Encik, Apakah perbezaan penggunaan perkataan 'bertanya', 'bertanyakan', 'menanya' & 'menanyakan'? Bukankah selepas perkataan 'bertanyakan' & 'menanyakan' tidak memerlukan kata sendi? Bolehkah encik memberikan penjelasan yang detail. Terima kasih. | Bertanya bermaksud meminta supaya diberitahu tentang sesuatu atau meminta keterangan, contohnya maka ia bertanyalah khabar ibu dan saudaranya bertanyakan bermaksud meminta keterangan mengenai sesuatu, contohnya maka aku pun bertanyalah hal negeri itu menanya bermaksud bertanya kepada, contohnya seorang guru sekolah tempatan menanya Profesor Arthur Lew satu soalan dan menanyakan bermaksud meminta keterangan tentang sesuatu kepada, contohnya temuilah doktor utk menanyakan apakah berpenyakit atau tidak. Berdasarkan huraian dan contoh yang diambil daripada Kamus Dewan itu, perkataan bertanya dan bertanyakan banyak digunakan dalam teks lama, manakala perkataan menanya dan menanyakan banyak digunakan dalam teks moden. | Tatabahasa | 24.06.2012 |
Ayat yang manakah yang betul? a. Saya ingin menanyakan beberapa soalan khusus. atau b. Saya ingin bertanyakan beberapa soalan khusus. | Yang betul ialah, "Saya ingin bertanyakan beberapa soalan khusus" kerana bertanyakan bermaksud bertanya berkenaan sesuatu, meminta keterangan mengenai sesuatu | Tatabahasa | 18.12.2007 |
Lelaki itu menanyakan beg yang dibawa oleh Banduan atau Lelaki itu bertanyakan beg yang dibawa oleh Banduan. | Bertanyakan bermaksud bertanya berkenaan sesuatu, manakala menanyakan bermaksud bertanya berkenaan sesuatu kepada. Lihat contoh ayat ini untuk melihat perbezaan penggunaan kedua-dua kata tersebut, "Ayah bertanyakan keadaan kesihatan Pak Long melalui anaknya" dan "Ani menanyakan doktor tentang keseriusan penyakit ibunya". Ayat yang betul: Lelaki itu menanyakan beg yang dibawa oleh Banduan | Tatabahasa | 06.09.2018 |
Ingin bertanyakan tentang penggunaan dari dan daripada: "..lebih dari 300 bangunan.." atau "..lebih daripada 300 bangunan". Terima Kasih | Penggunaan yang betul ialah "...lebih daripada 300 bangunan". | Tatabahasa | 18.06.2015 |
Saya bertanyakan tentang 'spacewalk' dan telah disuruh untuk kemukakan konsep dan bidang istilah. Konsep: angkasa lepas Bidang istilah: Aeroangkasa | Melalui semakan kami belum ada lagi padanan kata spacewalk dalam bahasa Melayu. Tiada terjemahan khusus, lazimnya dalam wacana digambarkan atau dihuraikan keadaan atau perbuatan spacewalk tersebut seperti terapung di angkasa. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.10.2014 |
saya bertanyakan mengenai loghat(bahasa dialek) nak dapatkan rujukan, dapatlah kiranya pihak tuan membantu | Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan khidmat nasihat bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika saudara memerlukan maklumat berkaitan bahan (loghat ) - dialek, saudara boleh mengunjungi laman web DBP (www.dbp.gov.my) dan terus ke perkhidmatan menu utama dan saudara boleh klik pada katalog awam dalam talian serta mendapatkan maklumat berkaitan bahan yang diperlukan. Terdapat banyak paparan berkaitan loghat atau dialek yang diperlukan. Terima kasih sekali lagi kerana menggunakan KNB DBP. | Lain-lain | 08.11.2006 |
Saya meminta maaf kerana keliru akan keterangan yang encik berikan. Keterangan encik seolah-olah tiada wujud perbezaan antara perkataan 'bertanyakan' & "menanyakan'. Setakat yang saya maklum, 'bertanyakan' ialah kata kerja intransitif yang diikuti oleh sesuatu yang ditanya. Contohnya, Saya bertanyakan keadaan kesihatan ibunya. Kata 'bertanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya bertanya tentang keadaan kesihatan ibunya. Manakala kata 'menanyakan' ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh kata ganti nama atau kata nama orang yang ditanya. Contohnya, Saya menanyakan dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Kata 'menanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya menanya kepada dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Adakah pemahaman saya di atas betul dari segi rumus bahasa Malaysia? Harap pihak encik dapat memberikan jawapan yang konkrit tentang soalan ini. Terima kasih. | Pendapat saudara memang benar. Dalam halaman 194 dan 200, buku Tatabahasa Dewan menjelaskan bahawa kata kerja yang terhasil dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif dan kata kerja yang terbentuk melalui beR-...-an ialah kata kerja tak transitif. Jawapan kami sebelum ini merujuk data daripada kamus. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
Saya ingin bertanyakan soalan tentang pemenggalan suku kata. Saya difahamkan bahawa pemenggalan suku kata dan pemenggalan sebutan adalah berbeza konsep. Jadi, adakah suku kata bagi "keluarga" adalah ke-lu-ar-ga atau ke-luar-ga. Saya difahamkan jika terdapat palatalisasi (y) dan labialisasi (w) pada perkataan tersebut, ia akan digabungkan pemenggalan sebutan tersebut, contohnya, keluarga, yang mana terdapat labialisasi padanya, iaitu (keluwarga) dan pemenggalan bagi sebutannya adalah (ke-luar-ga). Adakah pemenggalan suku katanya sama atau berbeza dengan sebutan kerana saya selalu mendapat jawapan yang berlainan. Namun, saya berpendapat bahawa pemenggalan suku kata bagi keluarga ialah ke-lu-ar-ga apabila dibaca satu satu. | Pemenggalan suku kata bagi keluarga ialah [ke.lu.ar.ga]. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk maklumat yang terkini. | Lain-lain | 19.08.2024 |
saya ingin bertanyakan tentang pemenggalan suku kata yang betul bagi perkataan berikut. bermain mengangkat larangan suasana | Pemenggalan suku kata bagi perkataan tersebut adalah seperti yang berikut: "bermain [ber.main]", "mengangkat [me.ngang.kat]", "larangan [la.ra.ngan]" dan "selesa [se.lé.sa]" | Ejaan | 08.08.2024 |
SAYA INGIN BERTANYAKAN BAGAIMANA INGIN MEMBUAT LAWATAN? TUAN ADA CADANGAN BAHAGIAN APA YANG BOLEH DILAWAT | Untuk makluman tuan, tuan perlu menghantar permohonan berserta maklumat lawatan kepada: Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. E-mel: hazami@dbp.gov.my; cc kepada: dina@dbp.gov.my Antara cadangan tujuan lawatan adalah untuk menambah pengetahuan tentang penerbitan di DBP seperti proses menerbitkan kamus, majalah dan buku pelbagai genre. Puan juga boleh mengetahui tentang kursus-kursus atau program-program yang diadakan yang melibatkan pelajar sekolah. | Lain-lain | 11.06.2024 |