Boleh tak tuan berikan penjelasan, yang manakah ayat berikut betul? atau kesemuanya betul? mengapa? 1. Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru. (2012 kata ayat ini betul) 2. Cita-cita saya ialah guru. (2011 kata ayat ini betul) 3. Cita-cita saya menjadi seorang doktor. (2016 kata ayat in betul) ketiga-tiga ayat ini telah dijumpai dalam khidmat nasihat DBP. Saya keliru, ayat manakah yang harus saya guna? | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. 1. Cita-cita saya ialah guru. 2. 2. Cita-cita saya menjadi seorang doktor. Ayat Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru, tidak betul kerana penggunaan kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa nama. Dalam ayat tersebut kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa kerja, iaitu menjadi seorang guru. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263 - 265. Bagi ayat nombor satu (1), pihak kami ambil maklum. Penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. | Tatabahasa | 21.01.2024 |
ATURCARA @ ATUR CARA - MANA YANG BETUL URUSETIA @ URUS SETIA - MANA YANG BETUL | Ejaan yang betul ialah atur cara dan urus setia (ejaan dijarakkan). Sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP,2020). | Ejaan | 12.09.2023 |
Adakah ayat ini betul : mengisi masa lapang secara berfaedah. Adakah penggunaan secara berfaedah betul? | Ayat yang betul ialah “mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah”. | Tatabahasa | 29.07.2024 |
Dia adalah muda. Ayat di atas betul ke? | Ayat "Dia adalah muda.", tidak betul. Ayat yang betul ialah "Dia muda."/"Dia amat muda." (pola Frasa Nama + Frasa Adjektif). | Tatabahasa | 23.11.2023 |
1) adakah penggunaan kata ‘aliran’ betul pada ayat ini “Aliran sungai di belakang rumah saya sungguh deras” 2) apakah kata ganda yang tepat bagi “jam tangan” ‘jam-jam tangan’ atau ‘jam tangan-jam tangan’ 3) adakah penggunaan kata ‘masam’ betul pada ayat ini “Biskut dalam bekas itu sudah berbau masam” 4) adakah penggunaan kata ‘terdedah’ betul pada ayat ini “Pintu hadapan rumah itu terdedah” 5) ayat yang manakah betul “Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbuk-tumbukan.” atau “Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbukan.” atau “Kedua-dua orang murid itu saling bertumbukan” 6) adakah penggunaan kata ‘mempertajam’ betul pada konteks di bawah “mempertajam akal fikiran” “mempertajam skilnya” “mempertajam usaha” 7) kenapa ayat ini salah “seekor ikan paus dijumpai terhampar di tepi laut semalam” | Berikut merupakan jawapan untuk soalan yang dinyatakan: 1. Ayat tersebut betul. 2. Kata ganda yang betul ialah "jam-jam tangan". 3. Penggunaan perkataan "masam" dalam ayat yang dinyatakan tidak betul kerana perkataan "masam" merujuk pada "rasa seperti cuka atau mempelam muda" dan " "keadaan berbau seperti pakaian yang tidak kering atau susu yang diperam" (Kamus Dewan Perdana, halaman 1419). 4. Ayat tersebut betul. 5. Ayat-ayat yang betul ialah "“Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbukan” dan “Kedua-dua orang murid itu saling bertumbukan”. 6. Penggunaan perkataan "mempertajam" betul pada konteks yang dinyatakan kecuali pada frasa "mempertajam skilnya". Frasa tersebut perlu ditukar pada "mempertajam kemahirannya". 7. Ayat tersebut salah kerana perkataan "terhampar" bermaksud terbentang luas. Ayat yang betul ialah "“Seekor ikan paus dijumpai terdampar di tepi laut semalam". ” | Tatabahasa | 13.09.2023 |
Adakah ayat ini betul? Hal-hal yang dia katakan tidak betul. Adakah "yang dia katakan" harus dibetulkan menjadi: Hal-hal yang dikatakannya tidak betul. Apabila pembuat itu adalah orang ketiga, adakah kita harus menggunakan "dikatakannya"? | Ayat yang lebih gramatis ialah “Hal-hal yang dikatakannya tidak betul.” | Tatabahasa | 10.05.2023 |
Bagi ayat "Pack and label your parcel correctly", ayat yang mana lebih bersesuaian? 1. Bungkuskan dan labelkan bungkusan anda dengan betul ATAU 2. Bungkus dan labelkan bungkusan and dengan betul ATAU 3. Bungkus dan label bungkusan anda dengan betul. Mohon pencerahan. | Ayat yang betul ialah: Bungkuskan dan labelkan bungkusan anda dengan betul. Selain itu tuan juga boleh menggunakan ayat ini: Sila bungkus dan label bungkusan anda dengan betul. | Tatabahasa | 24.03.2023 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: 1. Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Akhiran –kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (I) memberi pengertian kausitif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (II)memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan(membelikan untuk orang lain), masak-masakkan.
| Lain-lain | 20.10.2023 |
A. Apakah yang harus Jerry lakukan? B. Apakah yang harus dilakukan oleh Jerry? Ayat yang mana betul? Atau kedua-duanya betul? Apakah sebabnya? Terima kasih. | Kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan Ayat Aktif dan Ayat Pasif, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP,2014), halaman 483 hingga 493. | Tatabahasa | 12.08.2024 |
Tahap Kesihatan adik semakin rendah sejak dimasukkan ke hospital. Adakah penggunaan kata banyak makna rendah dalam ayat ini betul? Kalau tidak betul, apakah perkataan yang sesuai patut digunakan? | Ayat yang betul seperti yang berikut: "Tahap kesihatan adik semakin merosot sejak dimasukkan ke hospital." | Tatabahasa | 12.12.2024 |