Apakah perbezaan antara "bertauliah" dan "berkanun"?Misalnya, bagi seseorang yang berkelayakan Chartered Accountant atau Chartered Secretary, adakah betul dan tepat sekiranya ia dipanggil Akauntan/Setiausaha Berkanun? Ataupun Akauntan/Setiausaha Bertauliah merupakan deskripsi yang lebih tepat dalam Bahasa Melayu? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, bertauliah bermaksud mempunyai tauliah. Manakala, berkanun pula bermaksud memakai atau mengikut kanun. Cadangan padanan terjemahan yang boleh digunakan untuk chartered accountant ialah akauntan berkanun atau akauntan bertauliah, chartered secretary ialah setiausaha berkanun atau setiausaha bertauliah mengikut konteks dan penggunaan ayat yang sesuai. | Penyemakan dan penterjemahan | 26.11.2022 |
Dalam PEKELILING AM BILANGAN 4 TAHUN 2014, pematuhan panggilan hormat YBrs. hanya diberikan kepada Jusa ke atas dan beberapa jawatan dan yang berkelayakan PhD dalam bidang kerjaya Akademk, YBhg bagi gelaran Dato/Datin dan beberapa panggilan hormat lain yang telah ditetapkan. Soalan saya, bagaimana penyetaraan boleh dibuat bagi penyetaraan institusi swasta? Terima Kasih. | Sila rujuk PEKELILING AM BILANGAN 4 TAHUN 2014, PANGGILAN HORMAT DAN PENGGUNAANNYA, (HALAMAN 2). TUJUAN Surat Pekeliling Am ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan yang lengkap bagi menyeragamkan penggunaan Panggilan Hormat untuk digunakan dalam semua urusan rasmi Kementerian/Jabatan/ Agensi Kerajaan dan swasta.
| Lain-lain | 04.07.2024 |
apakah perbezaan DR dan Drs juga perbezaan Dato' dan Datuk | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, "Dr." ialah kependekan untuk "doktor". Doktor bermaksud 1. orang yang berkelayakan (bertauliah) mengamalkan perubatan 2. orang yang telah mendapat ijazah tertinggi dalam sesuatu pengajian. "Drs." berasal daripada bahasa Indonesia dan merupakan kependekan untuk doktorandus (lelaki). Doktorandus bermaksud lelaki yang lulus peperiksaan terakhir di universiti (sebelum mendapat gelaran doktor). 2. Gelaran Dato' diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh negeri yang bersultan/beraja, manakala gelaran Datuk diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong dan negeri-negeri yang tidak bersultan. | Makna | 04.02.2014 |
Assalamualaikum. Saya ingin memohon pengambilan Munsyi Dewan (Bahasa) 2018.Bidang pengajian pendidikan awal kanak-kanak (Sarjana muda) bidang pengurusan pendidikan(sarjana) bidang pengajian saya di maktab perguruan sandakan(pendidikan awal-kanak-kanak / Bahasa Melayu sekolah rendah.soalan saya adakah saya berkelayakan untuk memohon pengambilan Munsyi dewan ini.Bagaimana caranya.Sekian terima kasih | Waalaikumsalam. Pertamanya kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih tentang hasrat dan minat puan untuk menjadi Munsyi Dewan. Sehubungan itu, bagi mendapatkan maklumat yang tepat berhubung tatacara untuk memohon menjadi Munsyi Dewan, puan diminta menghubungi Encik Mohd. Jusoh bin Majid menerusi talian telefon: 03-21470210/019-2744848 atau menerusi e-mel: jusoh@dbp.gov.my. Sekian. | Lain-lain | 21.03.2018 |
Asalamualaikum, di sini saya ingin bertanya mengenai jawatan kosong di Dewan Bahasa Pustaka Johor. Saya merupakan bekas pelajar di UKM mengambil jurusan sastera bidang Persuratan Melayu. Sekiranya,pihak DBP Johor membuka tawaran jawatan kosong sebagai PERANCANG BAHASA / PEN.PERANCANG BAHASA / PEMBANTU PENERBITAN /PEN. PEGAWAI TADBIR, saya ingin mengisi jawatan tersebut sekiranya saya berkelayakan. Diharap pihak DBP sudi membalas pertanyaan saya ini. Sekian,terima kasih. | DBP akan menyiarkan iklan jawatan kosong dari semasa ke semasa. Untuk itu, sekiranya tuan berminat, tuan bolehlah melayari laman web DBP atau melihat iklan yang disiarkan dalam akhbar utama berbahasa Malaysia yang disiarkan dari semasa ke semasa. | Lain-lain | 12.07.2017 |
Adakah terdapat perbezaan antara gelaran Prof. dan Prof. Dr.? Kerana terdapat doktor perubatan (Dr.) yang mendapat gelaran Profesor dan juga pensyarah biasa yang mendapat geraran Profesor. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, "Dr." ialah kependekan untuk "doktor". Doktor bermaksud 1. orang yang berkelayakan (bertauliah) mengamalkan perubatan dan 2. orang yang telah mendapat ijazah tertinggi dalam sesuatu pengajian. Sekiranya seorang doktor perubatan telah menghabiskan pengajian pada peringkat sarjana kehormat (PhD), beliau akan mendapat gelaran Dr. Perkataan madya digunakan dalam konteks profesor madya yang bermaksud pensyarah yang tarafnya di bawah profesor di universiti. | Tatabahasa | 30.05.2014 |
Salam sejahtera DBP. Soalan saya ialah berkenaan dengan ejaan rasmi perkataan 'Architect' di dalam Bahasa Melayu: adakah 'Arkitek' atau 'Akitek'? Ini adalah kerana terdapat kekeliruan dan penggunaan rasmi kedua-dua ejaan ini digunakan secara meluas. Contohnya untuk 'Arkitek': Lembaga Arkitek Malaysia, Akta Arkitek 1967. Manakala contoh ejaan 'Akitek': Pertubuhan Akitek Malaysia, dan banyak firma seni bina berdaftar yang menggunaan ejaan ini. Terima kasih di atas bantuan dan kerjasama dari pihak DBP. | Menurut Kamus Dewan Perdana, ejaan yang betul ialah “arkitek” yang bermaksud orang yang berkelayakan untuk mereka bentuk bangunan dan menyelia pembinaannya. | Ejaan | 30.12.2021 |
Assalammualaikum. Saya merupakan pelajar lepasan ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara. Baru- baru ini saya ditawarkan jawatan sambilan Pembantu Tadbir N17 di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Saya ingin bertanya adakah saya akan diserap ke jawatan tetap jika prestasi kerja baik dan biasanya berapakan tempoh masa yang diambil oleh seseorang untuk diserap? Ini kerana saya benar-benar berharap akan diserap ke jawatan tetap, lebih-lebih lagi kos kehidupan di Kuala Lumpur adalah tinggi. Terima Kasih | Tahniah kerana telah ditawarkan untuk berkhidmat dengan kami. Untuk makluman sdr, sekiranya terdapat sebarang kekosongan jawatan pada masa yang akan datang, sdr perlulah mengisi dan melengkapkan borang permohonan jawatan untuk dipertimbangkan oleh pihak kami. Psertasi kerja sdr sebagai pekerja sambilan merupakan suatu nilai tambah kepada sdr untuk dinyatakan di dalam borang permohonan tersebut dan akan diambil kira oleh pihak pengurusan DBP. Kami juga ingin memaklumkan bahawa isu penyerapan daripada jawatan bertaraf sambilan kepada jawatan bertaraf tetap tidak timbul kerana proses untuk mengisi jawatan kosong dilaksanakan secara terbuka kepada semua warganegara malaysia yang berkelayakan. Sekiranya sdr benar-benar bertekad untuk berkhidmat secara tetap dengan DBP, kemukakanlah permohonan dan tunjukkanlah prestasi kerja yang membanggakandalam tempoh sdr berkhidmat secara sambilan ini. | Lain-lain | 28.10.2008 |