1. Tolong senaraikan jenis kata bilangan. 2. Adakah kata bilangan tingkat merupakan satu jenis kata bilangan? | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Tidak ada kata bilangan tingkat, termasuk dalam kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal.
| Tatabahasa | 03.04.2013 |
saya keliru golongan kata bagi perkataan 'sebuah'. Perkataan 'sebuah' merupakan penjodoh bilangan atau kata bilangan atau kedua-duanya sekali. Semoga pihak Tn dapat memberi sedikit penerangan berkaitan perkataan tersebut. Harap pihak Tn. dapat membantu saya menyelesaikan kekeliruan yang saya hadapi. Jasa baik Tn. amat saya hargai. | Sebuah merupakan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan buah digunakan untuk benda (bentuk atau jenisnya tidak tentu) seperti sebuah peperangan, sebuah rumah, dua buah kerusi dan lain-lain. Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunujukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Lazimnya kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerang kepada kata nama yang mengikutinya. Contohnya, beberapa buah kereta, dua buah rumah dan lain-lain. | Tatabahasa | 28.02.2013 |
1. Dua ekor ayam. 2 Lima biji durian. Dalam frasa di atas ekor dan biji ialah penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan termasuk dalam golongan kata apa? Daripada 16 kata tugas, penjodoh bilangan tidak tersenarai. Apakah golongan kata bagi penjodoh bilangan? | Penjodoh bilangan tergolong dalam golongan kata nama yang berfungsi menjodohkan kata nama bilangan. Terdapat segolongan kata nama tunggal yang menjadi pasangan pada kata bilangan untuk menjadi sejenis penerang bentuk atau keadaan pada kata nama yang mengikutinya. Contoh: segugus bintang, seutas tali, sekapir sirih, dll. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 106. | Istilah | 11.07.2009 |
tuan, harap dapat penjelasan tentang penggunaan penjodoh bilangan melibatkan kata bilangan tentu? Nampaknya penjodoh bilangan digugurkan. Contoh tiga pelajar...., tiga kereta dll. Adakah sebarang panduan penggunaan? Terima kasih | Dalam tatabahasa bahasa Melayu, penjodoh bilangan penting bagi pasangan kepada nama sesuatu benda untuk menunjukkan bilangannya, contohnya tiga orang pelajar dan tiga buah kereta. | Lain-lain | 23.11.2011 |
penjodoh bilangan yang tepat untuk tudung saji apa? | Tidak semua benda diberikan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan lazimnya mengikut bentuk atau konsep sesuatu benda. Penjodoh bilangan yang hampir bagi tudung saji ialah sebuah. | Tatabahasa | 02.07.2013 |
Penjodoh bilangan untuk sikat, pemotong kuku dan benda-benda kecil yang mempunyai bentuk yang tidak seragam. Tolong jelaskan penjodoh bilangan dan fungsinya. | Penjodoh bilangan bermakna perkataan yang digunakan berpasangan dengan nama apabila menunjukkan bilangan. Bagi sikat, penjodoh bilangan yang biasa digunakan ialah batang. Pihak kami sedang merancang untuk menyusun senarai penjodoh bilangan. | Lain-lain | 17.01.2008 |
sepasang gunting atau sebilah gunting? | Tidak semua benda menerima penjodoh bilangan. Gunting tiada penjodoh bilangan yang khusus. Penjodoh bilangan yang paling hampir bagi gunting ialah sebilah. | Tatabahasa | 28.08.2013 |
apakah penjodoh bilangan untuk CENDAWAN? apakah buku / rujukan yang boleh digunakan untuk rujukan bagi penjodoh bilangan. | Penjodoh bilangan bagi satu cendawan ialah sekuntum. Namun bukan semua benda mempunyai penjodoh bilangan. Saudara boleh merujuk buku atau portal utusan pendidikan untuk merujuk penggunaannya yang boleh dicapai melalui laman web. | Tatabahasa | 07.12.2007 |
Soalan asal: Sebelum kata bilangan (rujuk kata bilangan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga m/s 287), kata pemeri yang baku digunakan, "ialah" atau "adalah"?; dan mengapa? Sekian, terima kasih. Jawapan asal: Tidak perlu kata pemeri digunakan di hadapan kata bilangan contohnya harga barang itu dua puluh ringgit. Kata pemeri ialah diikuti oleh frasa nama, manakala kata pemeri adalah diikuti oleh frasa adjektif atau frasa sendi nama. Soalan balas: Saya faham peraturan asas yang ringkas berkenaan. Cuba teliti ayat di bawah. Adakah tuan/puan akan mencadangkan saya menggugurkan semua kata pemeri yang ada dalam ayat itu? Jika ya, saya masih mahu menggunakan kata pemeri (tidak mahu menggugurkannya) dalam ayat di bawah, oleh itu saya hendak tahu kata pemeri yang mana satukah yang baku digunakan, ialah atau adalah, kerana kata berikutnya ialah kata bilangan? Kucing dan arnab ialah/adalah sebahagian daripada haiwan perliharaan. Ayam ialah/adalah sejenis haiwan. Bilangan cuti yang diluluskan ialah/adalah dua hari. Yang dimaksudkan dengan perserta ialah/adalah semua peserta yang berdaftar secara rasmi. Sekian. | Pada dasarnya kata pemeri tidak perlu hadir sebelum kata bilangan. Walau bagaimanapun jika tuan hendak menggunakan kata pemeri sebelum kata bilangan, penggunaan yang betul ialah "ialah" seperti ayat: Kucing dan arnab ialah sebahagian daripada haiwan perliharaan. Ayam ialah sejenis haiwan. Bilangan cuti yang diluluskan ialah dua hari. Yang dimaksudkan dengan perserta ialah semua peserta yang berdaftar secara rasmi. | Tatabahasa | 11.10.2012 |
Mohon nasihat tuan berhubung penjodoh bilangan yang sesuai untuk Pasport Malaysia Antarabangsa. Perkataan tersebut (berhubung bilangan atau penjodoh bilangan itu) akan kerap digunakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara. Mohon juga khidmat nasihat berhubung dengan singkatan atau perkataan yang sesuai untuk diulang-ulang di dalam laporan agar tidak terlalu panjang dan mudah difahami oleh pembaca (tidak terlalu teknikal dan mencapai maksud). Terima kasih. | Penjodoh bilangan yang sesuai ialah sebuah kerana bentuk fizikal pasport seperti buku (sebuah buku). Walau bagaimanapun tidak semua benda perlu diberi penjodoh bilangan. Begitu juga halnya dengan pasport, contoh ayatnya: Ratusan pasport ditemui dalam serbuan tersebut. Tidak ada ejaan singkatan bagi penjodoh bilangan lazimnya dieja penuh bagi mengelakkan kekeliruan kepada pembaca. | Tatabahasa | 09.01.2012 |