| Assalam, Bagi replika cek bank DBP namakan sebagai cek cura. Apakah pula istilah untuk replika sumbangan yang bukan berbentuk cek bank? Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi istilah mock cheque ialah cek contoh atau cek cura. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan cura ditakrifkan sebagai olok-olok, manakala perkataan replika pula ditakrifkan sebagai model sesuatu objek seperti bangunan, jentera, catan dan lain-lain yang hampir atau betul-betul menyerupai objek yang asli. Penggunaan perkataan cura atau replika ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks tersebut. | Istilah | 11.09.2025 |
| Boleh tak tuan berikan penjelasan, yang manakah ayat berikut betul? atau kesemuanya betul? mengapa? 1. Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru. (2012 kata ayat ini betul) 2. Cita-cita saya ialah guru. (2011 kata ayat ini betul) 3. Cita-cita saya menjadi seorang doktor. (2016 kata ayat in betul) ketiga-tiga ayat ini telah dijumpai dalam khidmat nasihat DBP. Saya keliru, ayat manakah yang harus saya guna? | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. 1. Cita-cita saya ialah guru. 2. 2. Cita-cita saya menjadi seorang doktor. Ayat Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru, tidak betul kerana penggunaan kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa nama. Dalam ayat tersebut kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa kerja, iaitu menjadi seorang guru. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263 - 265. Bagi ayat nombor satu (1), pihak kami ambil maklum. Penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. | Tatabahasa | 21.01.2024 |
| Adakah ayat ini betul : mengisi masa lapang secara berfaedah. Adakah penggunaan secara berfaedah betul? | Ayat yang betul ialah “mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah”. | Tatabahasa | 29.07.2024 |
| Dia adalah muda. Ayat di atas betul ke? | Ayat "Dia adalah muda.", tidak betul. Ayat yang betul ialah "Dia muda."/"Dia amat muda." (pola Frasa Nama + Frasa Adjektif). | Tatabahasa | 23.11.2023 |
| A. Apakah yang harus Jerry lakukan? B. Apakah yang harus dilakukan oleh Jerry? Ayat yang mana betul? Atau kedua-duanya betul? Apakah sebabnya? Terima kasih. | Kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan Ayat Aktif dan Ayat Pasif, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP,2014), halaman 483 hingga 493. | Tatabahasa | 12.08.2024 |
| Tahap Kesihatan adik semakin rendah sejak dimasukkan ke hospital. Adakah penggunaan kata banyak makna rendah dalam ayat ini betul? Kalau tidak betul, apakah perkataan yang sesuai patut digunakan? | Ayat yang betul seperti yang berikut: "Tahap kesihatan adik semakin merosot sejak dimasukkan ke hospital." | Tatabahasa | 12.12.2024 |
| Betul ke kaedah ejaan besar bagi perkataan Rakan Rujukan | Penggunaan huruf besar atau kecil bagi perkataan “rakan rujukan” bergantung pada bentuk kata nama, sama ada kata nama khas atau kata nama am. Contoh kata nama khas: Program Rakan Rujukan diadakan pada bulan Mac bagi mengalu-alukan pengedar baharu. Contoh kata nama am: Dia merupakan rakan rujukan saya sebagai pengedar baharu perniagaan jualan langsung. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 84 - 86. | Lain-lain | 22.02.2025 |
| Saya mengalami selera makan. Adakah ayat ini betul? | Ayat yang betul ialah “Saya mempunyai selera makan.” | Tatabahasa | 24.06.2024 |
| "dalam" kalangan atau "di" kalangan? Mana satu yang betul? | Penggunaan yang betul ialah "dalam kalangan". | Tatabahasa | 27.03.2024 |
| "Peraturan lampu isyarat sentiasa ayahnya patuhi." Adakah ayat ini betul? | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Peraturan lampu isyarat sentiasa dipatuhi oleh ayahnya. 2. Ayah sentiasa mematuhi peraturan lampu isyarat.
| Tatabahasa | 15.11.2023 |