Salam tuan/puan. Saya mengalami masalah dalam memberi penerangan berkaitan penggunaan kata hubung berpasangan : 1. Sungguhpun …tetapi 2. Walaupun…namun Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan kata hubung berpasangan ini. Harap tunjuk ajar dan maklum balas .Terima kasih | Tatabahasa Dewan tidak menerima kata hubung berpasangan sebagai jenis kata hubung tetapi dianggap sebagai pasangan yang gramatis. Kata hubung yang berpasangan digunakan untuk menggabungkan dua ayat atau lebih seperti lebih baik … daripada, apakah … ataupun, adakah … atau (pun), sama ada … atau, dan sebagainya. Kata hubung walaupun dan sungguhpun lazimnya diikuti dengan tanda koma seperti yang berikut: - Walaupun kurang sihat, dia tetap menghadiri majlis usrah itu.
- Sungguhpun letih, pemain handal itu terus bermain juga.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 251- 254. | Tatabahasa | 29.08.2021 |
definisi budaya berpasangan | Merujuk Kamus Dewan, budaya ialah 1. tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi): antropologi ~; ~ kuning budaya Barat yg dianggap mempunyai unsur-unsur buruk atau negatif; ~ rakyat cerita, adat, pakaian, tingkah laku dsb yg diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa; Berpasangan pula ialah 1. merupakan pasangan kpd: gelas ini ~ dgn yg itu; 2. = berpasang-pasangan berpasang, berdua-dua (sepasang-sepasang): para tamu sama ~ mengikuti irama muzik. Walau bagaimanapun,budaya tersebut boleh didefinasikan mengikut konteks yang bersesuaian. | Lain-lain | 01.09.2010 |
1) Istilah kata majmuk berpasangan 'suri rumah ( housewife ) bukankah tanpa tangga ? Mengapakah Kamus Dewan Edisi 4 masih mencatatkan 'suri rumah ( tangga )' Apakah penjelasan tentang tangga dalam kurungan ini ? 2) Istilah 'mertua' ( Bahasa Jawa ) yang salah juga tercatat dalam Kamus yang sama . Adakah kata ini diterima selain 'mentua'? | 1. Fungsi (tangga) dalam perkataan suri rumah (tangga) seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan pilihan. Pengguna diberi pilihan untuk menggunakan suri rumah sahaja ataupun suri rumah tangga. Kedua-duanya betul. 2. Istilah mertua berasal dari Jakarta, tidak digunakan di Malaysia. Yang diterima pakai di negara kita ialah mentua. | Istilah | 08.02.2010 |
Salam sejehtera. A Soalan saya masih merujuk tentang "kata hubung berpasangan'. Oleh kerana perkara tersebut tidak terdapat dalam Tatabahasa Dewan, apakah status ayat-ayat berikut? 1. Sungguhpun dia miskin tetapi dia masih menghulurkan derma kepada orang lain. 2. Walaupun dia tidak dapat bersekolah, namun dia masih mengambil kelas tuisyen. B Adakah dua atau lebih 'kata hubung' boleh hadir di dalam satu ayat ? Jika ada, harap dapat tuan berikan contohnya. Terima kasih. | Kata hubung berpasangan walaupun ... namun dan sungguhpun ... tetapi tidak gramatis. Kata hubung walaupun (dan sungguhpun) lazimnya diikuti dengan tanda koma seperti walaupun hari sudah jauh malam, ia belum juga tidur dan sungguhpun tidak dipelawa masuk, orang itu naik juga. | Tatabahasa | 13.03.2013 |
Salam 1 Malaysia. Saya ada kemusykilan tentang kata penguat. Kata penguat yang mana dibenarkan berpasangan dalam ayat. Contohnya; 1. Lukanya amat pedih sungguh. 2. Lukanya amat sungguh pedih. 3. Lukanya terlalu amat pedih. 4. Lukanya terlalu pedih sekali. 5. Lukanya terlalu amat pedih sangat. 6. Lukanya amat sungguh sangat pedih. Yang mana antara ayat di atas yang betul penggunaan kata penguat. Sekian, terima kasih. | Penggunaan kata penguat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Lukanya amat pedih sungguh. 2. Lukanya terlalu amat pedih. 3. Lukanya terlalu pedih sekali.
| Tatabahasa | 22.10.2012 |
Tuan, Ayat berikut adalah gramatis ? 1) Walaupun beliau sangat kaya tetapi beliau sangat kedekut. 2) Walaupun beliau sangat kaya namun beliau sangat kedekut. 3) Bolehkah 'walaupun' berpasangan dengan 'tetapi'? Terima kasih | Dalam ayat contoh yang diberikan, saudara hanya perlu menggunakan perkataan walaupun, kemudian diletakkan tanda koma (,) sahaja, tidak diikuti oleh tetapi. Contoh ayat: Walaupun beliau sangat kaya, beliau sangat kedekut. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 253. | Tatabahasa | 11.07.2016 |
Salam sejahtera; A 1. Saya dan abang bermain bola di padang. 2. Abang dan saya bermain bola di padang. Ayat yang mana tepat/gramatis ? B Adakah wujud kategori 'Kata hubung berpasangan" seperti "sungguhpun... tetapi " kerana saya tidak menemukan hal tersebut dibahaskan di dalam Tatabahasa Dewan. Terima kasih. | A. Ayat pertama. B. Tidak ada. | Tatabahasa | 12.03.2013 |
1) Adakah perkataan'bergu' yang bermaksud pasangan masih diterima? kerana perkataan ini tidak lagi wujud dalam kamus. 2) Adakah rangkai kata 'mereneh sup' sudah dimansuhkan? Kerana perkataan mereneh dalam kamus dewan telah merujuki maksud yang lain dan tidak lagi memberi contoh penggunaan yang bermaksud 'mendidih'. | 1. Perkataan yang diterima ialah"beregu" yang merujuk berpasangan. 2. Rangkai kata "mereneh sup" tidak dimansuhkan dan bermaksud "mendidih". | Tatabahasa | 10.08.2014 |
Saya telah merujuk kepada Koleksi Lembar Bahasa 2000-2001 dan 2007. Ada beberapa kekeliruan: 1. cap (tera/cetak) - cap (apa kesalahan ejaan tersebut? Adakah istilah cop yang dimaksudkan?) 2. istirehat - isytirahat. Istilah mana yang tepat? Isytirahat atau istirahat? 3. diubah suai - diubahsuai. Mengikut buku Tatabahasa dewan, kata majmuk berpasangan yang ditambah imbuhan apitan sahaja akan ditulis rapat, contoh ubah suai menjadi diubah suai sepatut masih ditulis terpisah tetapi dalam senarai Koleksi Lembar Bahasa tercatat sebagai yang betul ialah diubahsuai ? 4. Bandar raya - Bandar raya. Apa kesalahan ejaannya? Ada beberapa istilah yang betul tetapi dicatatkan salah ejaannya. 5. Definasi - Fefinisi. Adakah ini kesalahan menaip? 6. Cendekiawan atau cedekiawan? 7. Apa perkaitan renik (rendah) dengan ruang niaga? Terima kasih | Penggunaan kata/ejaan yang betul ialah cap, istirahat, ubah suai, diubah suai, bandar raya, definisi, cendekiawan, renek dan ruang niaga. Untuk maklumat lanjut rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan di ruangan Carian Spesifik taipkan perkataan yang hendak dicari. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Ejaan | 11.12.2011 |
1) kedua-dua anak / kedua-dua orang anak 2) kedua-dua kucing / kedua-dua ekor kucing 3) kedua-dua kereta / kedua-dua buah kereta Yang manakah betul? Bolehkah tuan bagi pencerahan lagi dalam keadaan apakah kita perlu letak penjodoh bilangan di belakang kata bilangan ini dan ada kalanya tak perlu? | Dalam bahasa Melayu, lazimnya kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerang kepada kata nama yang mengikutinya. Namun demikian, bukan semua kata bilangan mesti diikuti oleh penjodoh bilangan. Dalam hal ini terdapat dua peraturan tentang penggunaan penjodoh bilangan. Kata bilangan tentu mestilah disertai oleh penjodoh bilangan contohnya "kedua-dua orang anak, kedua-dua ekor kucing dan kedua-dua buah kereta" manakala kata bilangan tak tentu tidak perlu disertai oleh penjodoh bilangan. | Tatabahasa | 03.11.2022 |