Penjodoh Bilangan "biji" and "buah". Yang manakah lebih sesuai - biji mangga atau buah mangga? | Menurut Kamus Dewan, biji merupakan penjodoh bilangan bagi buah-buahan yang berbiji seperti sebiji rambutan atau sebiji durian manakala buah pula merupakan penjodoh bilangan utk benda (bentuk atau jenisnya tidak tentu) seperti sebuah rumah atau beberapa buah kerusi. Jawapan yang betul ialah biji. | Tatabahasa | 13.04.2012 |
APAKAH PENJODOH BILANGAN YANG TEPAT UNTUK BUNGA KUBIS / BROKOLI ? | Penjodoh bilangan untuk bunga kubis ialah biji. Biji merupakan penjodoh bilangan untuk jenis-jenis buah, sayur-sayuran dan benda yang kecil. | Tatabahasa | 09.09.2013 |
Apakah penjodoh bilangan yang paling tepat untuk membilang pisang tanduk selain sisir atau tandan? Adakah 'biji' boleh digunakan untuk membilangnya bagi merujuk dua biji pisang tanduk? Terima kasih. | Penjodoh bilangan biji boleh digunakan untuk merujuk bilangan dua biji pisang. | Lain-lain | 13.12.2011 |
Salam, apakah penjodoh bilangan yang sesuai untuk pisang jika setelah dipotong daripada tandan? Penjodoh bilangan biji tidak sesuai digunakan kerana melambangkan cuma satu biji pisang. Jika, beberapa biji pisang di dalam tangkai yang sama adakah disebut setangkai?Terima kasih. | Penjodoh bilangan yang boleh digunakan ialah sesikat pisang. | Tatabahasa | 15.11.2013 |
1. Dua ekor ayam. 2 Lima biji durian. Dalam frasa di atas ekor dan biji ialah penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan termasuk dalam golongan kata apa? Daripada 16 kata tugas, penjodoh bilangan tidak tersenarai. Apakah golongan kata bagi penjodoh bilangan? | Penjodoh bilangan tergolong dalam golongan kata nama yang berfungsi menjodohkan kata nama bilangan. Terdapat segolongan kata nama tunggal yang menjadi pasangan pada kata bilangan untuk menjadi sejenis penerang bentuk atau keadaan pada kata nama yang mengikutinya. Contoh: segugus bintang, seutas tali, sekapir sirih, dll. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 106. | Istilah | 11.07.2009 |
Apakah perbezaan diantara penjodoh bilangan biji dan buah? Bilakah ia digunakan.Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan, biji merupakan penjodoh bilangan bagi buah-buahan yang berbiji seperti sebiji rambutan atau sebiji durian manakala buah pula merupakan penjodoh bilangan utk benda (bentuk atau jenisnya tidak tentu) seperti sebuah rumah atau beberapa buah kerusi. | Tatabahasa | 29.09.2006 |
Puan, Bolehkah kita gunakan penjodoh bilangan "biji" untuk "bibir"? Ayat: Miki memiliki sebiji bibir yang cantik. Jika "biji" tidak sesuai untuk dipakai, jadi apakah cadangan puan? Tolong berikan tunjuk ajar. Terima kasih. | Saudara/saudari, Bibir tidak memiliki penjodoh bilangan. Tidak semua perkataan mempunyai penjodoh bilangan. Namun dalam karya kreatif 'seulas' boleh digunakan untuk menunjukkan penjodoh bilangan bagi bibir. "Seulas bibir" | Tatabahasa | 21.07.2013 |
Tuan, apakah penjodoh bilangan bagi botol. adakah biji atau buah. terima kasih | Penjodoh bilangan biji biasanya digunakan untuk buah atau benda kecil. Penjodoh bilangan buah digunakan untuk benda (bentuk atau jenisnya tidak tentu). Dalam hal ini kata buah lebih sesuai. | Tatabahasa | 25.07.2008 |
Adakah ayat-ayat yang berikut betul? Jika salah, bagaimanakah ayat itu perlu dibina? 1. Berapakah biji epal dia makan? 2. Berapa biji epalkah dimakannya? 3. Buku itu ditulis olehnya. 4. Buku itu ditulisnya. 5. Buku itu ditulis oleh dia. 6. Berapakah lama dia mandi? 7. Berapa lamakah dia mandi? 8. Bukit manakah yang didakinya? 9. Bukit yang manakah didakinya? 10. Apakah yang dibawa Ali? 11. Ali yang membawa beg. 12. Ali membawa beg. 13.Cikgu menulis di atas papan hitam. 14. Cikgu menulis pada papan hitam. | Ayat yang betul ialah ayat 1, 3, 4, 5, 7, 8, 9, 11, 12, 14. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Ediis Ketiga, halaman 441 bagi membantu saudara memahami aspek ayat tanya. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
ada yg mempertikaikan penjodoh bilangan bg lobak merah ialah biji...keliru | Salam sejahtera, Penjodoh bilangan yang betul ialah sebatang lobak. Hal ini kerana, penjodoh bilangan 'biji' digunakan pada benda-benda yang agak bulat atau bujur tetapi kecil seperti telur, buah-buahan, cawan, periuk, piring dan mangkuk. Sekiranya puan, merujuk Kamus Dewan pula, biji merupakan penjodoh bilangan bagi buah-buahan yang berbiji seperti sebiji rambutan atau sebiji durian. | Makna | 01.11.2012 |