"Bina Badan Untuk Kesihatan" atau "Bina Badan Demi Kesihatan" atau "Membina Badan Untuk Kesihatan"? | Kedua-dua adalah betul. Demi dan untuk adalah perkataan yang silih berganti. Salah sekiranya digunakan bersama. 'Bina Badan untuk Kesihatan'. 'Bina Badan demi Kesihatan'. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.07.2007 |
"lembar" ialah salah satu penjodoh bilangan? jika lembar ialah salah satu penjodoh bilangan, sila bina ayat dengan "lembar" Terima kasih | Lembar ialah penjodoh bilangan bagi sesuatu yang nipis dan lebar seperti kertas, daun dan kain. Contoh ayat, Dia dihadiahi dua lembar kain yang mempunyai corak batik. | Lain-lain | 22.01.2022 |
"raga" ialah salah satu penjodoh bilangan? jika raga ialah salah satu penjodoh bilangan, sila bina ayat dengan "raga" Terima kasih | Raga ialah kata nama dan bukan penjodoh bilangan. Tidak semua kata nama diberikan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan lazimnya mengikut bentuk atau konsep sesuatu benda. Setiap penjodoh bilangan tidak semestinya bergantung pada fizikal tetapi mengikut konteks atau kesesuaian dalam ayat. | Lain-lain | 22.01.2022 |
Bina ayat berikut "PUPUS" adalah betul atau salah, sila membalas. Terima Kasih. "Harta bendanya telah PUPUS dalam kebakaran" | Perkataan yang sesuai bagi ayat tersebut ialah musnah walaupun pupus bermaksud musnah. Namun sinonim membawa peringkat untuk penggunaan perkataan dalam ayat. | Tatabahasa | 22.08.2008 |
Fungsi tingkap bergantung pada keadaan. Tidak semestinya hanya orang dari dalam rumah yang boleh melihat ke luar, orang dari luar juga boleh melihat ke dalam rumah contohnya reka bentuk tingkap pada rumah kampung yang lebih terbuka membolehkan orang dari luar juga melihat ke dalam rumah. Perenggan di atas merupakan jawapan DBP berkaitan soalan saya. Saya bertanya soal fungsi, bukan soal boleh atau tidak boleh..... seperti fungsi baju untuk menutup aurat, tapi boleh juga baju untuk kesat tahi kucing..... mengapa rendah sangat standar DBP berfikir??? | Menurut Kamus Dewan Perdana (KDP)(DBP, 2020: 2376) tingkap bermakna 1. bukaan, biasanya berbentuk segi empat, pada dinding rumah, bangunan, kapal dan lain-lain yang boleh dibuka dan ditutup supaya cahaya matahari dan udara dapat masuk; sinonimnya ialah jendela; dan makna ke-2 ialah tetingkap. Terdapat pelbagai jenis tingkap, misalnya tingkap berpangsi, tingkap bulan, tingkap gelangsar dan tingkap kipas. Sila rujuk KDP dan PRPM. Sudah pastilah fungsi bagi tingkap bergantung kepada jenisnya. Namun, secara umumnya, fungsi tingkap adalah untuk: 1) Membolehkan kemasukan cahaya semula jadi, 2) Mengadakan peredaran udara semula jadi, 3) Menebat haba dan bunyi, dan 4) Menghalang angin dan hujan. Penjenisan tingkap adalah bergantung kepada kaedah bagaimana daun-daun tingkap dipasang. Untuk maklumat lanjut, tuan boleh merujuk pakar bidang seni bina, kesenian hiasan dalaman atau kejuruteraan bangunan. Salah satu cara mudah untuk mendapat maklumat, tuan juga boleh membuat carian di Internet dengan menaip "fungsi tingkap". Harap dapat membantu. | Lain-lain | 14.10.2022 |