pindah | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, antara maksud pindah ialah bertukar tempat (kediaman, kerja, dll); ~ milik bertukar pemilik atau tuan punya; ~-randah selalu bertukar tempat (kediaman, dll); ~ tangan bertukar tuan (barang, harta benda, dll); tujuh kali ~ jadi papa = orang pindah-pindahan bertanam tak boleh dimakan prb pekerjaan yg tiada tetap akan merugikan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau layari laman web DBP. | Makna | 24.01.2010 |
Adakah penggunaan "ke" dan "daripada" dalam ayat di bawah betul? Jika salah, harap dibetulkan. "Jika anda bertukar ke syarikat insurans yang lain atau bertukar daripada satu polisi ke polisi yang lain,..." Terima kasih | "Jika anda bertukar kepada syarikat insurans yang lain" dan "Bertukar daripada satu polisi kepada polisi yang lain". | Lain-lain | 16.08.2017 |
Salam. Adakah ayat ini betul? "Mengapa bertukar kepada LED?" atau "Mengapa bertukar ke LED?" (terjemahan daripada ayat - Why switch to LED?) Terima kasih. | Laras iklan yang baik "Mengapa bertukar kepada LED?". | Tatabahasa | 25.09.2012 |
soalan 1(a) Saintis mencipta kereta yang boleh bertukar warna. 1(b) Saintis mencipta kereta yang dapat bertukar warna. ayat yang manakah lebih tepat dan betul? | Ayat yang tepat ialah "Saintis mencipta kereta yang boleh bertukar warna'. | Tatabahasa | 12.08.2009 |
pertukaran atau penukaran ? | Pertukaran ialah perbuatan atau hal bertukar, pergantian, perubahan, dsb bertukar-tukar(melibatkan sesuatu yang baru). Contoh ayat, pertukaran iklim secara mengejut telah menyebabkan ia sakit. Penukaran pula ialah perbuatan (hal dsb) menukar atau menukarkan. Contoh ayat, penukaran permata asli dgn permata palsu itu dibuat secara sulit. | Makna | 03.02.2010 |
1. Nombor telefonnya telah ditukar. 2. Nombor telefonnya telah bertukar. Adakah kedua-dua ayat betul? Jika ya, apa bezanya "ditukar" dan "bertukar"? Terima kasih. | Perbezaan imbuhan ditukar dan bertukar dalam ayat "Nombor telefonnya telah ditukar." dan "Nombor telefonnya telah berttukar": Awalan di- digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga. Manakala kata kerja ybertukar ialah kata kerja tak transitif berpelengkap. Kesimpulannya ayat Nombor telefonnya telah betukar merupakan ayat yang tidak sempurna dan salah kerana tidak berpelengkap. Untuk rujukan lebih lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 163 - 164 dan halaman 175 - 176.
| Tatabahasa | 22.10.2017 |
Salam sejahtera. "Negara A menukar / menukarkan / bertukar nama negara menjadi / kepada Negara B." Apakah kata kerja dan kata sendi nama yang sesuai bagi ayat di atas? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Negara A menukarkan namanya kepada Negara B" atau "Negara A bertukar nama menjadi Negara B." Kata kerja yang sesuai bagi ayat pertama ialah menukarkan manakala ayat kedua ialah bertukar nama. Kata sendi nama yang sesuai bagi ayat pertama ialah kepada. | Tatabahasa | 21.03.2007 |
Salam sejahtera, 1. Apakah perbezaan antara perkataan klasifikasi. kategori dan jenis? Bolehkan ia digunakan secara bertukar ganti? 2. Apakah padanan yang sesuai untuk frasa 'degree of individualization'? 3.Adakah kendiri dan berdikari membawa maksud yang sama?. Bolehkah ia digunakan secara bertukar ganti? Terima Kasih. | Kasifikasi: 1. penyusunan mengikut kelas; 2. susunan sistematik ke dlm kumpulan menurut kriteria yg ditetapkan. Kategori: 1. bahagian dlm sesuatu sistem klasifikasi, kumpulan (golongan dsb) besar berdasarkan ciri-ciri tertentu: majalah ini boleh digolongkan dlm ~ majalah peng guna; 2. asas atau dasar sesuatu pengertian (dlm falsafah); Jenis: golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan, dll) yg mempunyai sifat-sifat yg sama, bangsa. Kata tersebut tidak boleh digunakan secara bertukar ganti sewenang-wenangnya. Padanan untuk frasa 'degree of individualization' tiada dalam rekod kami. Mungkin "Darjah keperibadian" boleh digunakan. Kendiri bermaksud sendiri dan berdikari bermaksud berdiri atas kaki sendiri. Kata tersebut juga tidak boleh digunakan secara bertukar ganti sewenang-wenangnya. | Makna | 01.07.2009 |
Apakan kata sendi yang sesuai di dalam ayat ini? "Status Fatimah bertukar dari/daripada golongan bangsawan ke/kepada/hingga seorang wanita yang kehilangan kampung halaman." Terima kasih. | Status Fatimah bertukar daripada golongan bangsawan kepada seorang wanita yang kehilangan kampung halaman. | Tatabahasa | 04.03.2007 |
Miki suka meminjam buku. Dia akan menukar buku dengan kawannya. Adakah ayat ini betul | Ayat yang tepat ialah "Miki suka meminjam buku. Dia akan bertukar buku dengan kawannya". Untuk membantu puan menyemak ayat dan membina ayat yang betul, puan boleh merujuk guru bahasa Melayu di sekolah puan. Untuk memantapkan lagi kemahiran, puan juga boleh menyemak kamus bagi mendapatkan penggunaan kata yang betul dalam konteks ayat tersebut. Contohnya, dalam ayat di atas, kata menukar dan bertukar berbeza konteks penggunaannya. Menukar bermaksud mengganti dengan yang lain dan bertukar bermaksud memberi dan menerima gantinya, atau saling memberi, maka penggunaan kata yang betul dalam konteks ayat ini ialah bertukar. | Tatabahasa | 17.05.2015 |