu dibiarkan di tepi jalan. 2. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harga bawang meningkat dengan mendadak. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
Assalamualaikum, Mohon penjelasan penggunaan pada dan kepada yang terdapat dalam ayat berikut: Allah menampakkan sedikit kesempurnaan-Nya yang tidak terhingga itu pada@kepada kewujudan insan kamil. Kepada @Pada insan kamil ini, Allah memperlihatkan ciptaan-Nya dan membahagikan kasih sayang-Nya. | Kata sendi nama pada menunjukkan keterangan waktu atau tempat, manakala kata sendi nama kepada untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Namun ayat contoh yang diberi tidak menunjukkan keterangan tentang waktu atau tempat dan juga sasaran. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 272 - 276. | Tatabahasa | 28.10.2011 |
Salam sejahtera. Penggunaan "dia " dan "-nya" yang manakah betul dalam ayat yang berikut: 1) Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. 2) Ibu menyuruh dia membeli makanan untuk adik. 3) Siti membantunya menyelesaikan masalah itu. 4) Siti membantu dia menyelesaikan masalah itu. | Keempat-empat ayat itu betul. -nya ialah ganti nama ketiga, sama seperti dia. Akan tetapi sebelum menggunakan -nya untuk ganti nama ketiga, perlu ada cerita tentang orang ketiga sebelum itu. Contoh: Dia baru sahaja mendapat panggilan telefon daripada ibu. Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. | Ejaan | 20.05.2014 |
Tuan, minta lihat di bawah terlebih dahulu. 1. Bas ini bergerak dengan lajunya. Dalam ayat (1), frasa sendi nama "dengan lajunya" bertugas sebagai keterangan cara dalam frasa kerja "bergerak dengan lajunya". Soalan saya jika kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" digugurkan, adakah ayat di atas masih betul? Setelah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" berlaku, ayat akan berubah menjadi berikut: 1. (a) Bas ini bergerak dengan laju. Adakah ayat 1. (a) betul? Adakah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat akan menjejaskan ayat? | Kata –nya dalam ayat Bas ini bergerak dengan lajunya berfungsi sebagai kata penekan. Ayat Bas ini bergerak dengan laju betul. | Tatabahasa | 29.12.2014 |