Assalamualaikum. Saya cari perkataan bersiap-sedialah dalam PRPM tetapi tiada. Soalan saya ialah, kalau bersiap sedia tiada sempang (-), kenapa bersiap-sedialah ada sempang? Apakah ejaan yang tepat? bersiap-sedialah ATAU bersiapsedialah ATAU bersiap sedialah. Terima kasih atas perhatian pihak tuan. | Ejaan yang betul ialah siap sedia, apabila menerima awalan (ber) menjadi bersiap sedia, manakala perkataan bersiap sedialah tetap dieja dua perkataan kerana 'lah' adalah kata penegas dan bukan apitan (seperti ber-...-kan). | Ejaan | 04.05.2011 |
Salam. Saya ingin bertanya tentang penggunaan betul nombor dalam ayat. 1) Contohnya, "Saya bersiap selama lima minit." atau "Saya bersiap selama 5 minit.". Yang manakah paling tepat? 2) "Dia beli lima buah buku." atau "Dia beli 5 buah buku."? 3) "Dia akan ambil awak pada pukul 7.00." atau "Dia akan ambil awak pada pukul 7:00."? 4) "20 ribu Yen" atau "20000 Yen"? 5) Saya juga agak keliru dengan nombor yang mempunyai banyak angka. Contohnya, perlukah saya meletakkan tanda baca koma (,) dalam nombor 8000 / 8,000, 80000 / 80,000 dan 800000 / 800,000. Atau mungkinkah selepas nombor puluh dan ratus, saya perlu jarakkan nombor? Contohnya 800 000 (tanpa perlu letakkan tanda koma). Saya harap soalan saya jelas dan saya juga amat mengharapkan jawapan tepat dari pihak tuan. Terima kasih. | (1) Saya bersiap selama lima minit. (2) Dia beli lima buah buku. (3) Dia akan ambil awak pada pukul 7.00. (4) 20,000 Yen (5) Sistem pernomboran antarabangsa meletakkan tanda koma selepas nilai ribu: 8,000, 80,000, 800,000 dan seterusnya. Bagi penulisan nombor dalam ayat, nombor satu hingga Sembilan dieja (lihat ayat 1 dan 2); manakala nombor 10 dan seterusnya ditulis angka seperti "Dia membeli 10 buah buku". | Tatabahasa | 07.12.2018 |
1.Pada esok pagi,kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah. 2.Pada pagi esok,kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penggunaan 'esok pagi' atau 'pagi esok' dalam ayat-ayat di atas adalah betul? | Frasa yang gramatis ialah "pagi esok" sama seperti hari esok. Walau bagaimanapun frasa "esok pagi" telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam ungkapan lisan. | Tatabahasa | 04.03.2015 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apakah ejaan yang betul, bersiap sedialah atau bersiapsedialah | Ejaan yang betul ialah bersiap sedialah. | Ejaan | 14.02.2023 |
( Seluruh , Segala ) penduduk kampung diminta bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh. Apakah jawapan yang betul ? Boleh berikan sebabnya. Terima kasih. | Seluruh penduduk kampung diminta bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh. Kata 'segala' agak kurang sesuai digabungkan dengan kata 'penduduk' walaupun membawa maksud yang sama. | Lain-lain | 02.10.2009 |
Maksud peribahasa burung terbang dipipiskan lada | Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh. | Lain-lain | 24.03.2010 |
apa maksud "burung terbang dipipiskan lada" | sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh. | Makna | 23.10.2007 |
penggunaan Kata yang betul.. program kesiapsagaan menghadapi bencana. adakah perkataan kesiapsagaan boleh digunakan yang bermaksud bersiap sedia / persediaan tq | Cadangan penggunaan yang betul ialah program siap siaga menghadapi bencana.Makna siap siaga ialah siap sedia,iaitu sudah bersedia untuk(melalkukan sesuatu dll.). Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1485. | Tatabahasa | 01.06.2008 |
Apa maksud siap saga ? Adakah penggunaan istilah siap saga dan berkeboleh pasaran betul dalam ayat ini ? Justeru, saudara saudari perlu bersiap saga untuk membuktikan bahawa graduan keluaran IKN berkualiti, berinovatif, berdaya usahawan, berkeboleh pasaran dan berdaya saing. | Ayat yang betul ialah Oleh sebab itu, saudara saudari perlu siap saga untuk membuktikan bahawa graduan keluaran IKN berkualiti, berinovatif, berdaya usahawan, berkebolehpasaran dan berdaya saing. | Istilah | 10.09.2014 |
Selamat sejahtera. Boleh Tuan/Puan bantu tukarkan ayat di bawah ini kepada ayat klasik? Terima kasih. Hutang nyawa, harus dibayar dengan nyawa. Beta akan pastikan Gapura Ilmu menjadi padang jarak padang tekukur. Bersiap sedia untuk menggembleng tenaga melawan angkatan tentera beta yang gagah perkasa. Jikalau Gapura Ilmi punya muallim, Jentayu Emas punya lebih dari itu. Jikalau Gapura Ilmi mempunyai kota yang menempatkan sebuah markas tentera, Jentayu Emas tidak hairan akan itu. Hantarlah selautan tentera sekalipun, tentera beta tidak akan dapat ditewaskan. Sultan negara tuan hamba saja sudah mangkat dibunuh beta, bahkan putera mahkotanya jua. Adapun jika tuan hamba tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai panglima, letak saja jawatan itu. Tak usah memalukan nama negara tuan hamba yang kononnya gah di mata dunia itu. | Untuk makluman tuan, DBP tidak melaksanakan fungsi terjemahan dalam bahasa asing termasuklah bahasa klasik. Walau bagaimanapun, tuan boleh merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) yang telah merakamkan entri bahasa klasik dengan label kependekan kl seperti arakian yang bermaksud sesudah dan selepas itu dan syahadan yang digunakan pada permulaan cerita yang membawa maksud selanjutnya. Tuan juga boleh merujuk buku-buku terbitan DBP seperti Siri Warisan Sastera Klasik: Hikayat Ular Nangkawang, Hikayat Asal Mulanya Wayang, Hikayat Malim Deman dan lain-lain untuk rujukan bentuk penulisan bahasa klasik yang bersesuaian. | Sastera | 24.12.2023 |