Jali dan Annila menari tarian sumazau itu secara berpasangan. Maksud berpasangan yang manakah lebih tepat? Berdua-dua, bersama-sama, beriring-iring atau berdekat-dekat? Mohon penjelasan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, berpasangan bermaksud berdua-dua, sepasang-sepasang. Contoh ayat: Kasut itu disusun berpasangan. Mereka datang ke kelab malam itu berpasangan. Puan boleh merujuk kamus untuk makna perkataan. | Tatabahasa | 27.07.2020 |
kata hubung berpasangan walaupun.... namun boleh ke digunakan? atau hanya walaupun sahaja boleh digunakan dalam sesuautu ayat dan bukannya berpasangan dengan namun? | Penanda wacana "walaupun" dan "namun" boleh digunakan secara berpasangan dalam satu ayat. | Tatabahasa | 11.08.2010 |
Salam tuan/puan. Saya mengalami masalah dalam memberi penerangan berkaitan penggunaan kata hubung berpasangan : 1. Sungguhpun …tetapi 2. Walaupun…namun Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan kata hubung berpasangan ini. Harap tunjuk ajar dan maklum balas .Terima kasih | Tatabahasa Dewan tidak menerima kata hubung berpasangan sebagai jenis kata hubung tetapi dianggap sebagai pasangan yang gramatis. Kata hubung yang berpasangan digunakan untuk menggabungkan dua ayat atau lebih seperti lebih baik … daripada, apakah … ataupun, adakah … atau (pun), sama ada … atau, dan sebagainya. Kata hubung walaupun dan sungguhpun lazimnya diikuti dengan tanda koma seperti yang berikut: - Walaupun kurang sihat, dia tetap menghadiri majlis usrah itu.
- Sungguhpun letih, pemain handal itu terus bermain juga.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 251- 254. | Tatabahasa | 29.08.2021 |
adakah penggunaan kata hubung berpasangan bukan sahaja... bahkan juga sama dengan bukan sahaja ... tetapi juga? boleh beri ayat sebagai contoh? adakah terdapat perbezaan antara kedua2 kata hubung berpasangan ini? | Maklumat yang diperlukan tidak ada dalam pangkalan data kami.Diingatkan bahawa Tatabahasa Dewan tidak menerima kata hubung berpasangan sebagai jenis kata hubung tetapi dianggap sebagai pasangan yang gramatis. Contoh ayat Agama bukan sahaja menjadi petunjuk ke jalan hidup yang sebenar, tetapi juga merupakan pendinding daripada godaan hawa nafsu dan Beliau bukan sahaja penyeri, tetapi juga penggegar gelanggang. | Tatabahasa | 21.03.2013 |
Tolong berikan ayat contoh masing-masing bagi kata hubung berpasangan yang berikut. (a) baik... baik (b) entah... entah | Tatabahasa Dewan tidak menerima kata hubung berpasangan sebagai jenis kata hubung tetapi dianggap sebagai pasangan yang gramatis. Contoh pasangan gramatis adalah seperti, baik - mahupun; sama ada - atau; dan daripada - lebih baik. Tidak ada contoh pasangan gramatis baik - baik dan entah - entah. | Tatabahasa | 16.11.2015 |
Tuan, Kata hubung pasangan 'Walaupun.... namun...." boleh digunakan dalam Bahasa Melayu? Adakah kata hubung ini sah? Sekian, terima kasih. | Kata hubung berpasangan walaupun ... namun tidak terdapat dalam tatabahasa bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu kata hubung berpasangan ialah baik ... mahupun, sama ada ... atau, daripada ... lebih baik, jangankan ... pun. | Tatabahasa | 30.05.2010 |
Salam sejahtera tuan, adakah sungguhpun…namun kata hubung berpasangan? Oleh sebab itu, ayat ini betul? Sungguhpun pegawai tentera itu dapat melarikan diri, namun beliau tidak sanggup meninggalkan anak-anak buahnya yang diserang pemberontak. Jadi, jika namun dalam ayat ini ditukarkan kepada tetapi, ayat ini tidak betul kerana walaupun…tetapi bukan kata hubung berpasangan. Betulkah penjelasan ini? | Perkataan "namun" mempunyai banyak maksud dan salah satunya ialah "tetapi". Oleh itu, penggunaan "namun" dan "tetapi" dalam ayat ini boleh digunakan bersilih ganti. | Tatabahasa | 19.02.2022 |
Selamat sejahtera, bolehkah saudara@saudari maklumkan saya kepada saya contoh2 kata hubung berpasangan?Saya tidak tahu halaman rujukan dalam Tatabasa Dewan. Dan jika saya layari Internet pula, ada pelbagai versi..bolehkah saudara"saudari senaraikan? Terima kasih. | Maklumat yang diperlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Berdasarkan carian di Internet disenarai beberapa kata hubung berpasangan seperti di laman web http://tatabahasabm.tripod.com/tata/khubung.htm, namun begitu perlu diingatkan bahawa Tatabahasa Dewan tidak menerima pasangan kata hubung walupun...namun dan sungguhpun...tetapi sebagai gramatis. | Tatabahasa | 21.03.2013 |
definisi budaya berpasangan | Merujuk Kamus Dewan, budaya ialah 1. tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi): antropologi ~; ~ kuning budaya Barat yg dianggap mempunyai unsur-unsur buruk atau negatif; ~ rakyat cerita, adat, pakaian, tingkah laku dsb yg diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa; Berpasangan pula ialah 1. merupakan pasangan kpd: gelas ini ~ dgn yg itu; 2. = berpasang-pasangan berpasang, berdua-dua (sepasang-sepasang): para tamu sama ~ mengikuti irama muzik. Walau bagaimanapun,budaya tersebut boleh didefinasikan mengikut konteks yang bersesuaian. | Lain-lain | 01.09.2010 |
Selamat bersua kembali. Tatabahasa Dewan edisi ketiga m/s 504 (iii) ada menyatakan contoh kata hubung berpasangan. Adakah perkataan " daripada, apakah , adakah " boleh dikategorikan sebagai kata hubung ? Terima kasih. | Berdasarkan konteks ayat contoh dalam halaman tersebut, perkataan daripada ... lebih baik, apakah ... atau(pun) dan sama ada ... atau ialah kata hubung berpasangan yang menggabungkan dua ayat atau lebih. | Tatabahasa | 15.03.2013 |