maksud bagi Bual Bicara? | Kalau dilihat dari sudut kata, bual bermaksud: borak. Manakala bicara pula bermaksud: pendapat, fikiran, akal budi, muslihat dll. Frasa 'bual bicara' pula membawa maksud: perbincangan mengenai sesuatu pendapat atau buah fikiran. | Makna | 23.04.2009 |
Mohon pihak DBP berikan jawapan untuk mengelakkan kekeliruan. Ayat & perkataan manakah yang betul? 1. bicara bukan SEBARANG bicara 2. dia bukan orang SEMBARANGAN Saya keliru untuk menggunakan perkataan SEBARANG, SEBARANGAN, SEMBARANG & SEMBARANGAN. | Merujuk Kamus Dewan, sebarang bermaksud a) bukan yang biasa sahaja; b) bukan sedikit, luar biasa (sangat banyak sekali dan lain-lain); c) bukan apa-apa; sebarangan lazimnya digunakan dalam istilah bagi padanan arbitrary dalam bahasa Melayu; sembarang bermaksud apa-apa atau sesiapa saja; asal saja; juga bermaksud sebarang; dan sembarangan bermaksud tidak dengan usul periksa; dengan begitu saja; tidak dengan pilih-pilih lagi. Berdasarkan maksud yang diberikan kedua-dua ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 07.01.2011 |
Sekiranya kami menjemput seorang sahaja tamu (VVIP) untuk menjadi orang yang berucap dalam satu Program Bual Bicara, apakah kata nama yang sesuai untuk beliau? adakah kata nama Pembual Bicara itu tidak sesuai? atau Panel? atau Tamu Bual Bicara? Pengucap Utama ? Terima kasih | Tetamu dalam program bual bicara masih digelar tetamu dan jika seorang VVIP yang diundang lazimnya yang diuar-uarkan sebagai tetamu istimewa. | Istilah | 12.04.2013 |
Tolong terangkan maksud 'Bicara Berirama' (salah satu program dalam BBSN),contoh skripnya dan cara penyampiannya. | Bicara berirama ialah bercakap atau berkata menggunakan bahasa berirama dalam nada suara panjang atau pendek dengan bunyi yg teratur. Atau turun naik bunyi yg teratur pd lagu dll, rentak gaya, tingkah, ragam atau rentak. Mengenai skrip yg dinyatakan, bicara berirama ini bukan sahaja boleh diaplikasikan pada teks ucapan, bahkan sewaktu menyampaikan syair, pantun, gurindam dan lain-lain.Kebiasaannya seseorang yang menggunakan bicara berirama akan memastikan intonasi suara, irama, lenggok bahasa dan kepetahan disatukan dalam menyampaikan sesuatu teks itu. Ini juga bergantung pada latihan yang dilakukannya. Terima kasih. | Tatabahasa | 23.10.2008 |
apakah istilah atau ayat yang sesuai digunakan bagi menggantikan perkataan kata alu-aluan untuk penerbitan sesebuah buku cenderamata selain daripada sekapur sirih, seulas pinang, secubit gambir? | Cadangan lain ialah perutusan, petikan kata, sebait madah, sepatah bicara, dan pembuka bicara. | Lain-lain | 25.01.2008 |
salam...tuan/puan,,perkataan budi bicara dieja dengan jarak,,,tetapi dengan ada imbuhan -nya;bagaimanakah ayat itu dieja??terima kasih | Puan Nurul, Perkataan budi bicara apabila menerima imbuhan -nya dieja sebagai budi bicaranya. | Ejaan | 23.06.2010 |
Salam. Harap pihak tuan/puan dapat mengesahkan pengejaan perkataan di bawah: - BUDIBICARA / BUDI BICARA - BERTANGGUNGJAWAB / BERTANGGUNG JAWAB - WARGANEGARA / WARGA NEGARA - TATASUSILA / TATA SUSILA - BERPUASHATI / BERPUAS HATI Sekian, terima kasih. | Ejaan yang betul : budi bicara; bertanggungjawab; warganegara; tatasusila; berpuas hati. | Ejaan | 13.11.2009 |
apakah maksud perkataan-perkataan klasik tersebut: 1)bertimbalan 2)pertuanan 3)tambul 4)ratma mutu manikam 5)piala 6)memekis 7)murka 8)bicara | 1. Bertimbalan, beriringan ataupun berpadanan 2. Pertuanan, golongan bangsawan atau kaum ningrat 3. Tambul, makanan yg dihidangkan bersama minuman 4. Ratna mutu manikam, bermacam-macam jenis batu permata 5. Piala, sj cawan yang berkaki dan diperbuat drp emas ataupun perak 6. memekis, mengeluarkan kata yg menyakiti hati 7. murka, marah, 8. bicara, bercakap-cakap ataupun berkata-kata. T.kasih. | Lain-lain | 14.07.2008 |
Assalamualaikum wbt Apakah maksud perkataan memperjudiskan? Contoh ayat : 1. sebaliknya hakim bicara telah mengambilkira keterangan-keterangan yang 'memperjudiskan' perayu-perayu. 2.Kedua, perayu-perayu mempunyai peluang untuk menyangkal (to rebut) anggapan dibawah s.37(d) ADB 1952 dan oleh itu perayu-perayu tidaklah 'terperjudis'. Kedua-dua contoh ini saya dapati di alamat url berikut: (http://www.kehakiman.gov.my/directory/judgment/file/K-05-8-2011.pdf) 3. AMER HAMZAH: Sejak kamu mendapat maklumat yang boleh 'memperjudiskan' tertuduh, keterangan kamu pada hari ini (semalam) memihak kepada pendakwaan. Contoh ketiga boleh didapati di alamat url berikut :(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Saksinafimemihakpendakwa/Article) Mohon nasihat daripada pihak tuan/puan Terima kasih -Mohd Habib bin Abdul Halim- | Perkataan memperjudiskan tiada dalam data kami. Perkataan yang paling hampir ialah prejudis yang bermaksud rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama, dan sebagainya. Manakala padanan bahasa Melayu bagi istilah prejudice ialah prasangka. | Tatabahasa | 19.06.2013 |
Saya ingin tahu adakah pantun yang dikhususkan untuk pengacara majlis..contohnya sebagai permulaan bicara dalam suatu acara... | Sila rujuk buku bertajuk Sekalung Budi Seuntai Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini mengandungi pantun-pantun untuk majlis rasmi, menyanjung kemuliaan budi, menghargai jasa, adat istiadat, memberi nasihat dan melahirkan maksud atau tujuan. | Lain-lain | 07.10.2008 |